Rabu, Disember 31, 2008

Maklong datang dari kampung..

Assalamualaikum..

Lepas solat isyak tadi, rumah kami diziarahi oleh Maklong (adik Ma). Dia datang dari kampung sempena cuti sekolah. Inilah masa untuk mana-mana keluarga menghabiskan masa bercuti bersama-sama. Mereka sekeluarga datang dari kampung dengan sebuah kereta dan bermalam di rumah adik AyahLong (suami Maklong) di Kajang.

Setelah beberapa hari berada di sana dan menziarahi rumah saudara mara sekitar Kuala Lumpur dan Selangor, baru tadi mereka berkesempatan untuk singgah di rumah kami. Datang bersama mereka dan anak-anak ialah adik AyahLong yang disebutkan tadi bersama dengan tunangnya.

Sempena tahun baru masihi yang baru sahaja menjelang beberapa minit tadi, mereka sebenarnya ingin menyambut tahun baru itu di Masjid Putra, Putrajaya.

"Abengoh, jom la ikut Maklong sambut tahun baru," Maklong mengajak.

"Takpe lah Maklong. Lagi pun, Jie ni tak larat. Maklum la, kandungan masih di peringkat awal," aku menjelaskan.

Setelah berbual-bual, mereka meminta diri untuk ke Masjid Putra.

[+] Baca seluruh catatan ini..

Rabu, Disember 24, 2008

Mendapat anak saudara kedua..

Assalamualaikum..

Pada 15 Disember 2008, iaitu beberapa hari yang lalu, abang iparku, Abelong telah menghantar satu pesanan ringkas ke telefon bimbitku. Aku dapat mengagak perasaannya yang sangat teruja ketika itu kerana Abelong sebenarnya menyampaikan satu berita yang gembira bagi kehidupan berkeluarganya bersama kakakku, Kaklong.

"Assalamualaikum. Alhamdulillah, Kaklong selamat bersalin pukul 2.55 petang. Lelaki," begitu ringkas mesej yang membawa khabar gembira itu.

Bayi yang baru lahir itu adalah anak kedua mereka setelah dikurniakan anak perempuan sebagai anak sulung pada tahun lalu.

Hari ini, Kaklong pula menghebahkan perkembangan mengenai nama bayi barunya itu.

"Salam. Hari ni baru buat surat beranak. Nama dia Nik Muhd Izzat," akhirnya nama anak saudaraku itu didaftarkan.

Aku tiba-tiba teringat akan anak sulung Kaklong. Nik Nurul Iffah namanya. Sungguh lincah. Sesuai dengan umurnya yang baru melepasi setahun. Kini, dengan adanya Nik Muhd Izzat, sudah pasti keluarga besar kami akan bertambah meriah. Tidak sabar rasanya ingin melihat anak saudara lelakiku yang pertama itu.

Pertengahan tahun hadapan, Iffah dan Izzat bakal mendapat sepupu pula. Beginilah indahnya kehidupan anugerah Ilahi kepada insan sejagat.

[+] Baca seluruh catatan ini..

Disediakan oleh Tengku Azlan || Hakcipta Terpelihara © 2008