Jumaat, Mac 20, 2009

Unikkah kembar?

Assalamualaikum dan bertemu kembali..

Secara logiknya, adalah lebih mudah untuk mencipta sesuatu yang sama berbanding menghasilkan sesuatu yang berlainan. Semakin besar kuantiti produk yang dihasilkan, semakin senanglah proses pengeluaran produk yang sama itu dan semakin sukarlah proses pengeluaran produk yang berbeza-beza itu. Produk-produk yang berlainan itu pastinya lebih unik daripada produk-produk yang sama.

Tetapi, produk-produk yang unik itu tidak lagi dipandang unik apabila kebanyakan produk adalah berlainan. Sebaliknya, produk-produk yang sama tadi dianggap unik apabila jarang dapat ditemukan.

Sebenarnya ayat-ayat yang aku falsafahkan di atas adalah suatu gambaran mengenai istilah 'kembar' atau lebih tepat lagi ialah 'kembar seiras'. Cuma bila dikaitkan dengan kekuasaan Allah, tiada suatu apa pun yang mustahil. Tiada yang sukar bagi Allah. Allah menterbalikkan logika tersebut, iaitu 'tidak kembar' yang sebenarnya adalah unik sudah dianggap tidak unik manakala 'kembar' yang sepatutnya tidak unik kerana diciptakan sama, sudah dianggap unik.


Sedar atau tidak, aku dijodohkan dengan kembar. Memang tidak terduga untuk berkongsi hidup dengan insan kembar di mana pada pandanganku suatu ketika dahulu, kembar amat jarang ditemui dan sesiapa yang mendapat jodoh dengan kembar sangat bertuah!

Mengikut pendapat beberapa teman, kembar boleh terjadi berdasarkan keturunan. Nampaknya ada juga benarnya kerana AbeKiman (abang isteriku) dikurniakan sepasang anak sulung lelaki yang kembar seiras, iaitu Afiq dan Adib. Sekarang mereka sudah berusia 11 tahun.

Ada juga yang berpandangan bahawa antara pasangan kembar tersebut akan ada satu pihak yang berkemungkinan tinggi mendapat zuriat kembar. Jika dilihat kepada situasi setakat hari ini, kembar isteriku (Ti) sudah mempunyai dua orang anak dan kedua-duanya bukan kembar, manakala isteriku sedang mengandung dan bayi tersebut juga tidak kembar mengikut pemerhatian semasa pemeriksaan kami di klinik.

Ini bermaksud bahawa jika Ti dikurniakan zuriat kembar, maka kebarangkalian untuk isteriku mendapat anak kembar adalah rendah. Begitulah juga sebaliknya, iaitu jika ditakdirkan isteriku dikurniakan zuriat kembar, kemungkinan Ti pula akan tipis untuk mendapat anak kembar.

Kembar juga dikatakan boleh berlaku apabila ibu mengandung mengamalkan pemakanan yang dapat meningkatkan kebarangkalian mendapat bayi kembar. Sejauh mana kebenaran dan keberkesanannya, semuanya bergantung kepada kehendak Yang Maha Pencipta.

Walau bagaimana pun, semua itu adalah mengikut ketentuan Allah. Apa yang lebih penting daripada isu kembar ini ialah apabila setiap zuriat yang dikurniakan kepada kita dapat dididik menjadi anak yang soleh/solehah serta musleh/muslehah, iaitu bukan sahaja baik budi pekertinya, malah dapat membawa kebaikan kepada manusia sejagat.

[+] Baca seluruh catatan ini..

Isnin, Mac 16, 2009

Bayi lelaki atau perempuan?

Assalamualaikum..

Agak sukar untuk mendapat peluang mendapatkan perkhidmatan pemeriksaan ultrasound di Poliklinik Komuniti Seri Kembangan, iaitu tempat pemeriksaan susulan berterusan isteriku.

Bila dikaitkan dengan agensi kerajaan, memang umum sudah maklum akan kualiti perkhidmatan yang kurang memuaskan dan kuantiti pengguna yang begitu besar. Kebiasaannya pengguna perkhidmatan ini adalah di kalangan golongan yang mempunyai taraf hidup yang sederhana.

Berbekalkan perasaan ingin tahu mengenai jantina bayi di dalam kandungan isteriku, selepas solat Maghrib tadi, kami telah ke salah sebuah klinik swasta (Klinik Jameaton) yang tidak berapa jauh dari rumah.

"Assalamualaikum doktor," kami menyapa sebaik sahaja dibenarkan masuk ke bilik doktor.

"Waalaikumussalam. Sila duduk. Puan ada apa-apa masalah?" doktor terus mengajukan soalan dengan lembut kepada isteriku kerana pada rekod perubatan tercatit nama Wan Sajirah binti Wan Ahmad.

"Tiada apa-apa masalah, doktor," isteriku meleraikan sedikit kerisauan yang terlihat pada wajah doktor itu.


"Saya cuma nak buat ultrasound. Nak tengok bagaimana kedudukan baby, sihatkah dia. Lepas tu, yang paling penting, kalau boleh, kami nak tahu jantinanya. Lagi pun, usia kandungan dah nak masuk tujuh bulan," jelas isteriku lantas berpaling ke arahku sambil tersenyum ayu.

"Oh, begitu. Mari ikut saya," doktor membawa isteriku ke tempat pemeriksaan ultrasound.

Seketika kemudian, setelah imej terbentuk di skrin peralatan perubatan itu, aku meminta izin untuk mendekati mereka berdua.

"Bayi puan sihat. Ini kepalanya. Tengok jantungnya sedang berdegup," doktor menunjukkan beberapa imej anggota bayi kami yang terpapar di skrin.

Imej kurang jelas pada pandangan mataku. Mungkin kerana itu hanyalah imbasan 2 dimensi. Pada pandangan mata doktor yang sudah biasa dengan itu semua, mungkin dia tahu melalui pengalaman dan pengamatannya.

"Jawapan kepada persoalan encik dan puan sudah ada di depan mata kita sekarang. Nampak ni?" doktor menunjukkan imej satu anggota bayi kami.

"Mengikut apa yang kita nampak pada skrin ni, bayi encik dan puan adalah lelaki," doktor menyambung penjelasan memandangkan kami agak sukar mengecam imej yang ditunjukkan olehnya.

Rupa-rupanya, imej yang ditunjukkan itu adalah imej anggota jantina bayi kami.

Sebelum meninggalkan bilik itu, doktor berpesan bahawa jantina sebenar tidak semestinya sama dengan keputusan daripada pemerhatian tadi. Apa yang diputuskan tadi hanyalah semata-mata berdasarkan imej yang terpapar pada skrin.

"Nanti bila baby dah keluar, jangan lupa beritahu saya jantinanya," doktor itu berseloroh dengan mesra.

Kami tersenyum sambil mengucapkan terima kasih kepadanya.

Fasa penentuan nama bayi sudah semakin menyempit. Pancarian pula masih belum bertemu noktahnya. Proses penetapan format dan penapisan serta pertimbangan masih diteruskan untuk mendapatkan hasil yang terbaik. Yang pasti, pangkal nama itu semestinya ialah perkataan 'Tengku' yang diwarisi daripada abinya.

[+] Baca seluruh catatan ini..

Selamat pengantin baru, Zukhairi..

Assalamualaikum dan selamat bertemu kembali..

Ahad lalu (8 Mac 2008), ketika kami berada di kampung halaman, salah seorang teman serumah denganku sewaktu bujang dahulu di Kampung Sungai Penchala, Damansara, telah melangsungkan perkahwinannya. Nampaknya tarikh yang dipilih adalah sama dengan tarikh kami diijabkabulkan tahun lepas. Aku berasa sedikit terkilan kerana tidak dapat meraikan majlisnya berikutan keutamaan kami untuk berada di kampung.

Teman yang dimaksudkan ialah Zukhairi. Walaupun kami berlainan kursus pengajian, tapi setelah ditempatkan di kolej kediaman yang sama di Universiti Malaya, seterusnya berpindah ke rumah sewa yang sama, ikatan persaudaraan kami semua di rumah itu semakin erat.

Selamat pengantin diucapkan kepada Zukhairi dan pasangannya. Semoga diberi kekuatan dalam melayari kehidupan berumahtangga yang penuh dengan dugaan.

P/s : Gambar adalah ihsan daripada blog Nasir.

[+] Baca seluruh catatan ini..

Selasa, Mac 10, 2009

Selamat tiba di Seri Kembangan..

Assalamualaikum..

Pagi tadi, pukul 9.00 pagi, kami bertolak dari rumah Ma ke rumah Mek. Kami singgah di rumah Mek seketika sebelum bertolak ke rumah kami di Seri Kembangan, Selangor. Kebetulan KakYah (kakak isteriku) dan AbeMat baru tiba di rumah Mek kerana ingin membawa Mek ke hospital untuk rawatan susulan penyakit stroknya sejak beberapa bulan yang lalu.

Beberapa minit setelah Mek dibawa oleh KakYah, kami memulakan perjalanan. Dendangan lagu dan gelak ketawa kami menghiasi perjalanan kami yang jauh itu.


Hampir tiba di Bentong, Pahang, kami berkira-kira untuk singgah berehat seketika di rumah AbeKiman (abang isteriku) KakTie.

"Macam mana, bang? Jadi ke kita nak singgah rumah KakTie?"

"Jadi," aku akhirnya membuat keputusan.

Jika kami berhenti seketika, dapat lah juga isteriku merehatkan badannya yang lenguh-lenguh itu. Maklum lah, badannya kini membawa satu lagi nyawa.

Setibanya kami di rumah KakTie, kelihatan tiga orang anak lelakinya sedang bermain-main di halaman rumah, iaitu Afiq dan Adib (si kembar), dan Ayie. AbeKiman dan KakTie muncul dengan anak bongsu mereka, Ammar.


Sempat lagi KakTie menunjukkan langsir yang baru siap dijahit oleh KakMah.

Setelah menjamah hidangan nasi di rumah KakTie, kami meminta diri untuk menyambung perjalanan.

Kami bertolak dari rumah mereka pada pukul 9.00 malam. Lebih kurang pukul 11.00 malam, kami selamat tiba di rumah kami di Seri Kembangan, Selangor.

[+] Baca seluruh catatan ini..

Isnin, Mac 09, 2009

Majlis solat hajat dan maulid Rasulullah..

Assalamualaikum..

Pagi tadi, lebih kurang pukul 8.00 pagi, kami bertolak dari rumah Mek ke rumah Ma yang sebenarnya hanya diselangi oleh beberapa buah kampung berdekatan. Setibanya di rumah Ma, isteriku turun menuju ke rumah Ma manakala aku terus menuju ke rumah bidan (Makngoh) di kampung seberang. Memang Ma sudah mengatur waktu berurut itu sejak beberapa hari lalu.

Hampir waktu tengahari, isteriku selesai diurut oleh Makngoh.

"Macam mana? Lega selepas berurut?" aku bertanya isteriku.

"Hmm. Rasa lega sangat, bang. Lenguh-lenguh pada kaki dan badan sudah hilang. Rasa ringan je sekarang," isteriku menjawab dengan nada gembira.

"Makngoh, kalau dia lenguh lagi, boleh ke saya picit-picit badannya? Tidak menjejaskan bayi dalam perut ke?" aku mengalih perbualan kepada bidan itu.

"Takde masalah. Yang penting, jangan picit perut dia!" Makngoh menjawab sambil berseloroh.

"Itu lah. Selalunya, antara doktor dan pengamal perubatan tradisional ni, banyak percanggahan. Doktor kata, jangan picit walau lenguh macam mana pun. Bidan pulak cakap, boleh urut," aku meneruskan kata dengan membiarkan persoalan itu difikirkan bersama-sama.

********************


Petang, Mek datang dengan KakPah (kakak isteriku) dan Ti sekeluarga. Walaupun masih belum dapat berjalan dengan sempurna seperti dahulu, Mek tetap menggagahkan diri untuk datang menjenguk besannya.

Setelah berbual-bual seketika, kami mengikut mereka ke Padang Kala untuk melihat rumah yang dibeli oleh Ti. Rumah tersebut sudah hampir siap. InsyaAllah kami juga akan membeli rumah di Kelantan sebagai aset untuk masa hadapan.

********************


Pada sebelah malam, seperti yang dirancang, kami membuat sedikit majlis di rumah Ma. Tetamu yang hadir adalah lebih kurang 20 orang, termasuk Ayah (bapa mertuaku), AbeSul, dan Mat. Kami memulakan majlis dengan mendirikan solat sunat Hajat.

Aku mengimami solat berkenaan memandangkan itu adalah majlisku. Solat hajat berjemaah ini aku anggap sebagai tambahan kepada siri-siri solat hajat kami secara bersendirian. Mungkin dengan berkat doa daripada orang-orang kampung, permintaan kami akan lebih dipandang oleh Allah. Antara permintaan di dalam doaku ialah agar isteriku sabar dan tabah menghadapi saat kehamilan yang kian mencabar, dan akhirnya dipermudahkan urusan kelahiran bayi kami nanti.


Selesai solat sunat Hajat, aku mengajak tetamu yang hadir untuk bersama-sama berselawat memuji Rasulullah bersempena dengan ulangtahun kelahiran Baginda hari ini. Selepas semuanya selesai, aku selaku tuan rumah menjemput tetamu-tetamu menjamah hidangan yang kami sediakan.

[+] Baca seluruh catatan ini..

Ahad, Mac 08, 2009

Mengambil e-nikah..

Assalamualaikum..

Pagi tadi, dari rumah Mek, kami menuju ke Jabatan Hal Ehwal Agama Islam di Balai Islam, Lundang untuk mengambil kad nikah kami atau sekarang dikenali sebagai e-nikah. Memang tidak kami rancang, namun kami akhirnya berkesempatan untuk mengambil e-nikah tersebut pada hari ini, iaitu tepat-tepat pada tarikh ulangtahun pernikahan kami yang pertama!


Ini kerana sebelum ini, bila sahaja kami pulang ke kampung, pejabat kerajaan itu juga menutup perkhidmatan kaunternya. Jadi, kami belum dapat mengambilnya walaupun kad tersebut sudah siap pada bulan Oktober tahun lalu setelah kami mengambil sijil pernikahan sebulan sebelum itu.




Jika sebelum ini kad nikah di negeri Kelantan adalah berbentuk seperti buku nota kecil, sekarang kad ini dibuat dalam bentuk seperti kad pengenalan, sesuai dengan teknologi yang semakin canggih.

Cuma, ada perkara yang membuat kami agak terkilan mengenai e-nikah kami iaitu tarikh nikah kami silap direkod dan dicatat. Ini berpunca daripada kesilapan imam mukim kampung isteriku yang menikahkan kami pada ketika itu. Kesilapan itu berlaku pada malam akad nikah kami ketika imam tersebut mengisi borang yang bertulisan jawi itu.

Tanpa kami sedari, kami telah menyerahkan borang yang silap diisi oleh imam tersebut kepada pihak Balai Islam untuk diproses. Setelah mengambil sijil pernikahan kami pada bulan September tahun lepas, baru kami perasan akan kesilapan itu.

Tadi, setelah kad kami siap dan ternyata tarikh itu memang mengikut tarikh pada sijil pernikahan kami, aku bertanya kepada petugas kaunter di situ,

"Encik, tarikh nikah kami silap. Sepatutnya 8 Mac 2008, tapi yang direkod ialah 7 Mac 2008. Awal sehari," aku menyuarakan masalah.

"Nampaknya silap dari pihak Encik Azlan. Kami cuma mengambil maklumat daripada borang nikah yang diisi oleh imam yang menikahkan Encik Azlan," dia menjelaskan.

"Ya. Memang betul tu. Erm, tidakkah menjadi satu kesalahan, tarikh pada kad tidak sama dengan tarikh sebenar?"

"Tidak menjadi masalah kerana cuma sehari perbezaannya. Kalau Encik Azlan mahu menukarnya juga, Encik Azlan mesti membayar proses pengeluaran kad baru kerana kesilapan bukan daripada pihak kami. Proses menyiapkan kad akan mengambil masa sebulan," petugas itu memberikan penjelasan lagi.

"Oh, macam tu. Ok la. Saya minta diri dulu ye. Terima kasih," aku menuju keluar dari pejabat itu.

[+] Baca seluruh catatan ini..

Sabtu, Mac 07, 2009

Selamat tiba di kampung..

Assalamualaikum..

Pagi tadi kami bertolak ke kampung dari rumah kami di Seri Kembangan, Selangor. Alhamdulillah, lebih kurang pukul 6.30 petang, kami selamat tiba di rumah mertuaku.

Ibu mertuaku (Mek) semakin pulih keadaannya berbanding ketika mula-mula ditimpa penyakit strok beberapa bulan yang lalu. Bapa mertuaku (Ayah) pula, seperti biasa, sibuk di belakang rumah, mengerjakan tanah yang masih berbaki. Ada sahaja tanaman atau pokok yang ditanamnya. Mek yang sudah tidak boleh bergerak sebebas dahulu selalu bising jika Ayah masih juga menyibukkan diri berbudi kepada tanah sebaik sahaja kebah daripada demamnya.

Sebenarnya Mek marah kerana Mek sayangkan Ayah. Begitulah kehidupan mereka yang bahagia setelah akhirnya berjaya membesarkan dan mendidik sembilan orang anak. Semua anak mereka sudah pun menghadiahkan cucu kepada mereka kecuali isteriku. InsyaAllah, tidak berapa lama lagi Mek akan menjadi nenek kepada anak kami pula.

Selain daripada Ayah dan Mek, yang tinggal bersama-sama mereka ialah AbeSul (abang isteriku) dan KakSa serta dua orang anak mereka, dan Ti(kembar isteriku) bersama Mat dan dua orang anak mereka. Ti baru sahaja berpindah pejabat dari Putrajaya ke Kota Bharu, Kelantan.

"Ma, malam ni kami tidur di rumah Mek"

Mesej kepada ibuku itu mengakhiri malam kami.

[+] Baca seluruh catatan ini..

Jumaat, Mac 06, 2009

Terserempak dengan Azuan..

Assalamualaikum..

Ketika membeli makanan tengahari lebih kurang pukul 1.00 tadi, aku terpandang wajah yang cukup sinonim di mataku tetapi berlainan sedikit daripada gambaran yang hinggap di fikiranku saat itu.

Oh ye. Azuan! Teman lamaku ketika di Kolej MARA Seremban beberapa tahun yang lalu. Patut lah kelihatan wajahnya sedikit berlainan. Kami tidak bertemu hampir tujuh tahun setelah tamat pengajian di sana pada tahun 2002.

Azuan juga adalah antara teman-temanku yang berkahwin dengan pasangan yang juga aku kenali iaitu Matun. Kami bertiga memang berada dalam satu kuliah ketika di kolej dahulu.

"Assalamualaikum. Macam kenal je," aku menegur Azuan.

"Waalaikumussalam. Eh, Kulan," dia menjawab dengan sedikit terkejut.

"Jumpa kat sini kita ye. Kau tinggal kat mana?"

"Aku tinggal kat situ je," Azuan menjawab sambil jarinya menuding ke arah pangsapuri berdekatan.

"Kau pulak tinggal kat mana?" Azuan menyambung bicaranya.

"Aku kat Taman Lestari Putra. Ke dalam sikit dari sini," aku menjelaskan kepadanya.


"Matun apa khabar? Tak sangka, kan, kau kahwin dengan Matun. Dah jodoh la, katakan," aku sedikit mengusik.

"Matun sihat. Aku insyaAllah dapat baby bulan Mei ni. Kau pulak bila?"

"Ish, ish. Kau dulu rupa-rupanya. Padahal aku yang kahwin dahulu. Rezeki masing-masing, kan. Aku insyaAllah awal bulan Jun nanti," aku menjawab.

"Eh, Kulan, aku mintak diri dulu lah. Waktu rehat sekejap je ni. Nanti bila senang, datang la rumah aku," Azuan meminta diri.

"Takpe. Kau pun. Kalau free, datang lah rumah aku," aku juga mempelawanya.

"Ok, Kulan. Jumpa lagi!"

Azuan hilang daripada pandangan mataku. Satu sejarah pertemuan semula telah berlaku tengahari tadi.

[+] Baca seluruh catatan ini..

Ahad, Mac 01, 2009

Kami ke Nilai 3..

Assalamualaikum dan selamat datang..

Hari ini, selepas sarapan pagi, kami bertiga (aku, isteriku dan Zati) terus ke rumah KakMah(kakak isteriku). Katanya, dia membuat sedikit majlis kesyukuran sempena hari lahir salah seorang anaknya (Efa) semalam.


Setibanya kami di rumahnya, kami diberitahu oleh KakMah bahawa KakTie (kakak ipar isteriku) tidak jadi datang. Sepatutnya KakTie akan datang ke Seri Kembangan pagi ini dari rumahnya di Bentong, Pahang. Mengikut KakMah, KakTie tidak dapat hadir kerana suaminya, AbeKiman (abang isteriku) ada hal yang mustahak untuk diselesaikan. Jadi, hari ini kami bertiga akan ke Nilai 3 tanpa KakTie sekeluarga. Mungkin rezeki kami dengan KakTie sekeluarga sudah ditakdirkan pada tarikh yang lain.


Selesai menjamah soto masakan istimewa KakMah, kami meminta diri untuk ke Nilai 3. Setengah jam memandu, kami akhirnya tiba di tapak tumpuan ramai itu. Antara fokus kami hari ini ialah pakaian ibu mengandung kerana kandungan isteriku sudah hampir mencecah 7 bulan.

Setelah siap membeli-belah mengikut keperluan, kami berangkat pulang. Kami menuju ke stesen komuter Serdang untuk menghantar Zati. Selepas itu, kami menuju ke rumah kami dan tiba dengan selamat.

[+] Baca seluruh catatan ini..

Disediakan oleh Tengku Azlan || Hakcipta Terpelihara © 2008