Khamis, Mei 08, 2008

Hari sabtu di kampung..

Assalamualaikum..

Petang, kami balik semula ke rumah Mek. Asalnya, kami ingin bertolak selepas solat zohor, tetapi, tiba-tiba pula hujan turun dengan lebatnya. Jadi, terpaksa lah kami menunggu sehingga hujan agak reda sedikit. Ma pun sebenarnya sangat memahami keadaan kami yang semestinya lebih diperlukan di rumah Mek kerana Mek masih sakit.

Sesampainya di rumah Mek, seperti kebiasaannya semenjak Mek sakit, kelihatan ramai anak dan cucu Mek dan beberapa orang tetamu yang silih berganti tidak putus-putus bertamu. Kelihatan AbeMan dan KakMah sedang bersiap-siap seperti ingin keluar. Kami masuk bertemu dengan Mek.

"Mek, kami dah balik.", aku memulakan bicara sambil kami menyalami tangannya yang lemah.

"Lan, Jie, pergi lah ikut AbeMan dan KakMah jenguk Aboh AbeMan di Hospital Pasir Mas. Kurang elok pulak, dah ada kat kampung, tapi langsung tak jenguk dia. Lagi pun, dia pun sakit juga.", Mek yang sentiasa memahami situasi kami sebagai pengantin baru itu, memberi nasihat sedemikian.

"Macam mana, bang?", isteriku menoleh ke arahku.

"Erm, tapi Mek, kami baru je tiba dari rumah Ma. Nanti, apa kata adik-beradik yang lain? Siapa pulak nak jaga Mek?", aku meluahkan kerisauan yang terbuku di hati.

"Takpe. Kan ramai ada di sini. Lagi pun, pergi sekejap je. Sekurang-kurangnya, pergi jenguk Aboh AbeMan tu.", Mek merungkai kerisauan kami tadi.

"Ok lah kalau macam tu, Mek.", akhirnya kami akur apabila Mek memberikan kelegaan di hati kami.

Kami terus bergegas untuk solat Asar. Setelah isteriku memaklumkan kepada KakMah mengenai perkara itu, kami mula bersiap-siap.

Kami hanya menumpang kereta AbeMan memandangkan AbeMan tidak membawa semua anaknya yang seramai 6 orang itu. Yang dibawa bersama hanyalah anak bongsu yang masih kecil; Ayen dan seorang lagi anaknya yang berumur 8 tahun; Edi.

Makcik (saudara sebelah Ayah) yang tinggal di sebelah rumah juga ikut sama kerana dia sudah lama berhajat ingin ke sana. Berkebetulan petang itu, dapat lah dia menumpang sekali.

Sesampainya di hospital, kami ke wad yang menempatkan Aboh. Kelihatan ramai adik-beradik AbeMan di situ. Mereka bergilir-gilir menjaga Aboh. Dapat lah juga aku kenal serba sedikit dengan keluarga AbeMan.

Tenang sungguh jiwaku bila terpandang wajah Aboh. Sudah banyak juga yang aku dengar daripada AbeMan mengenai ayahnya itu. Aboh lama belajar di pondok. Aboh juga dikurniakan kelebihan untuk mengubati beberapa jenis penyakit. Setelah hanya mendengar mengenai Aboh, kini aku sudah berpeluang bertemu mata dengannya.

"Kerja di mana?", Aboh bertanya kepadaku dengan suara antara dengar dan tidak, dengan wayar berselirat keluar dari hidungnya.

"Di KL, Aboh."

"Mengajar ke?"

"Tak."

"Buat perniagaan ye? Bagus lah, sebab kita akan dapat lebih bila kita usaha lebih."

Hanya berdasarkan dialog ringkas dengan Aboh itu, aku sudah dapat mengesahkan apa yang pernah diceritakan oleh AbeMan mengenai Aboh, iaitu Aboh dapat membaca apa yang tersirat.

Dalam perbualan tadi, aku langsung tidak menyebut bahawa aku membuat perniagaan atau bisnes, tetapi Aboh terus memuji kerjayaku itu seolah-olah aku sudah menyatakan kepadanya bahawa aku sedang mengusahakan suatu bisnes.

Lebih kurang pukul 7.00 malam, semua pelawat diberi amaran bahawa waktu melawat sudah tamat. Kami bertolak pulang ke rumah Mek.

Pengalaman bertemu dengan Aboh adalah antara pengalaman yang berharga dalam hidupku.


Cetak catatan ini..

0 ulasan:

Disediakan oleh Tengku Azlan || Hakcipta Terpelihara © 2008