Rabu, Mei 07, 2008

Hari jumaat di kampung..

Assalamualaikum..

Pagi jumaat, 2 Mei 2008, pagi-pagi lagi aku turun ke belakang rumah Mek, membantu AbeKiman menyambung kerja-kerja membina tandas untuk Mek. Nanti, bila sudah siap, boleh lah Mek dipindahkan ke bilik itu. Air tidak perlu lagi diangkut sebaldi demi sebaldi ke dalam bilik. Sementara tandas itu siap, Mek ditempatkan di dalam bilik depan, berhampiran dengan pintu utama rumah.


Anak-anak dan menantu-menantu lelaki sibuk sama-sama bergotong-royong untuk menyiapkan tandas tersebut; aku, AbeKiman, AbeMan, AbeSul, dan Mat. Ayah yang begitu berpengalaman dalam bidang pertukangan rumah pun turut sama membantu. Tetapi, disebabkan ramai anak dan menantu lelaki, belum sempat Ayah nak buat sesuatu, dah siap kami 'kerja'kan. Akhirnya, Ayah terpaksa menjadi penasihat dan hanya memberi tunjuk ajar sahaja.


Fikiranku tiba-tiba melayang jauh, mengimbas peribadi bapa mertuaku itu.


***************


Ayah memang rajin. Walaupun sudah agak berusia, selagi dia berasa larat untuk membuat kerja, dia akan turun ke padang, menguruskan lembu peliharaannya yang sudah tinggal seekor itu, atau membersihkan kawasan belakang rumah yang ditanam olehnya dengan bermacam-macam pokok buah-buahan itu.


Bapa mertuaku (Ayah)


Mek selalu risau dengan kerajinan Ayah itu kerana umur Ayah sudah lanjut. Walaupun dinasihatkan oleh Mek supaya hanya berehat di rumah, Ayah tidak menghiraukan nasihat itu. Teringat pula pada petang sebelum malam akad nikahku, ketika aku mendapat panggilan telefon daripada isteriku (bakal isteriku ketika itu),

"Abang, Ayah jatuh di padang. Sekarang sudah dibawa ke klinik!", suara isteriku kedengaran di hujung talian.

Cemas juga ketika itu kerana di saat kedua-dua belah keluarga sedang kelam-kabut membuat persiapan untuk majlis akad malam itu, terjadi pula perkara yang tidak terduga seperti itu. Aku dimaklumkan bahawa Ayah terketar-ketar seolah-olah kesejukan dan lidahnya kelu tidak dapat bercakap.


Ketika aku tiba sebagai bakal pengantin pada malam itu, Ayah sudah dibawa pulang dan sudah boleh bercakap. Cuma, Ayah tidak dapat berdiri dan berjalan. Ayah hanya duduk bersandar di satu sudut rumah sepanjang majlis malam itu berlangsung.


Salah satu perkara yang aku kagum dengan Ayah ialah, walaupun sudah begitu berusia, Ayah tidak menghidap sebarang penyakit yang berat dan serius, sebagaimana kebiasaannya dihidapi oleh kebanyakan warga emas seusia dengannya.


Mungkin itu adalah berkat kerajinan Ayah membanting tulang empat keratnya tanpa mengira masa. Ayah jatuh di padang pada petang itu pun mungkin hanya kerana kehabisan tenaga tuanya lantaran kerja yang dilakukannya itu memerlukan kudrat yang lebih besar.


***************


Lamunanku terhenti di situ apabila terdengar bermacam-macam celoteh ipar-ipar dan biras-birasku di tapak tandas yang sedang dibina itu. Ada sahaja perkara lucu yang boleh digelakkan jika ada AbeMan. Tidak kering gusi dibuatnya. Setiap masa, ada saja ideanya. Yang lain pula akan menambah senda untuk menghidupkan lagi suasana ceria itu. AbeHim (suami KakDah) yang baru tiba juga tidak ketinggalan meraikan kemesraan yang wujud itu.


Terasa begitu indahnya mendapat keluarga baru dalam suasana yang lebih merapatkan kami itu. Seperti yang pernah aku coretkan, memang ada hikmahnya peristiwa yang menyebabkan kami semua terpaksa pulang ke kampung ini, iaitu aku dibentangkan peluang seluas-luasnya untuk lebih mengenali keluarga isteriku.


Aku sangat bersetuju dengan kata-kata ilmuwan bahawa perkahwinan bukan hanya menyatukan dua hati suami dan isteri, tetapi juga menyatukan 2 buah keluarga. Jika sebelum ini aku mempunyai seorang ayah, seorang ibu, dan 9 orang adik-beradik, sekarang aku sudah punya 2 orang ayah, 2 orang ibu, dan 18 orang adik-beradik. Alangkah indahnya syariat Allah ini jika berjaya dihayati dan difahami oleh semua.


Menjelang tengahari, AbeMan sudah menghilang. Dia ke Hospital Pasir Mas untuk menjenguk ayahnya (Aboh) yang kebetulan sedang sakit juga. Kami yang lainnya mula masuk ke dalam rumah, bersiap-siap untuk ke masjid bagi menunaikan Solat Fardhu Jumaat.


Aku, AbeHim, dan Mat, sudah siap. Kami menunggu AbeKiman yang sedang mandi. Memandangkan azan sudah berkumandang di udara, kami bertiga membuat keputusan untuk berangkat dahulu ke masjid yang berhampiran dengan menaiki kereta Mat. Ayah sudah ke masjid seawal setengah jam sebelum azan tadi, dengan basikal tua kesayangannya. Katanya, tidak ingin terlepas untuk berada di dalam saf paling hadapan.



Pulang dari masjid, kami yang lelaki dihidangkan dengan makanan tengahari. Setelah menyambung sedikit kerja-kerja membina tandas itu, aku berhenti lebih awal kerana telah berjanji dengan isteriku untuk keluar membeli lauk memandangkan kami di rumah Mek sudah kehabisan lauk.


Setelah pulang dari Pasaraya Bilal, dan menghantar lauk yang dibeli itu ke dapur, kami bersiap-siap untuk pulang ke rumah Ma.


"Mek, kami nak balik rumah Ma.", aku memulakan bicara.

"InsyaALLAH, esok kami balik sini semula, Mek. Nak balik ke sana sekejap je memandangkan keadaan Mek masih macam ni.", isteriku menambah.

"Erm, elok la tu. Kena balik rumah Ma sebab dah ada kat kampung. Nanti kecik hati dia kalau langsung tak jenguk dia. Dia pun mesti rindu pada menantu baru dia.", Mek menyokong supaya kami pulang menjenguk keluargaku.

Sesampainya kami, Ma kebetulan berada di pintu pagar. Dia membuka seluas-luasnya pintu pagar itu sebagai tanda sangat mengalu-alukan satu-satunya menantu perempuannya itu. Mesti adik-adikku sangat merindui kami, lebih-lebih lagi isteriku, KakNgoh mereka, sebagai ahli baru dalam keluarga kami. Semua ada, kecuali Kaklong yang menetap bersama suami dan seorang anaknya di Parit Buntar, Perak, dan adik lelakiku, AbeCik, yang kini sedang melanjutkan pelajaran perubatannya di New Zealand.


Masuk ke dalam rumah, kami disambut oleh adik-adikku; Kakcik, Ita, Wan, Azida, dan AdikJiha. Azhan pula kelihatan sedang belajar mengaji dengan Abah.



"Abengoh, lepas ni kita pergi rumah MakcikYah ye. Hari ni dia buat majlis hari lahir Ati. Takde makanan pun takpe. Sekurang-kurangnya, dapat masuk rumah dia sebab lepas kahwin hari tu, tak sempat kenal rumah dia, kan?", Ma memberitahu kami bahawa ibu saudaraku itu membuat sambutan hari lahir anak bongsunya.


Selepas majlis kahwin kami lebih kurang 2 bulan lepas, kami hanya sempat menziarahi Mok (nenekku) dan Maklong (ibu saudaraku). Berikutan masa kami yang begitu terhad ketika itu, kami tidak sempat ke rumah MakcikYah yang hanya berada di tengah-tengah antara rumah Mok dan rumah Maklong itu.


MakcikYah


Kami terus berjalan ke rumah MakcikYah yang tidak jauh dari rumah Ma. Ma, Kakcik, dan Ita juga ikut sama. Adik-adik yang lain sudah pergi siang tadi. Setelah menikmati bihun masakan MakcikYah dan beberapa hidangan yang lain, dan berbual-bual dengan PakcikYi dan MakcikYah, kami pulang ke rumah Ma.


Sebelum kami bertolak ke rumah Mek, sempat lagi Ma beri tudung kepada menantunya. Semasa aku pulang ke rumah Ma seorang diri malam sebelumnya, aku bercerita bahawa kami tidak menemukan tudung yang dicari. Tidak ku sangka, Ma telah membelinya pagi itu.


Cetak catatan ini..

0 ulasan:

Disediakan oleh Tengku Azlan || Hakcipta Terpelihara © 2008