Selasa, April 29, 2008

Ke kenduri Syima..

Assalamualaikum dan selamat bertemu kembali..

Kad jemputan Ismail & Syima..


Pada hari ahad, 27 April 2008, kami telah menghadiri majlis kenduri kawan sefakulti denganku, Syima, di Pusat Komuniti Lembah Pantai. Pada mulanya, kami berjanji dengan Daud dan kawan-kawan yang lain, untuk bertemu di rumah mereka lebih kurang pukul 1.00 tengahari, lalu akan terus ke sana bersama-sama.


Tetapi, memandangkan kami sedikit kelewatan, mereka terus ke sana kerana tidak mahu ketinggalan untuk menyaksikan ketibaan pengantin lelaki yang dijadualkan pada pukul 2.00 petang.


"Lan, kitorang pegi dulu ye. Kita jumpa kat sana je. Kalau tak jumpa, call aku..", begitulah ayat-ayat yang terdapat dalam mesej yang dihantar oleh Daud ke handphoneku.

Nasib baik juga lah, jalan ke pusat komuniti itu tidak susah, dan aku agak biasa dengan kawasan itu yang tidak berapa jauh dari tempat pengajianku dulu; Universiti Malaya (UM). Sememangnya, rumah-rumah di kawasan itu lah yang disewa oleh ramai pelajar-pelajar universiti itu yang tidak mahu tinggal atau dibuang daripada kolej-kolej kediaman.


Kalendar yang diberi kepada tetamu sebagai cenderahati..


Sesampainya kami di pusat komuniti itu, terdengar kompang dipalu diiringi dengan suara selawat bergema. Hmm, rupa-rupanya pengantin lelaki baru sahaja tiba. Kami mengikut sahaja rombongan yang berada di situ, sehingga lah kami masuk ke dalam dewan. Kami mencari-cari Daud dan yang lain-lain.


"Abang, cuba lah call Daud..", isteriku menyatakan isi hatinya bila mata kami masih belum dapat mencari lokasi Daud ketika itu.

"Abang dah call, Sayang. Daud tak angkat. Lagi pun, bising ni..", aku memberitahu isteriku di dalam gema kompang dan suara selawat yang kuat itu.

Akhirnya, mataku tertangkap juga kelibat Daud dan kawan-kawan yang lain. Mereka memang sudah berada di dalam dewan itu. Kami menuju ke meja mereka. Kelihatan Daud, Korak, Hafiz, dan Arm. Aku bersalam-salaman dengan mereka. Kami duduk di kerusi yang masih kosong di meja itu.


Dari kiri : Daud, Arm, Korak, Hafiz..


Kelihatan juga beberapa orang kawan sefakulti yang lain di majlis itu. Ada yang sempat ditegur, dan ada yang nampak dari jauh sahaja. Kelihatan Munie di meja mereka tadi. Munie adalah kawan sematrikulasi denganku di Kolej MARA Seremban suatu ketika dahulu, dan selepas itu, dapat pula fakulti yang sama di universiti yang sama; UM. Munie bersalam-salaman dengan isteriku.


Tidak lupa juga, aku sempat menegur Iwe dan Tepet. Mereka adalah juniorku di fakulti. Tepet, dari mula-mula sampai lagi, aku nampak dia berada di dalam kumpulan kompang dan selawat. Agaknya, dia menyertai kelab kompang di UM, lalu menerima undangan untuk beraksi pada majlis Syima itu.


Nampaknya kedua-dua pengantin sudah pun berada di atas pelamin. Aturcara diteruskan dengan perantaraan seorang pengacara majlis yang dijemput khas. Kami bergerak ke meja hidangan di tepi dewan untuk mengambil makanan setelah melihat ada hadirin lain yang sudah menikmati hidangan. Ada juga yang baru mengambil makanan yang dihidangkan secara 'layan diri' itu.


Selesai menikmati hidangan itu, kelihatan sepasang mempelai itu dibawa ke meja hidangan untuk upacara makan beradab. Setelah kesesakan jurukamera-jurukamera di ruang depan itu berkurangan sedikit, aku mengajak isteriku ke depan untuk bergambar dengan Syima dan suaminya.


Mempelai dan sanak-saudara mereka..


Makan, jangan tak makan..


Majlis makan beradab..


Pengantin..


Ismail dan Syima..


Bergambar..


Sekali lagi!


"Akhirnya dapat juga Syima jumpa dengan Jie", Syima menyatakan isi hatinya..


Memandangkan jam sudah mencecah pukul 3.00 petang, kami membuat keputusan untuk pulang. Munie yang nampaknya juga seperti ingin pulang, sempat bersalam-salaman dengan isteriku sekali lagi sambil meminta diri untuk pulang.


"Maaf la ye, tak dapat hadir kenduri hari tu.", Munie bersuara.

"Takpe.", aku menjawab sambil tersenyum.

"Apa pun, SELAMAT PENGANTIN BARU ye!", Munie mengakhiri perbualan sebelum dia berjalan keluar dari dewan itu.

"Terima kasih.", kami menjawab serentak.

Baru teringat akan hadiah kami kepada Syima yang belum diambil dari kereta, kami ke kereta mengambil hadiah tersebut dan memberikan hadiah tersebut kepada sanak-saudara pengantin yang bertugas di pintu masuk ke dewan tersebut kerana kami ingin terus berangkat pulang.


Setelah aku call Daud untuk menyatakan kepulangan kami, baru teringat akan koleksi foto-foto majlis perkahwinan kami dicapture oleh Daud. Daud telah berjanji untuk memberikannya lepas majlis Syima itu. Dia terlupa untuk membawa CD yang sudah siap diburn itu. Terpaksa lah dia balik ke rumahnya yang tidak berapa jauh dari situ.


Kami memandu mengekori kereta Daud. Sesampainya kami di sana, Daud meminta diri untuk ke rumahnya sekejap untuk mengambil CD itu. Kami menunggu di dalam kereta.


"Lan, tunggu kat sini ye. Aku naik ambik CD tu jap.", Daud memberitahu.

"Ok, Daud.", aku menjawab.

Setelah Daud tiba, rupa-rupanya bukan hanya CD yang diberikan kepada kami, tetapi rupa-rupanya ada hadiah sempena perkahwinan kami. Terima kasih, Daud! Terharunya kami. Kedatangan Daud dari Kuala Lumpur ke kampungku seawal sehari sebelum majlis akad kami pun sudah kami anggap sebagai hadiah paling berharga daripadanya buat kami berdua.


Hanya dua orang sahaja sahabatku yang dapat menemaniku pada malam akad nikah kami iaitu Daud dan Pidut. Daud tiba sehari lebih awal, manakala Pidut pula sampai tepat-tepat semasa rombonganku tiba di rumah isteriku pada malam itu, dari kampungnya di Pahang.


Daud ingin kembali ke rumah Syima kerana mungkin ingin mengikuti upacara-upacara selanjutnya di sana. Kami berpisah dengan Daud di situ.


Kami bertolak pulang. Di traffic light simpang tiga ke pusat komuniti tadi, kami nampak seorang pembonceng motosikal memandang ke arah kami. Setelah diamati betul-betul, barulah aku kenal siapa orang itu.

"Erm, rasa macam kenal je orang tu. Macam Wak je..", aku bercakap sendiri.

"Ooo.. Yang datang kenduri kita tu kan, bang?", isteriku mencelah.

"Eh, Sayang ingat dia ye?".

"Tak tahu lah macam mana boleh ingat. Tapi, nama panggilan dia pelik. Wak.".

Rupa-rupanya, orang itu adalah Wak! Mungkin dia baru nak ke majlis Syima kerana dia juga sefakulti dengan kami. Dia membelok ke kiri untuk ke pusat komuniti tersebut manakala kami pula mengambil simpang ke kanan untuk pulang ke rumah.


Sesampainya di rumah, kami terus bersiap untuk ke rumah KakMah. Kami sudah berjanji untuk menemani KakMah dan anak-anaknya sementara AbeMan ketiadaan di rumah untuk beberapa hari. Kami membawa beberapa pasang pakaian untuk terus ke tempat kerja dari rumahnya pada pagi-pagi 2 atau 3 hari ini.


Akhirnya, kami sampai di rumah KakMah. Pada sebelah malamnya, sempat juga kami melihat gambar-gambar yang baru kami dapat daripada Daud tadi, dengan membukanya pada komputer di rumah AbeMan. KakMah dan anak-anaknya juga bersama-sama kami melihatnya.


InsyaAllah, foto-foto tersebut akan kami uploadkan ke dalam blog ini.


Sekian diceritakan..

[+] Baca seluruh catatan ini..

Mari mencari 9 manusia..

Assalamualaikum dan selamat bertemu kembali..


Mari kita perhatikan gambar di atas ini. Anda dikehendaki untuk mencari 9 manusia di dalam gambar tersebut.


  • Jika anda dapat mencari 6 orang manusia, anda adalah seorang pemerhati dengan pemerhatian yang tajam.

  • Jika anda dapat mencari 7 orang manusia, anda telah mengatasi seorang pemerhati dengan pemerhatian yang tajam.

  • Jika anda dapat mencari 8 orang manusia, anda adalah seorang pemerhati yang luar biasa tajam pemerhatiannya!

  • Jika anda dapat mencari 9 orang manusia, anda memang seorang pemerhati yang sangat luar biasa pemerhatiannya, mempunyai gerak hati yang halus , dan sangat kreatif!


Selamat mencuba!

[+] Baca seluruh catatan ini..

Isnin, April 28, 2008

Menyembunyikan navbar..

Assalamualaikum dan selamat berkunjung..

Hari ini, aku terpanggil untuk berkongsi suatu rentetan kod javascript yang sudah lama aku aplikasikan kepada blog ini. Coding tersebut begitu ringkas dan boleh diaplikasikan kepada blog kita dalam masa beberapa saat atau beberapa minit sahaja, iaitu coding untuk menyembunyikan navbar yang disediakan oleh Blogger di bahagian atas sesuatu blog.


Apakah itu navbar?


Mari kita perhatikan gambar di bawah ini, yang menunjukkan blog AzlanSajirah ini dengan navbar tersedia di sudut atasnya (berwarna biru).




Untuk menyorok navbar tersebut, dengan tujuan agar template kita lebih ringkas dan kemas kerana tidak diganggu oleh navbar yang kelihatan seperti iklan itu, kita hanya perlu menambahkan coding yang ringkas ini ke dalam sumber HTML bagi blog kita.


#navbar-iframe { height:0px; visibility:hidden; display:none }


Salin (Copy) dan tampal (paste) coding ringkas di atas ke dalam STYLE section, iaitu di antara tag pembuka, <STYLE>, dan tag penutup, </STYLE>, di dalam sumber HTML bagi blog anda.


Hasilnya nanti, navbar tidak akan dipamerkan lagi di sudut atas blog, sebagaimana blog AzlanSajirah ini.




Sekarang, blog anda sudah bebas daripada navbar!

[+] Baca seluruh catatan ini..

Jumaat, April 25, 2008

Asma Allah..

Assalamualaikum..

Teringat pula akan seorang penasyid luar negara yang lagu-lagu dan bait-bait liriknya begitu halus meresap ke dalam jiwa, iaitu Sami Yusuf.


Lagu yang bertajuk Asma Allah ini adalah lagu terbaru daripada penasyid kelahiran Tehran, Iran, dan dibesarkan di London, UK, ini.


'Asma Allah' bermaksud nama-nama Allah. Lagu yang dinyanyikan dalam bahasa Arab ini diselitkan dengan maksudnya dalam bahasa Inggeris di dalam klip video ini agar dapat difahami oleh semua. Marilah kita bersama-sama menghayati maksud nama-nama Allah yang digarap dengan begitu indah di dalam senikata lagu ini.



[+] Baca seluruh catatan ini..

Khamis, April 24, 2008

Fokuskan pada tanda pangkah..

Assalamualaikum dan selamat berkunjung..


Fokuskan penglihatan anda kepada tanda pangkah di tengah-tengah gambar di atas selama lebih kurang 30 saat tanpa sebarang kerdipan mata. Kesannya hanya akan berjaya dilihat bila kita betul-betul fokus.


Apakah yang anda dapati?


Selamat mencuba!

[+] Baca seluruh catatan ini..

Disediakan oleh Tengku Azlan || Hakcipta Terpelihara © 2008