Ahad, Mei 25, 2008

Ke Kolej Islam Antarabangsa..

Assalamualaikum..

Pukul 9.00 pagi, kami bertolak ke rumah T kerana sudah berjanji dengan AbeMat untuk menemani mereka ke Kolej Islam Antarabangsa untuk sesi pendaftaran anak mereka, Fatin.


Setelah tiba di rumah T, mereka bersiap-siap. Zati menumpang kereta kami, manakala Anis pula memandu kereta ayah mereka. Kami bertolak.

Syukur kerana jalan tidak terlalu sesak. Kami pun sebenarnya tidak tahu lokasi kolej itu. Kami hanya tahu jalan ke Gombak. Setelah tiba di Gombak, kami mula mengintai-intai bayang kolej tersebut.

"Kak, kolej tu tepi jalan je, kan? Kalau tak silap PakSu lah, rasanya nampak dari jalan kalau nak ke UIA tu.", aku meminta kepastian daripada Zati yang lebih mesra dengan panggilan 'Kak' itu.

"A'ah. Kak pun rasa begitu jugak. Tapi tak nampak pun."

Setelah mencari dan mencari berdasarkan alamat yang dibekalkan, kami belum juga menemukan kolej yang dicari.

Akhirnya, setelah Anis bertanya kawannya yang biasa dengan jalan di situ, kami nampak kolej itu. Yang peliknya, tak nampak macam kolej yang aku dan Zati cakap tadi, iaitu di tepi jalan besar.

Kami masuk ke dewan yang ditunjukkan setelah kami bertanya kepada urusetia yang menguruskan pendaftaran pelajar-pelajar baru itu.

Aku berbual-bual dengan AbeMat sementara Fatin dalam proses pendaftarannya, iaitu mengisi beberapa borang yang berkaitan, ditemani oleh uminya, KakYah.

Isteriku tidak kelihatan. Begitu juga dengan Zati. Aku sangat mengerti keakraban ibu saudara dan anak buahnya yang hanya berbeza umur sebanyak 3 tahun itu. Mereka sungguh rapat. Mesti mereka mencari tempat di mana-mana untuk berkongsi cerita atau apa sahaja. Takpe lah. Ini adalah peluang mereka untuk bertukar-tukar pandangan dan mengadu hal masing-masing.

Setelah siap proses pendaftaran, kami perlu menghantar Fatin ke tempat penginapan yang disediakan oleh pihak kolej.

"Cik, macam mana nak ke asrama?", aku bertanya petugas di situ.

"Kalau encik tak biasa dan takut sesat, encik boleh tunggu van kami. Encik boleh menaiki van, atau ikut belakang van dengan kereta."

"Kalau macam tu, kami ikut dari belakang lah ye."

Beberapa puluh minit menunggu, akhirnya van yang dimaksudkan tiba jua. Kami mengikut van itu. Jalannya bersimpang-siur. Macam jalan kampung dan kawasan perumahan.

Setelah tiba di satu kawasan rumah pangsa, kami menjangkakan bahawa kami belum tiba. Malangnya, anggapan kami meleset sama sekali. Ternyata, rumah pangsa itu adalah asrama yang disediakan oleh kolej berkenaan.

Masuk dari pintu belakang rumah pangsa itu, amatlah membuat kami tergamam seketika. Setelah selesai proses pengambilan kunci bilik, kami dibawa oleh seorang pengawal di situ ke bilik yang disediakan untuk Fatin.

Keadaan sungguh tidak menyenangkan. Terasa seolah-seolah tidak sesuai pelajar kolej ditempatkan di situ memandangkan rumah-rumah pangsa di bangunan yang sama juga didiami oleh orang luar, sama ada keluarga atau bujang.

Setelah tiba di bilik, pandangan kami juga telah dihidangkan dengan suasana rumah sewa yang tidak terurus.

'Kasihan Fatin, terpaksa tinggal di sini. Bolehkah dia belajar dengan selesa? Selamatkah tinggal di sini?', hatiku berkata-kata sendiri.

Kami ke salah satu restoran mamak di kawasan rumah pangsa itu untuk makan tengahari, kemudian berpatah balik ke asrama Fatin untuk menghantarnya. Fatin yang tidak pernah berjauhan daripada ayah dan uminya, seperti tidak sanggup ditinggalkan sendirian, apatah lagi di kediaman seperti itu.

Fatin..


Setelah mengucapkan selamat tinggal kepada Fatin, kami meneruskan agenda kami iaitu ke rumah AbeMi (sepupu isteriku) di Gombak juga. AbeMat dan KakYah sudah berjanji dengan AbeMi untuk singgah di rumah mereka kerana memang di kawasan itu juga.

Setelah mencari-cari rumah AbeMi di dalam keadaan hujan yang lebat, akhirnya kami selamat tiba. Kami dihidangkan dengan Nasi Ayam Dara.

"Ini makanan istimewa di pasar malam di sini.", AbeMi memperkenalkan salah satu keistimewaan makanan di kawasan rumahnya.

AbeMat sekeluarga membuat keputusan untuk bermalam di rumah AbeMi memandangkan ada beberapa hal yang belum selesai berkaitan pendaftaran Fatin tadi. Katanya, mereka akan bertolak pulang ke kampung keesokan harinya setelah selesai semuanya.

"Kalau macam tu, kami balik dulu lah, AbeMi, AbeMat.", aku meminta diri.

"Ok lah. Terima kasih kerana sudi bertandang ke rumah AbeMi. Mesti penat tu, dari pagi temankan AbeMat.", AbeMi tersenyum dengan kata-katanya.

Pukul 9.00 malam, kami bertolak pulang. Tiba di rumah, terasa penat yang tidak terkira!


Cetak catatan ini..

0 ulasan:

Disediakan oleh Tengku Azlan || Hakcipta Terpelihara © 2008