Khamis, Mei 29, 2008

Membawa anak-anak saudara ke Mines..

Assalamualaikum..

Pukul 7.00 malam, KakPah datang, dibawa oleh AbeMan dan KakMah.

"KakPah nak tinggalkan 3 orang anak-anak ni di sini. Pagi esok, anak-anak ni tumpang kereta Lan dan Su lah ye, balik kampung.", KakPah bersuara.

"Ok. Boleh, KakPah. Demi KakPah, segala-galanya sanggup kami redahi.", aku menyahut kata-katanya dengan sedikit seloka kerana kakPah memang seorang yang suka berjenaka. Selalunya, ada saja ayat-ayatnya yang mencuit hati.

"Amboi, adik iparku ini. Klasiknya bahasamu.", balas KakPah dengan deraian ketawanya.

Sebenarnya, esok, kami akan pulang ke kampung. AbeMan dan KakMah pun akan pulang. Kami berpakat untuk bertolak sama-sama. Kami akan turut membawa KakPah dan anak-anaknya pulang. KakPah akan menumpang kereta AbeMan, manakala 3 orang anak-anak akan menumpang kereta kami, memandangkan kami sekarang hanya berdua.

"Su, jangan lupa bawak anak-anak ni shopping. Bawak je ke mana-mana pasaraya. Kalau tak, merajuk pulak budak-budak tu.", KakPah memberitahu adiknya (isteriku) itu sambil memberikan beberapa keping not kertas biru kehijauan untuk perbelanjaan anak-anak itu.

Mereka pulang ke rumah KakMah, meninggalkan anak-anak itu di rumah kami. Selepas solat Maghrib, kami keluar ke Mines yang terletak di Serdang.

"Kita ke Mines, boleh ke, anak-anak?", isteriku bertanya mereka.

"Mana-mana je lah Su. Kami tak kisah."

Tiba di sana, mereka memilih pakaian yang berkenan di hati, sebagai tanda mereka sudah bercuti di Kuala Lumpur.

Setelah selesai semuanya, kami bertolak pulang. Kami keletihan. Namun, barang-barang untuk pulang ke kampung pagi esok perlu disiapkan malam ini juga.


Cetak catatan ini..

0 ulasan:

Disediakan oleh Tengku Azlan || Hakcipta Terpelihara © 2008