Sabtu, Mei 31, 2008

Ke rumah Aboh..

Assalamualaikum..

Tengahari tadi, kami mengikut AbeMan dan KakMah pulang ke rumah Aboh AbeMan.

"Aboh AbeMan dah dibenarkan balik rumah. Jom la kalau Lan nak ikut.", AbeMan bersuara.

"Ok jugak, AbeMan.", aku bersetuju.

Setelah siap, kami semua bertolak ke Pasir Mas.

"Kita singgah di rumah bapa saudara AbeMan dulu ye? Dia buat kenduri anak dia semalam. Kita kan baru sampai dari kampung. Kena tunjuk muka la walaupun lewat sehari. Tak jauh pun dari rumah Aboh.", KakMah bersuara.

"Ok. Takde masalah.", aku membalas.

Tidak berapa lama selepas itu, kami meminta diri.

Tiba di rumah Aboh AbeMan, kami dijemput masuk oleh adik-beradik AbeMan. Aboh tidak kelihatan. Aboh berada di dalam biliknya kerana dia masih belum sihat sepenuhnya daripada sakitnya yang menyebabkan dia terlantar di hospital sebelum ini.

Menjelang petang, kami pulang ke rumah Mek. Selepas itu, kami pulang ke rumah Ma. Kakcik (adikku) akan naik bas malam ini kerana baru mendapat kerja di Sungai Buluh, Selangor. Kami sempat tiba di rumah Ma untuk mengucapkan selamat jalan kepada Kakcik.

Kami tidur di rumah Ma.

[+] Baca seluruh catatan ini..

Jumaat, Mei 30, 2008

Balik kampung..

Assalamualaikum..

Pagi tadi, kami bertolak ke kampung. 2 orang anak KakPah dan seorang anak KakNa yang ikut serta dengan sepupu-sepupunya, menumpang kereta kami. Malam tadi, mereka tidur di rumah kami. KakPah pula menumpang kereta AbeMan KakMah.

Setelah bertemu di Petronas berhampiran, kami memulakan perjalanan dengan 2 buah kereta, berkonvoi untuk pulang ke kampung.

Menjelang petang, kami semua selamat tiba di rumah Mek.

Alhamdulillah, Mek sudah beransur pulih. Jika ketika mula-mula diserang strok lebih kurang sebulan yang lalu, Mek langsung tidak dapat menggerakkan seluruh badan sebelah kirinya, kali ini Mek sudah mampu mengangkat kaki kirinya dalam keadaan Mek berbaring, walaupun masih lemah.

[+] Baca seluruh catatan ini..

Khamis, Mei 29, 2008

Membawa anak-anak saudara ke Mines..

Assalamualaikum..

Pukul 7.00 malam, KakPah datang, dibawa oleh AbeMan dan KakMah.

"KakPah nak tinggalkan 3 orang anak-anak ni di sini. Pagi esok, anak-anak ni tumpang kereta Lan dan Su lah ye, balik kampung.", KakPah bersuara.

"Ok. Boleh, KakPah. Demi KakPah, segala-galanya sanggup kami redahi.", aku menyahut kata-katanya dengan sedikit seloka kerana kakPah memang seorang yang suka berjenaka. Selalunya, ada saja ayat-ayatnya yang mencuit hati.

"Amboi, adik iparku ini. Klasiknya bahasamu.", balas KakPah dengan deraian ketawanya.

Sebenarnya, esok, kami akan pulang ke kampung. AbeMan dan KakMah pun akan pulang. Kami berpakat untuk bertolak sama-sama. Kami akan turut membawa KakPah dan anak-anaknya pulang. KakPah akan menumpang kereta AbeMan, manakala 3 orang anak-anak akan menumpang kereta kami, memandangkan kami sekarang hanya berdua.

"Su, jangan lupa bawak anak-anak ni shopping. Bawak je ke mana-mana pasaraya. Kalau tak, merajuk pulak budak-budak tu.", KakPah memberitahu adiknya (isteriku) itu sambil memberikan beberapa keping not kertas biru kehijauan untuk perbelanjaan anak-anak itu.

Mereka pulang ke rumah KakMah, meninggalkan anak-anak itu di rumah kami. Selepas solat Maghrib, kami keluar ke Mines yang terletak di Serdang.

"Kita ke Mines, boleh ke, anak-anak?", isteriku bertanya mereka.

"Mana-mana je lah Su. Kami tak kisah."

Tiba di sana, mereka memilih pakaian yang berkenan di hati, sebagai tanda mereka sudah bercuti di Kuala Lumpur.

Setelah selesai semuanya, kami bertolak pulang. Kami keletihan. Namun, barang-barang untuk pulang ke kampung pagi esok perlu disiapkan malam ini juga.

[+] Baca seluruh catatan ini..

Rabu, Mei 28, 2008

KakPah datang dari kampung..

Assalamualaikum dan selamat bertemu kembali..

KakPah datang dari kampung dengan menaiki bas kerana tidak berani memandu kereta dengan jarak perjalanan yang jauh, iaitu Kelantan-Kuala Lumpur.

KakPah..


Dia membawa bersama-samanya 2 orang anak perempuannya dan seorang anak perempuan KakNa. Ini semua adalah kerana ingin melunaskan janjinya untuk membawa mereka berjalan-jalan pada cuti sekolah ini. Di samping anak-anak bercuti, KakPah pun bercuti kerana KakPah adalah seorang guru.

Malam, kami ke rumah KakMah kerana KakPah ada di sana. Sebenarnya, setibanya KakPah dan anak-anaknya di stesen bas, KakMah dan AbeMan lah yang pergi ambil mereka. Mereka akan berada di rumah KakMah sepanjang 'makan angin' mereka di Kuala Lumpur ni.

Sesampainya kami di rumah KakMah, mereka semua nampaknya sudah bersiap untuk ke rumah adik kembar isteriku, T. KakPah cakap, nak kenal rumah. Kami turut menyertai mereka.

Setelah terasa sudah agak lewat, kami meminta diri untuk pulang.

[+] Baca seluruh catatan ini..

Ahad, Mei 25, 2008

Ke Kolej Islam Antarabangsa..

Assalamualaikum..

Pukul 9.00 pagi, kami bertolak ke rumah T kerana sudah berjanji dengan AbeMat untuk menemani mereka ke Kolej Islam Antarabangsa untuk sesi pendaftaran anak mereka, Fatin.


Setelah tiba di rumah T, mereka bersiap-siap. Zati menumpang kereta kami, manakala Anis pula memandu kereta ayah mereka. Kami bertolak.

Syukur kerana jalan tidak terlalu sesak. Kami pun sebenarnya tidak tahu lokasi kolej itu. Kami hanya tahu jalan ke Gombak. Setelah tiba di Gombak, kami mula mengintai-intai bayang kolej tersebut.

"Kak, kolej tu tepi jalan je, kan? Kalau tak silap PakSu lah, rasanya nampak dari jalan kalau nak ke UIA tu.", aku meminta kepastian daripada Zati yang lebih mesra dengan panggilan 'Kak' itu.

"A'ah. Kak pun rasa begitu jugak. Tapi tak nampak pun."

Setelah mencari dan mencari berdasarkan alamat yang dibekalkan, kami belum juga menemukan kolej yang dicari.

Akhirnya, setelah Anis bertanya kawannya yang biasa dengan jalan di situ, kami nampak kolej itu. Yang peliknya, tak nampak macam kolej yang aku dan Zati cakap tadi, iaitu di tepi jalan besar.

Kami masuk ke dewan yang ditunjukkan setelah kami bertanya kepada urusetia yang menguruskan pendaftaran pelajar-pelajar baru itu.

Aku berbual-bual dengan AbeMat sementara Fatin dalam proses pendaftarannya, iaitu mengisi beberapa borang yang berkaitan, ditemani oleh uminya, KakYah.

Isteriku tidak kelihatan. Begitu juga dengan Zati. Aku sangat mengerti keakraban ibu saudara dan anak buahnya yang hanya berbeza umur sebanyak 3 tahun itu. Mereka sungguh rapat. Mesti mereka mencari tempat di mana-mana untuk berkongsi cerita atau apa sahaja. Takpe lah. Ini adalah peluang mereka untuk bertukar-tukar pandangan dan mengadu hal masing-masing.

Setelah siap proses pendaftaran, kami perlu menghantar Fatin ke tempat penginapan yang disediakan oleh pihak kolej.

"Cik, macam mana nak ke asrama?", aku bertanya petugas di situ.

"Kalau encik tak biasa dan takut sesat, encik boleh tunggu van kami. Encik boleh menaiki van, atau ikut belakang van dengan kereta."

"Kalau macam tu, kami ikut dari belakang lah ye."

Beberapa puluh minit menunggu, akhirnya van yang dimaksudkan tiba jua. Kami mengikut van itu. Jalannya bersimpang-siur. Macam jalan kampung dan kawasan perumahan.

Setelah tiba di satu kawasan rumah pangsa, kami menjangkakan bahawa kami belum tiba. Malangnya, anggapan kami meleset sama sekali. Ternyata, rumah pangsa itu adalah asrama yang disediakan oleh kolej berkenaan.

Masuk dari pintu belakang rumah pangsa itu, amatlah membuat kami tergamam seketika. Setelah selesai proses pengambilan kunci bilik, kami dibawa oleh seorang pengawal di situ ke bilik yang disediakan untuk Fatin.

Keadaan sungguh tidak menyenangkan. Terasa seolah-seolah tidak sesuai pelajar kolej ditempatkan di situ memandangkan rumah-rumah pangsa di bangunan yang sama juga didiami oleh orang luar, sama ada keluarga atau bujang.

Setelah tiba di bilik, pandangan kami juga telah dihidangkan dengan suasana rumah sewa yang tidak terurus.

'Kasihan Fatin, terpaksa tinggal di sini. Bolehkah dia belajar dengan selesa? Selamatkah tinggal di sini?', hatiku berkata-kata sendiri.

Kami ke salah satu restoran mamak di kawasan rumah pangsa itu untuk makan tengahari, kemudian berpatah balik ke asrama Fatin untuk menghantarnya. Fatin yang tidak pernah berjauhan daripada ayah dan uminya, seperti tidak sanggup ditinggalkan sendirian, apatah lagi di kediaman seperti itu.

Fatin..


Setelah mengucapkan selamat tinggal kepada Fatin, kami meneruskan agenda kami iaitu ke rumah AbeMi (sepupu isteriku) di Gombak juga. AbeMat dan KakYah sudah berjanji dengan AbeMi untuk singgah di rumah mereka kerana memang di kawasan itu juga.

Setelah mencari-cari rumah AbeMi di dalam keadaan hujan yang lebat, akhirnya kami selamat tiba. Kami dihidangkan dengan Nasi Ayam Dara.

"Ini makanan istimewa di pasar malam di sini.", AbeMi memperkenalkan salah satu keistimewaan makanan di kawasan rumahnya.

AbeMat sekeluarga membuat keputusan untuk bermalam di rumah AbeMi memandangkan ada beberapa hal yang belum selesai berkaitan pendaftaran Fatin tadi. Katanya, mereka akan bertolak pulang ke kampung keesokan harinya setelah selesai semuanya.

"Kalau macam tu, kami balik dulu lah, AbeMi, AbeMat.", aku meminta diri.

"Ok lah. Terima kasih kerana sudi bertandang ke rumah AbeMi. Mesti penat tu, dari pagi temankan AbeMat.", AbeMi tersenyum dengan kata-katanya.

Pukul 9.00 malam, kami bertolak pulang. Tiba di rumah, terasa penat yang tidak terkira!

[+] Baca seluruh catatan ini..

Sabtu, Mei 24, 2008

Nasi Jawa

Assalamualaikum dan salam sejahtera..

Kami menjemput AbeMan dan KakMah sekeluarga ke rumah kami. Isteriku tiba-tiba sahaja ingin mencuba satu masakan iaitu Nasi Jawa.

Tengahari, mereka tiba. Isteriku masih belum siap menyediakan hidangan Nasi Jawanya. Setelah semuanya siap, kami sama-sama menjamu selera. Erm, sedap juga Nasi Jawa ni. Ini kali pertama aku merasa menu ini.

Setelah siap menikmati hidangan tersebut, kami mendapat tahu bahawa KakYah (kakak isteriku) dan AbeMat sekeluarga datang dari kampung dengan kereta kerana ingin menghantar anak mereka, Fatin, untuk melanjutkan pengajian di Kolej Islam Antarabangsa di Gombak. Mereka bercadang untuk ke rumah adik kembar isteriku, T, dan bermalam di sana.

"Lan, AbeMan balik dulu lah. Kita jumpa lagi di rumah T malam ni.", AbeMan bersuara.

"Ok, AbeMan."

Kami berjanji untuk ke rumah adik iparku itu untuk bertemu kakak iparku yang datang dari kampung itu.

Malam, setelah kami tiba di rumah T, kelihatan AbeMan sekeluarga sudah ada. Nampaknya KakYah dan AbeMat bukan hanya membawa Fatin, tetapi juga 2 orang kakak Fatin, iaitu Zati dan Anis, untuk menemani perjalanan yang jauh itu. Mat, suami T pulak, selaku tuan rumah, tiada di rumah. Hari ni, dia bekerja shift malam.

AbeMat..


"AbeMat sihat?", aku memulakan soalan untuk berbasi-basi.

"Alhamdulillah, Lan. Tapi macam ni lah, orang yang dah tua macam AbeMat ni.", dia menjawab dengan senyuman.

"Esok ni, macam mana, AbeMat, KakYah? Tahu ke, jalan nak ke kolej tu?"

"Tak tahu. Nanti esok, kami cuba cari lah.", KakYah menyahut persoalanku.

KakYah..


"Kalau takde orang nak temankan, biar Lan dengan Su (panggilan untuk isteriku) temankan lah. Lagi pun, esok Lan free."

"Eh, tak menyusahkan Lan ke?"

"Takpe, AbeMat. Tak menyusahkan pun. Pagi esok, Lan datang sini lah. Kita bertolak sama-sama. Kita cari sama-sama."

"Ok lah kalau macam tu. Terima kasih lah, Lan."

Lebih kurang pukul 11.00 malam, kami meminta diri untuk pulang.

[+] Baca seluruh catatan ini..

Isnin, Mei 19, 2008

Kaklong sekeluarga datang..

Assalamualaikum..

Pagi tadi, Kaklong memaklumkan bahawa mereka 3 beranak akan singgah di rumah kami dari rumah MakNa di Seremban, sebelum bertolak pulang ke Parit Buntar, Perak.

Kaklong & Abelong..


Tengahari, setelah hampir sejam mereka bertolak, mereka tidak menemukan jalan yang aku petakan melalui SMS. Sebenarnya, mereka sudah melepasi plaza tol Kajang. Lepas tol itu lah, mereka keliru dengan papan tanda ke Seri Kembangan.

Aku memang mengakui bahawa kadang-kadang, papan tanda yang tertulis 'Seri Kembangan' tidak boleh dijadikan panduan untuk ke rumah kami kerana sudah beberapa kali kami mencuba beberapa jalan tetapi ternyata semakin jauh daripada haluan ke rumah kami. Setelah beberapa bulan tinggal di sini, barulah kami tahu dan biasa dengan selok-belok jalan untuk ke sini.

Akhirnya, sebagai penyelesaiannya, kami membuat keputusan untuk bertemu di Putrajaya, Presint 1, blok D. Mereka hanya perlu mengikut papan tanda kerana jalan ke sana tidak mengelirukan. Setelah bertemu di tempat tersebut, kami sama-sama pulang.

Setelah tiba, aku terus mendapatkan satu-satunya anak saudaraku setakat ini, iaitu Iffah.

Iffah yang comel..


"AyohNgoh rindu lah ko Iffah! Cepatnya dia besar ye..", aku mengambil Iffah daripada uminya.

"Mari lah masuk, Kaklong, Abelong.", isteriku mempelawa.

Setelah memasak dan sama-sama menjamu selera, kami berbual-bual seketika sambil mereka ingin menghilangkan penat dan mengumpul tenaga sebelum meneruskan perjalanan 3-4 jam ke rumah mereka di Parit Buntar.

Setelah hampir 2 jam, mereka meminta diri untuk pulang.

[+] Baca seluruh catatan ini..

Sabtu, Mei 17, 2008

Wak datang..

Assalamualaikum..

Kawan sefakultiku suatu ketika dahulu yang dikenali dengan panggilan Wak, menghubungi telefon bimbitku.

Wak..


"Lan, aku nak datang rumah kau hari ni. Boleh tak?"

"Boleh je. Pukul berapa nak datang, Wak?"

"Tengok lah, petang nanti aku inform balik. Ok?"

"Ok, Wak."

Pukul 4.30 petang, Wak call lagi, menyatakan bahawa dia berada di Stesen Komuter Serdang, dan meminta aku mengambilnya di sana.

Aku keluar bersendirian untuk mengambil Wak.

"Sayang, jaga diri di rumah ye. Abang nak pergi ambil Wak. Sekejap je."

"Ok, bang. Hati-hati memandu ye."

Setelah mengambil Wak, aku singgah membeli sedikit kuih dan lauk. Lebih kurang pukul 6.00 petang, aku dan Wak tiba di rumahku.

"Lan, aku ada hajat ni. Aku nak belanja kau dan isteri kau malam ni."

"Eh, tak payah la susah-susah, Wak."

"Takpe. Aku memang dah niat nak belanja."

Setelah solat maghrib, kami bertiga ke Jusco Taman Equine yang tidak jauh dari rumah. Kami makan di dalam Jusco. Semasa makan, macam-macam la cerita yang keluar.

Setelah siap makan, kami menuju ke Stesen Komuter Serdang untuk menghantar Wak.

Dalam perjalanan pulang, aku menghantar satu mesej kepada kakakku, Kaklong.

"Kaklong, jadi ke, nak pergi rumah MakNa? Kalau jadi, singgah la rumah Lan sebelum balik Parit Buntar."

Minggu lepas, Kaklong menyatakan keinginannya untuk ke rumah MakNa, melawat anak keenam MakNa yang baru dilahirkan.

"Kami sampai rumah MakNa pukul 4.00 petang tadi. InsyaALLAH kami akan singgah.", Kaklong membalas mesejku tadi.

[+] Baca seluruh catatan ini..

Jumaat, Mei 16, 2008

Satu mesej..

Assalamualaikum..

"Kepada semua kawan-kawan yang dikasihi. Jika anda mendapat panggilan telefon yang bernombor panjang, contohnya +62852731520946 dan nombor berwarna merah, diharap sangat agar jangan diangkat dan dijawab panggilan itu. Ini kerana di Indonesia sekarang, sekumpulan penuntut ilmu hitam sedang menguji ilmu mereka melalui telefon. Sesiapa yang menjawab panggilan itu, mulut akan berbu.........."

Begitulah ayat di dalam mesej yang dihantar oleh bapa saudaraku, AyahCik, ke handphoneku malam tadi. Mungkin ayatnya terlalu panjang sehingga hanya sebahagian sahaja daripada ayat-ayat itu selamat tiba di handphoneku. Sebaik sahaja menerima mesej itu, aku membaca sekali lalu sahaja.

"Siapa hantar mesej tu, bang?"

"AyahCik."

Itu sahaja jawapan daripadaku. Aku mengantuk kerana malam sudah agak lewat. Aku pasti, isteriku juga mengantuk. Lantas, aku tidak menghiraukan mesej itu.


Pagi tadi, sebaik sahaja aku tiba di tempat kerja, handphoneku berdering.

"Abang, Abang dapat tahu mengenai satu panggilan tak? Nombor dia panjang, lepas tu warna merah. Heboh kat ofis Sayang hari ni."

"Laa.. Sebenarnya mesej pasal tu lah yang AyahCik hantar malam tadi, Sayang. Abang pun baca sekali lalu je."

"Owh.. Ye ke? Sayang tak tanya, dan Abang pulak tak beritahu malam tadi."

"Erm. Mengantuk sangat. Abang nampak, Sayang pun letih je."

Aku sekadar ingin berkongsi mengenai mesej itu. Untuk mempercayainya atau pun tidak, terpulang kepada diri kita sendiri. Yang paling penting, langkah berjaga-jaga mesti diambil supaya risiko dapat dikurangkan.

[+] Baca seluruh catatan ini..

"Selamat Hari Guru" kepada Abah dan Kaklong..

Assalamualaikum dan selamat bertemu kembali..

Hari ini, semua tenaga pengajar diraikan dengan sambutan hari guru. Bersempena dengan sambutan tersebut, aku dengan ikhlas hati ingin mengucapkan "Selamat Hari Guru" kepada Abah yang telah sekian lama bergelar guru.

Abah..


Nama Abah : Raja Mamat bin Raja Ali..

Bagi anak-anak didik Abah di sekolah-sekolah yang pernah Abah bertugas, Abah mungkin hanya dianggap sebagai guru atau pengajar. Tetapi, bagi diriku dan adik-beradikku, Abah lebih daripada sekadar seorang guru. Malah, Abah adalah pendidik, pengasuh, dan segala-galanya dalam keluarga kami. Abah telah banyak mengajar kami tentang erti hidup ini, dan sanggup berkorban segala-galanya semata-mata kerana ingin melihat kami terdidik dengan ilmu dan iman yang akan membentuk peribadi dan jiwa kami semua.

"Terima kasih, Abah! Didikan dan tunjuk ajar Abah selama ini akan tetap kami hargai dan sanjungi.."

Tidak ketinggalan, hari ini juga adalah hari yang bermakna untuk Kaklong (kakakku yang sulung) yang kini bertugas sebagai guru JQAF di Parit Buntar, Perak.

Kaklong..


Nama Kaklong : Tengku Nur Azira binti Raja Mamat..

"Semoga Kaklong sentiasa sabar dalam mendidik anak-anak bangsa kita.."

Tidak lupa juga, hari ini adalah hari untuk meraikan semua guru yang pernah mengajar dan mendidikku secara formal di Sekolah Kebangsaan Seribong, Sekolah Menengah Ugama (Arab) Maahad Muhammadi Lilbanin, Kolej MARA Seremban, dan Universiti Malaya.

Akhir sekali, kepada sesiapa sahaja yang pernah memberikan ilmu dan tunjuk ajar kepadaku seperti di Pondok Lubuk Tapah, Pondok Pasir Tumboh, dan semua yang tidak mampu disenaraikan di sini.

"Selamat Hari Guru" diucapkan kepada semua guru di mana sahaja anda berada!

[+] Baca seluruh catatan ini..

Selasa, Mei 13, 2008

Lagu untuk Ma dan Mek..

Assalamualaikum dan selamat datang..

Hari ini adalah ialah hari ulangtahun kelahiran ibu dan adik bongsuku; Ma dan AdikJiha. Umur Ma telah menjangkau 47. AdikJiha pula baru mencecah 6 tahun. Kedua-dua mereka mempunyai tarikh lahir yang sama iaitu pada 13 Mei.


"Selamat Hari Lahir" diucapkan kepada Ma dan AdikJiha!


Ma dan AdikJiha..


Nama Ma : Che Karimah binti Md Noor..
Nama AdikJiha : Raja Nur Aziha binti Raja Mamat..


Sempena hari lahir mereka, juga berkebetulan dengan hari ibu, dengan seikhlas hatiku, aku mendedikasikan lagu ini (walaupun sumbang) khusus untuk ibuku yang tercinta.






Buatmu ibu

Ibu.. bergenang air mataku.
Terbayang wajahmu yang redup sayu.
Kudusnya kasih yang engkau hamparkan.
Bagaikan laut yang tak bertepian.

Biarpun kepahitan telah engkau rasakan.
Tidak pun kau merasa jemu.
Mengasuh dan mendidik kami semua anakmu.
Dari kecil hingga dewasa.

Hidupmu kau korbankan.
Biarpun dirimu yang telah terkorban.
Tak dapat ku balasi akan semua ini.
Semoga TUHAN memberkati kehidupanmu ibu.

Ibu, kau ampunilah dosaku.
Andainya pernah menghiris hatimu.
Restumu yang amat aku harapkan.
Kerana di situ letak syurgaku.

Tabahnya melayani kenakalan anakmu.
Mengajarku erti kesabaran.
Kau bagai pelita di kala aku kegelapan.
Menyuluh jalan kehidupan.

Kasih sayangmu sungguh bernilai.
Itulah harta yang kau berikan.

Ibu, dengarlah rintih hatiku,
untukmu ibu.

Ibu, kau ampunilah dosaku.
Andainya pernah menghiris hatimu.
Restumu yang amat aku harapkan.
Kerana di situ letak syurgaku.

Tabahnya melayani kenakalan anakmu.
Mengajarku erti kesabaran.
Kau bagai pelita di kala aku kegelapan.
Menyuluh jalan kehidupan.

Kasihanilah TUHAN,
ibu yang telah melahirkan diriku.
Bagaikan kasih ibu sewaktu kecilku.

Moga bahgia ibu di dunia dan di akhirat sana.
Moga bahgia ibu di dunia dan di akhirat sana.


"Ma, ampunkan segala kesilapan dan keterlanjuran Abengoh pada Ma selama ini. Dengarkanlah luahan hati Abengoh melalui dendangan lagu ini.."

Tidak lupa juga kepada ibu mertuaku yang sedang sakit di kampung.


Mek..


"Kami di sini sentiasa berdoa agar Mek cepat sembuh. Ampunkan segala kesalahan kami, Mek.."

"Selamat Hari Ibu" kepada semua ibu di dunia!

[+] Baca seluruh catatan ini..

Sabtu, Mei 10, 2008

Ambil Mok dan Kakcik di rumah MakNa..

Assalamualaikum..

Pukul 11.00 pagi, kami bertolak ke Seremban; rumah ibu saudaraku, MakNa (adik Ma). Jem teruk. Tak tahu lah apa puncanya. Jika tidak kerana kesesakan seperti itu, dalam masa lebih kurang satu jam sahaja, boleh sampai di Seremban. Pukul 2.30 petang, baru kami sampai di sana. MakNa sekeluarga nampaknya ada di rumah.

MakNa..


Sebenarnya, kami ke sana kerana nenekku (Mok) dan adik perempuanku (Kakcik) ada di sana. Mereka datang dari kampung untuk menziarahi MakNa yang baru melahirkan anak keenamnya. Mok dan Kakcik ingin datang ke rumah kami.

Kakcik..


Setelah Mok dan Kakcik siap, kami bertolak lebih kurang pukul 4.00 petang. Perjalanan nampaknya begitu lancar. Seperti perkiraanku, memang masa perjalanan hanya satu jam. Pukul 5.00 petang, kami selamat tiba di rumah kami di Seri Kembangan.

Selesai makan dan solat, kami semua bersiap-siap untuk ke Putrajaya Sentral. Mok dan Kakcik akan bertolak balik kampung dengan menaiki bas pada pukul 8.30 malam di sana.

"Inilah Masjid Putra, Putrajaya, Mok.", isteriku memberitahu setelah melalui masjid tersebut. Kerana kesuntukan masa, cukup lah sekadar kami lalu dan memerhatikannya dari dalam kereta.

"Nanti kalau orang tanya, boleh lah Mok beritahu, Mok dah datang Masjid Putra, Putrajaya.", adikku menambah.

Mok..


Kami tiba di Putrajaya Sentral tepat pukul 8.25 malam. Setelah Mok dan Kakcik memasuki bas tersebut, ia terus memulakan perjalanan. Nampaknya, hanya mereka berdua penumpang yang naik di situ. Dah dapat penumpang yang ditunggu-tunggu, terus meninggalkan stesen bas itu.

Setelah melambai-lambai mereka dan bas sudah mula hilang dari pandangan, kami berjalan menuju ke kereta dan memulakan perjalanan pulang.

[+] Baca seluruh catatan ini..

Khamis, Mei 08, 2008

Hari isnin di kampung..

Assalamualaikum dan selamat bertemu kembali..

Pagi isnin, 5 Mei 2008, kami bersiap-siap untuk bertolak ke KL. Walaupun sudah siap, kami belum boleh bertolak kerana tiada sesiapa yang dapat menjaga Mek di rumah. AbeSul nak ke hospital dengan isterinya (KakSa), untuk membawa bayi kecilnya bagi pemeriksaan doktor.

Kami terpaksa menunggu KakDah atau KakPah tiba untuk menjaga Mek. Tiba-tiba, kelihatan MakCikDah datang dengan motosikalnya. Aku menyalaminya dan mempersilakannya masuk.

"MakcikDah, malam tadi kami pergi ke rumah MakcikDah, tapi macam takde orang je. Dah banyak kali ketuk pintu dan bagi salam.", aku mula bercerita kepadanya.

MakcikDah


"Laa.. Ye ke? Malam tadi kami tak ke mana-mana. Mungkin tak dengar la tu. Maaf ye, Abengoh."

"Takpe, MakcikDah. InsyaAllah, lain kali ye. Malam tadi juga, kami ke rumah PokJid. Dia ada."

"Ooo.. Nasib baik dia ada. Erm, Abengoh nak bertolak hari ni ke?"

"InsyaAllah, sekejap lagi. Ha, tu pun KakPah sampai."

Akhirnya KakPah tiba jua. KakPah bersalam-salaman dengan MakcikDah. Mereka sama-sama ke bilik Mek.

"Mek, kami dah nak bertolak ni.", aku yang juga mewakili isteriku, meminta diri dengan Mek untuk bertolak.

"Baiklah. Hati-hati memandu. Perlahan pun takpe. Yang penting, selamat.", Mek memberikan nasihatnya kepada kami.

Kami menyalami tangan lemah Mek. Kami nampak kesayuan di raut wajah Mek. Syukur juga ada tetamu ketika itu kerana disebabkan itu, kami dapat menahan sebak di dada.

Setelah menyalami Ayah, pukul 10.30 pagi, baru lah kami bertolak. KakDah sekeluarga baru tiba ketika itu.

"Ma, kami baru bertolak ni.", aku menghubungi Ma.

"Baiklah. Hati-hati ye. Kalau mengantuk, berhenti rehat.", begitulah nasihat Ma.

Setelah beberapa jam dalam perjalanan, kami berhenti di R & R Gua Musang pada pukul 1.30 tengahari untuk makan tengahari dan solat Zohor dan Asar secara qosar dan jamak taqdim.

Kami meneruskan perjalanan dan alhamdulillah, kami selamat tiba di rumah kami di Seri Kembangan pukul 8.00 malam. Aku menghantar mesej kepada Ma.

"Ma, kami baru sampai."

Ma membalas mesejku.

"Alhamdulillah, selamat."

[+] Baca seluruh catatan ini..

Hari ahad di kampung..

Assalamualaikum..

Pagi itu, 2 buah keluarga akan mula bertolak ke KL, iaitu keluarga AbeMan dan KakMah dengan 6 orang anak mereka, dan keluarga Mat dan Ti dengan 2 orang anak mereka.

AbeKiman dan KakTi serta anak-anak mereka pulak akan bertolak ke Bentong pada hari itu juga, cuma mungkin lewat sedikit kerana AbeKiman ingin juga menyiapkan tandas yang dibinanya itu sebelum berangkat.

Kami telah membuat keputusan untuk bertolak keesokan harinya kerana ingin menggunakan masa yang lebih sedikit untuk berbakti kepada Mek yang masih sakit itu.

Mek menghulurkan satu cebisan kertas yang tertera beberapa nombor bertulisan tangan kepada AbeMan. Mek meminta AbeMan menghubungi nombor itu, iaitu rumah seorang tukang urut yang tinggal di Chicha. Kedengarannya, dia memang terkenal dalam bab urut mengurut pesakit strok ni.

"PakHim kata, dia ada kat rumah hari ni.", AbeMan memberitahu semua yang ada setelah selesai menghubungi nombor itu.

"Biar Lan lah yang pergi ambik PakHim sebab Lan belum nak bertolak balik KL lagi hari ni.", aku menawarkan diri.

"Lan belum nak bertolak hari ni?"

"Esok kot, AbeMan. InsyaAllah."

"Erm. Ok lah kalau macam tu."

"Tapi, siapa pernah pergi rumah PakHim tu?", aku bertanya.

"Ayah pernah pergi.", Mek bersuara dari dalam biliknya.

"Ayah, temankan Lan pergi ambik PakHim ye.", aku memaklumkan kepada Ayah yang sedang duduk di sofa berdekatan.

"Ye lah. Tapi Ayah nak ke kedai kopi sekejap.", Ayah menjawab.

Setelah aku siap untuk ke rumah PakHim, kelibat Ayah sudah tidak kelihatan. Aku sangka, mesti Ayah berada di belakang rumah, sebagaimana selalu, membuat apa-apa kerja kerana kerajinannya itu.

Setelah mencari tetapi tidak ketemu, aku bertanya ipar-ipar dan biras-birasku.

"Ayah mana?"

"Ayah pergi kedai kopi la kot.", jawab AbeMan membuat telahan.

"Eh, tadi Lan dah beritahu dia, Lan nak ajak dia temankan Lan pergi ambik PakHim. Ingat, nak bawak dia ke kedai kopi tu dulu, kemudian terus ke sana.", aku menjawab.

"Ayah tu, memang kadang-kadang susah nak faham dia.", AbeMan akhirnya membuat kesimpulan mengenai bapa mertua kami yang sudah lama dikenalinya itu.

Rupa-rupanya, Ayah memang sudah pergi ke kedai kopi kegemarannya itu. Senang sahaja nak tahu. Bila tengok basikal tua kesayangannya tiada di tempatnya, memang amat besar lah kemungkinan bahawa dia ke situ.

Aku mamandu kereta menuju kedai kopi itu. Memang sah Ayah berada di situ. Untuk menemani Ayah, aku memesan teh 'O' panas.

Tiba-tiba, nampak MakcikDah, seorang ibu saudaraku yang memang tinggal di kampung isteriku itu, menuju ke kedai tempat kami sedang minum itu. Aku menyapanya. Dia bertanya khabar mengenai keadaan Mek. Dia memberitahuku bahawa dia baru sahaja mendapat tahu mengenai keadaan Mek itu. Dia juga menjemput aku dan isteri ke rumahnya sebagai pengantin baru memandangkan kami tidak sempat ke rumahnya selepas majlis kami lebih kurang 2 bulan yang lalu.

"InsyaAllah, MakcikDah. Maaf sebab belum sempat lagi nak pergi ke rumah MakcikDah. Ni pun balik kampung tanpa dirancang. Balik rumah Ma pun satu malam je", aku menjawab.

"Takpe. Nanti MakcikDah pergi ziarah Mek ye.", dia nampaknya memahami situasiku.

Beberapa minit selepas MakcikDah beredar, aku dan Ayah menuju ke rumah PakHim. Basikal Ayah ditinggalkan di kedai itu sementara kami ke rumah PakHim.

Rumah PakHim di tepi jalan. Tidak susah untuk mencarinya. Kami pulang membawa PakHim. Setelah meninggalkan Ayah di kedai tadi untuk pulang bersama basikal tua kesayangannya itu, aku membawa PakHim ke rumah Mek. Kelihatan 2 buah keluarga yang ingin bertolak tadi masih belum selesai bersiap.

Aku terus membawa PakHim menuju ke pembaringan Mek. Aku mendudukkan Mek setelah dipinta begitu oleh PakHim bagi memudahkan urusan pengubatannya.

"Ada harapan untuk sembuh ni.", PakHim bersuara sambil memandangku.

"Syukurlah kalau macam tu, PakHim.", aku membalas pandangannya yang menampakkan sinar harapan.

"Tengok ni. Bila PakHim picit di sini, jari-jari Mek bergerak. Itu menunjukkan urat sarafnya masih belum mati.", PakHim bercerita berdasarkan pengalamannya.

"Ooo.. Begitu ye, PakHim.", aku melayan PakHim di kala ipar-ipar dan biras-biras sedang sibuk dengan urusan masing-masing.

Alhamdulillah. Lega hatiku sebaik sahaja mendengar ungkapan positif daripada PakHim. Aku sebenarnya sudah menjangkakan keadaan sedemikian kerana ketika aku memicit-micit badan Mek, Mek pernah memberitahu bahawa Mek berasa sakit di bahagian yang tidak dapat bergerak itu. Itu bermakna, deria sakitnya masih berfungsi.

Beberapa minit sahaja diurut oleh PakHim, keadaan Mek kelihatan bertambah baik. Muka sebelah kiri Mek yang nampak kusam sebelum itu nampaknya mula segar. Percakapan Mek pun bertambah jelas. Aku dapat melihat kegembiraan terpancar di wajah Mek. Hatiku tidak putus-putus berdoa agar Mek cepat sembuh.

Akhirnya PakHim berhenti. Katanya, pesakit strok tidak boleh diurut terlalu lama kerana dikhuatiri ototnya akan lebam. Pesannya, selang beberapa hari, mesti diurut lagi.

Aku menghantar PakHim pulang ke rumahnya. Di dalam kereta, kami berbual-bual mengenai keluarga masing-masing.

"Dari mana PakHim belajar mengurut ni? Atau kebolehan ini adalah warisan keluarga PakHim?", aku mula menyingkap sejarah kepakarannya itu.

"PakHim tak belajar mana-mana pun. Warisan keluarga pun bukan. Mungkin ia adalah satu anugerah kerana PakHim cuba-cuba je. Alhamdulillah, ramai pesakit strok yang sudah pulih di tangan PakHim, dengan izin Allah jua.", PakHim bercerita dengan jujur.

"Owh. Kalau macam tu, saya pun ada pengalaman begitu. Pernah kawan-kawan yang jatuh motosikal atau lenguh-lenguh badan minta saya urutkan. Lepas tu, mereka tanya, dari mana saya belajar mengurut. Padahal, saya picit-picit macam tu je."

Mendengarkan cerita daripadaku, PakHim kemudian memberitahu beberapa tempat yang boleh diurut jika mengantuk, dan beberapa teknik mengurut secara ringkas. Dalam perjalanan yang pendek itu, alhamdulillah, aku telah mendapat sedikit ilmu.

Setelah selamat menghantar PakHim ke rumahnya, aku menuju pulang ke rumah Mek. Setibanya aku, kelihatan kereta AbeMan mula bergerak. Aku hanya menunggu di luar kereta, untuk bersalam dengan AbeMan.

"Selamat jalan, AbeMan.", aku menyalami AbeMan yang menghulurkan tangan dari tingkap keretanya. KakMah berada di sebelah AbeMan. Anak-anak mereka bising di ruang belakang.

"Terima kasih. Jadi balik esok lah ni?"

"InsyaAllah, AbeMan."

AbeMan mula bertolak. Kemudian, kereta Mat pula menyusul. Aku juga menyalami Mat sambil mengucapkan selamat jalan kepadanya. Ti berada di sebelah Mat sambil meriba bayi kecil mereka. Anak sulung mereka, Haikal, berada di tempat duduk belakang.

Aku kembali ke dalam rumah. AbeKiman masih dengan kerjanya untuk menyiapkan tandas. Paip sudah mula disambung. Aku membantu mana yang termampu untuk mempercepatkan kerja memandangkan AbeKiman sudah kesuntukan masa.

Lebih kurang pukul 3.00 petang, baru AbeKiman bertolak. Tandas sudah boleh digunakan. Ketika AbeKiman bersalam dengan Mek, aku nampak AbeKiman menangis tetapi dengan tertahan-tahan. Mungkin dia tidak sanggup untuk meninggalkan Mek dalam keadaan begitu. Namun, urusan kerja tidak boleh juga ditinggalkan terus demi kelangsungan hidup mereka sekeluarga.

Aku memicit-micit badan Mek.

"Lan, nanti pergi lah ke rumah MakcikDah dan PokJid tu. Nanti kecik hati mereka, langsung tak jenguk sejak Lan kahwin ni. Kalau jauh, mungkin takpe. Tapi, mereka dengan Mek ni, sekampung je.", Mek berpesan kepadaku.

"Ye, Mek. Lan pun bercadang nak pergi dengan Jie malam ni. Tadi terserempak dengan MakcikDah di kedai kopi.", aku bercerita. Mek kelihatan lega setelah aku menyatakan hasratku itu.

Pada malam itu, selepas solat Maghrib, kami berjalan kaki ke rumah MakYah (saudara Ayah) yang tidak jauh dari rumah Mek. Dia juga sudah berkali-kali mengajak kami ke rumahnya. Setelah dijamu dengan hidangan yang ringkas, kami meminta diri kerana sudah kesuntukan masa. Kami ingin melawati 2 buah rumah lagi pada malam itu.

Sesampainya kami di rumah MakcikDah, hujan mula turun. Kami mengetuk pintu rumah dan memberi salam, namun tiada jawapan dari dalam rumah. Sebuah kereta kelihatan ada di garaj rumah.

"Takde jawapan lah, Sayang."

"Tapi bang, Sayang nampak, dalam rumah, lampu terpasang."

"A'ah kan. Kereta pun ada. Tapi, mungkin dia keluar dengan motor atau sudah tidur. Dah banyak kali kita ketuk pintu dan beri salam, tapi tetap juga tiada jawapan."

Hujan mula lebat. Jam di tanganku menunjukkan pukul 10.00 malam.

"Sayang, mari kita ke rumah PokJid pulak. Malam makin larut. Hujan pulak makin lebat."

"Baiklah bang. Lagi pun, kita dah datang tapi dia takde. Lain kali la pulak. Kita pun kesuntukan masa ni."

PokJid dan MakcikYah


Setibanya di rumah PokJid, hujan masih juga lebat. Syukurlah, PokJid sekeluarga ada di rumah. Setelah memberi salam dan menyalaminya, kami dipersilakan masuk.

"Ingatkan siapa lah tadi. Rupa-rupanya pengantin baru!", PokJid mula berseloroh.

Dia memang suka berjenaka. Tidak kering gusi dibuatnya jika dia turut serta dalam mana-mana perbualan.

Banyak juga perkara yang kami bualkan. Dia baru pulang dari Terengganu. Makan angin la tu. Dia juga bertanya mengenai keadaan Mek.

Tiba-tiba, lampu terpadam. Elektrik terputus! Mungkin disebabkan oleh hujan yang begitu lebat, sistem litar diputuskan secara automatik untuk keselamatan penghuni. Akhirnya, lilin dipasang dan kami berbual dalam suasana yang 'romantik' itu.

Setelah berasa agak lama, kami meminta diri untuk pulang. Hujan masih lebat dan kami masih bergelap. Namun, kami terpaksa pulang memandangkan sudah agak lewat malam.

"InsyaAllah, kalau nak pergi makan angin, kita pakat la ye. lama tak jalan-jalan dengan PokJid.", aku memberitahunya sebelum bertolak pulang.

"Beres, Lan!", PokJid menjawab dengan wajah yang tidak lokek dengan senyuman itu.

Kami tiba di rumah Mek lebih kurang pukul 11.30 malam. Bekalan elektrik di rumah Mek juga terputus. Nampaknya, sekampung mengalami keadaan yang sama. Kami menjenguk Mek. Mek sudah dipindahkan ke bilik yang telah disiapkan tandas itu. Mek sudah tidur ditemani oleh Ayah.

[+] Baca seluruh catatan ini..

Hari sabtu di kampung..

Assalamualaikum..

Petang, kami balik semula ke rumah Mek. Asalnya, kami ingin bertolak selepas solat zohor, tetapi, tiba-tiba pula hujan turun dengan lebatnya. Jadi, terpaksa lah kami menunggu sehingga hujan agak reda sedikit. Ma pun sebenarnya sangat memahami keadaan kami yang semestinya lebih diperlukan di rumah Mek kerana Mek masih sakit.

Sesampainya di rumah Mek, seperti kebiasaannya semenjak Mek sakit, kelihatan ramai anak dan cucu Mek dan beberapa orang tetamu yang silih berganti tidak putus-putus bertamu. Kelihatan AbeMan dan KakMah sedang bersiap-siap seperti ingin keluar. Kami masuk bertemu dengan Mek.

"Mek, kami dah balik.", aku memulakan bicara sambil kami menyalami tangannya yang lemah.

"Lan, Jie, pergi lah ikut AbeMan dan KakMah jenguk Aboh AbeMan di Hospital Pasir Mas. Kurang elok pulak, dah ada kat kampung, tapi langsung tak jenguk dia. Lagi pun, dia pun sakit juga.", Mek yang sentiasa memahami situasi kami sebagai pengantin baru itu, memberi nasihat sedemikian.

"Macam mana, bang?", isteriku menoleh ke arahku.

"Erm, tapi Mek, kami baru je tiba dari rumah Ma. Nanti, apa kata adik-beradik yang lain? Siapa pulak nak jaga Mek?", aku meluahkan kerisauan yang terbuku di hati.

"Takpe. Kan ramai ada di sini. Lagi pun, pergi sekejap je. Sekurang-kurangnya, pergi jenguk Aboh AbeMan tu.", Mek merungkai kerisauan kami tadi.

"Ok lah kalau macam tu, Mek.", akhirnya kami akur apabila Mek memberikan kelegaan di hati kami.

Kami terus bergegas untuk solat Asar. Setelah isteriku memaklumkan kepada KakMah mengenai perkara itu, kami mula bersiap-siap.

Kami hanya menumpang kereta AbeMan memandangkan AbeMan tidak membawa semua anaknya yang seramai 6 orang itu. Yang dibawa bersama hanyalah anak bongsu yang masih kecil; Ayen dan seorang lagi anaknya yang berumur 8 tahun; Edi.

Makcik (saudara sebelah Ayah) yang tinggal di sebelah rumah juga ikut sama kerana dia sudah lama berhajat ingin ke sana. Berkebetulan petang itu, dapat lah dia menumpang sekali.

Sesampainya di hospital, kami ke wad yang menempatkan Aboh. Kelihatan ramai adik-beradik AbeMan di situ. Mereka bergilir-gilir menjaga Aboh. Dapat lah juga aku kenal serba sedikit dengan keluarga AbeMan.

Tenang sungguh jiwaku bila terpandang wajah Aboh. Sudah banyak juga yang aku dengar daripada AbeMan mengenai ayahnya itu. Aboh lama belajar di pondok. Aboh juga dikurniakan kelebihan untuk mengubati beberapa jenis penyakit. Setelah hanya mendengar mengenai Aboh, kini aku sudah berpeluang bertemu mata dengannya.

"Kerja di mana?", Aboh bertanya kepadaku dengan suara antara dengar dan tidak, dengan wayar berselirat keluar dari hidungnya.

"Di KL, Aboh."

"Mengajar ke?"

"Tak."

"Buat perniagaan ye? Bagus lah, sebab kita akan dapat lebih bila kita usaha lebih."

Hanya berdasarkan dialog ringkas dengan Aboh itu, aku sudah dapat mengesahkan apa yang pernah diceritakan oleh AbeMan mengenai Aboh, iaitu Aboh dapat membaca apa yang tersirat.

Dalam perbualan tadi, aku langsung tidak menyebut bahawa aku membuat perniagaan atau bisnes, tetapi Aboh terus memuji kerjayaku itu seolah-olah aku sudah menyatakan kepadanya bahawa aku sedang mengusahakan suatu bisnes.

Lebih kurang pukul 7.00 malam, semua pelawat diberi amaran bahawa waktu melawat sudah tamat. Kami bertolak pulang ke rumah Mek.

Pengalaman bertemu dengan Aboh adalah antara pengalaman yang berharga dalam hidupku.

[+] Baca seluruh catatan ini..

Rabu, Mei 07, 2008

Hari jumaat di kampung..

Assalamualaikum..

Pagi jumaat, 2 Mei 2008, pagi-pagi lagi aku turun ke belakang rumah Mek, membantu AbeKiman menyambung kerja-kerja membina tandas untuk Mek. Nanti, bila sudah siap, boleh lah Mek dipindahkan ke bilik itu. Air tidak perlu lagi diangkut sebaldi demi sebaldi ke dalam bilik. Sementara tandas itu siap, Mek ditempatkan di dalam bilik depan, berhampiran dengan pintu utama rumah.


Anak-anak dan menantu-menantu lelaki sibuk sama-sama bergotong-royong untuk menyiapkan tandas tersebut; aku, AbeKiman, AbeMan, AbeSul, dan Mat. Ayah yang begitu berpengalaman dalam bidang pertukangan rumah pun turut sama membantu. Tetapi, disebabkan ramai anak dan menantu lelaki, belum sempat Ayah nak buat sesuatu, dah siap kami 'kerja'kan. Akhirnya, Ayah terpaksa menjadi penasihat dan hanya memberi tunjuk ajar sahaja.


Fikiranku tiba-tiba melayang jauh, mengimbas peribadi bapa mertuaku itu.


***************


Ayah memang rajin. Walaupun sudah agak berusia, selagi dia berasa larat untuk membuat kerja, dia akan turun ke padang, menguruskan lembu peliharaannya yang sudah tinggal seekor itu, atau membersihkan kawasan belakang rumah yang ditanam olehnya dengan bermacam-macam pokok buah-buahan itu.


Bapa mertuaku (Ayah)


Mek selalu risau dengan kerajinan Ayah itu kerana umur Ayah sudah lanjut. Walaupun dinasihatkan oleh Mek supaya hanya berehat di rumah, Ayah tidak menghiraukan nasihat itu. Teringat pula pada petang sebelum malam akad nikahku, ketika aku mendapat panggilan telefon daripada isteriku (bakal isteriku ketika itu),

"Abang, Ayah jatuh di padang. Sekarang sudah dibawa ke klinik!", suara isteriku kedengaran di hujung talian.

Cemas juga ketika itu kerana di saat kedua-dua belah keluarga sedang kelam-kabut membuat persiapan untuk majlis akad malam itu, terjadi pula perkara yang tidak terduga seperti itu. Aku dimaklumkan bahawa Ayah terketar-ketar seolah-olah kesejukan dan lidahnya kelu tidak dapat bercakap.


Ketika aku tiba sebagai bakal pengantin pada malam itu, Ayah sudah dibawa pulang dan sudah boleh bercakap. Cuma, Ayah tidak dapat berdiri dan berjalan. Ayah hanya duduk bersandar di satu sudut rumah sepanjang majlis malam itu berlangsung.


Salah satu perkara yang aku kagum dengan Ayah ialah, walaupun sudah begitu berusia, Ayah tidak menghidap sebarang penyakit yang berat dan serius, sebagaimana kebiasaannya dihidapi oleh kebanyakan warga emas seusia dengannya.


Mungkin itu adalah berkat kerajinan Ayah membanting tulang empat keratnya tanpa mengira masa. Ayah jatuh di padang pada petang itu pun mungkin hanya kerana kehabisan tenaga tuanya lantaran kerja yang dilakukannya itu memerlukan kudrat yang lebih besar.


***************


Lamunanku terhenti di situ apabila terdengar bermacam-macam celoteh ipar-ipar dan biras-birasku di tapak tandas yang sedang dibina itu. Ada sahaja perkara lucu yang boleh digelakkan jika ada AbeMan. Tidak kering gusi dibuatnya. Setiap masa, ada saja ideanya. Yang lain pula akan menambah senda untuk menghidupkan lagi suasana ceria itu. AbeHim (suami KakDah) yang baru tiba juga tidak ketinggalan meraikan kemesraan yang wujud itu.


Terasa begitu indahnya mendapat keluarga baru dalam suasana yang lebih merapatkan kami itu. Seperti yang pernah aku coretkan, memang ada hikmahnya peristiwa yang menyebabkan kami semua terpaksa pulang ke kampung ini, iaitu aku dibentangkan peluang seluas-luasnya untuk lebih mengenali keluarga isteriku.


Aku sangat bersetuju dengan kata-kata ilmuwan bahawa perkahwinan bukan hanya menyatukan dua hati suami dan isteri, tetapi juga menyatukan 2 buah keluarga. Jika sebelum ini aku mempunyai seorang ayah, seorang ibu, dan 9 orang adik-beradik, sekarang aku sudah punya 2 orang ayah, 2 orang ibu, dan 18 orang adik-beradik. Alangkah indahnya syariat Allah ini jika berjaya dihayati dan difahami oleh semua.


Menjelang tengahari, AbeMan sudah menghilang. Dia ke Hospital Pasir Mas untuk menjenguk ayahnya (Aboh) yang kebetulan sedang sakit juga. Kami yang lainnya mula masuk ke dalam rumah, bersiap-siap untuk ke masjid bagi menunaikan Solat Fardhu Jumaat.


Aku, AbeHim, dan Mat, sudah siap. Kami menunggu AbeKiman yang sedang mandi. Memandangkan azan sudah berkumandang di udara, kami bertiga membuat keputusan untuk berangkat dahulu ke masjid yang berhampiran dengan menaiki kereta Mat. Ayah sudah ke masjid seawal setengah jam sebelum azan tadi, dengan basikal tua kesayangannya. Katanya, tidak ingin terlepas untuk berada di dalam saf paling hadapan.



Pulang dari masjid, kami yang lelaki dihidangkan dengan makanan tengahari. Setelah menyambung sedikit kerja-kerja membina tandas itu, aku berhenti lebih awal kerana telah berjanji dengan isteriku untuk keluar membeli lauk memandangkan kami di rumah Mek sudah kehabisan lauk.


Setelah pulang dari Pasaraya Bilal, dan menghantar lauk yang dibeli itu ke dapur, kami bersiap-siap untuk pulang ke rumah Ma.


"Mek, kami nak balik rumah Ma.", aku memulakan bicara.

"InsyaALLAH, esok kami balik sini semula, Mek. Nak balik ke sana sekejap je memandangkan keadaan Mek masih macam ni.", isteriku menambah.

"Erm, elok la tu. Kena balik rumah Ma sebab dah ada kat kampung. Nanti kecik hati dia kalau langsung tak jenguk dia. Dia pun mesti rindu pada menantu baru dia.", Mek menyokong supaya kami pulang menjenguk keluargaku.

Sesampainya kami, Ma kebetulan berada di pintu pagar. Dia membuka seluas-luasnya pintu pagar itu sebagai tanda sangat mengalu-alukan satu-satunya menantu perempuannya itu. Mesti adik-adikku sangat merindui kami, lebih-lebih lagi isteriku, KakNgoh mereka, sebagai ahli baru dalam keluarga kami. Semua ada, kecuali Kaklong yang menetap bersama suami dan seorang anaknya di Parit Buntar, Perak, dan adik lelakiku, AbeCik, yang kini sedang melanjutkan pelajaran perubatannya di New Zealand.


Masuk ke dalam rumah, kami disambut oleh adik-adikku; Kakcik, Ita, Wan, Azida, dan AdikJiha. Azhan pula kelihatan sedang belajar mengaji dengan Abah.



"Abengoh, lepas ni kita pergi rumah MakcikYah ye. Hari ni dia buat majlis hari lahir Ati. Takde makanan pun takpe. Sekurang-kurangnya, dapat masuk rumah dia sebab lepas kahwin hari tu, tak sempat kenal rumah dia, kan?", Ma memberitahu kami bahawa ibu saudaraku itu membuat sambutan hari lahir anak bongsunya.


Selepas majlis kahwin kami lebih kurang 2 bulan lepas, kami hanya sempat menziarahi Mok (nenekku) dan Maklong (ibu saudaraku). Berikutan masa kami yang begitu terhad ketika itu, kami tidak sempat ke rumah MakcikYah yang hanya berada di tengah-tengah antara rumah Mok dan rumah Maklong itu.


MakcikYah


Kami terus berjalan ke rumah MakcikYah yang tidak jauh dari rumah Ma. Ma, Kakcik, dan Ita juga ikut sama. Adik-adik yang lain sudah pergi siang tadi. Setelah menikmati bihun masakan MakcikYah dan beberapa hidangan yang lain, dan berbual-bual dengan PakcikYi dan MakcikYah, kami pulang ke rumah Ma.


Sebelum kami bertolak ke rumah Mek, sempat lagi Ma beri tudung kepada menantunya. Semasa aku pulang ke rumah Ma seorang diri malam sebelumnya, aku bercerita bahawa kami tidak menemukan tudung yang dicari. Tidak ku sangka, Ma telah membelinya pagi itu.

[+] Baca seluruh catatan ini..

Disediakan oleh Tengku Azlan || Hakcipta Terpelihara © 2008