Ahad, April 19, 2009

Ke rumah Su dan Taman Tasik Cempaka..

Assalamualaikum..

Hari ini, perancangan kami ialah ke rumah kawan sepejabat isteriku, Su, di Putrajaya. Di rumah Su, aku berkenalan dengan suaminya dan keluarga ibu saudara Su yang kebetulan datang menziarahinya.

"Su, Azam, jom lah ikut kami ke Taman Tasik Cempaka. Kat Bangi tu je," isteriku mengajak Su dan suaminya menyertai kami untuk 'dating' di taman itu.

"Takpe lah Jie. Hari ni kami nak rehat kat rumah je. Tak larat," Su menolak ajakan kami dengan baik.


Setelah meminta diri dari rumah Su dan Azam, kami terus menuju ke Taman Tasik Cempaka. Kami menghabiskan masa berjalan-jalan berpimpin tangan mengikut alur yang dibuat untuk pejalan kaki di taman tasik tersebut.

Menurut segelintir petua yang pernah singgah terngiang-ngiang di telingaku, untuk memudahkan seseorang ibu mengandung bersalin, digalakkan agar memperbanyakkan berjalan kaki. Kami sendiri kurang arif mengenai kesahihannya.

Selain daripada itu, kami sebenarnya sengaja ingin menghabiskan masa bersama-sama untuk bersiar-siar dan mengambil angin yang segar di taman tasik itu, agar cinta kami juga sentiasa segar. Kasih sayang perlu disemai dan dibajai selalu agar cinta semakin subur dan mekar.

Inilah yang dinamakan sebagai percintaan yang sejati, iaitu percintaan sepasang suami isteri yang diikat dengan hubungan perkahwinan yang sah.

"Sayang nak aiskrim?" aku memecahkan kesunyian petang apabila terpandang seorang penjual aiskrim sedang melayan beberapa orang pelanggannya di sisi motosikal dengan muatan aiskrimnya.

"Nak," isteriku menjawab sambil tersenyum.

Kami meneruskan langkah kaki mengikut alur tadi sambil menikmati aiskrim yang dibeli. Kami melihat pelbagai gelagat manusia. Ada yang memancing di tasik, ada yang bermain layang-layang, dan ada juga yang menghabiskan waktu petang dengan memandang tasik yang penuh dengan kedamaian itu.

Namun, apabila terpandang pinggir tasik, hatiku menjadi kesal dengan sikap orang kita. Sampah-sarap yang bertaburan di sekeliling pinggir tasik sangat mencacatkan pemandangan. Aku sendiri tidak pasti bila orang kita akan meninggalkan budaya dan sikap yang tidak bertamadun itu.

Belum pun habis satu pusingan tasik, isteriku meminta untuk berhenti.

"Dah la bang. Sayang dah tak larat ni. Mesti sakit kaki malam ni," isteriku mengadu keletihan.

"Kesiannya isteri Abang. Ok. Kita balik ye. Malam nanti Abang picit kaki tu," aku tersenyum kepadanya.

Hampir senja, kami tiba di rumah.

[+] Baca seluruh catatan ini..

Sabtu, April 11, 2009

Tabiat membuang sampah..

Assalamualaikum..

Sebagai permulaan catatan, perlu diingatkan kembali di ruang fikiran kita bahawa Islam sangat mengutamakan kebersihan. Kebersihan adalah salah satu daripada tanda keindahan deen (cara hidup) kita ini.


Melihat kepada budaya menjaga kebersihan di kalangan masyarakat Islam di negara kita, aku dapat membuat kesimpulan bahawa aspek ini dianggap begitu remeh oleh kebanyakan individu yang mengaku dirinya muslim, seolah-olah bab ini tidak ada dalam pelajaran agama kita.

Walhal jika kita merujuk mana-mana kitab Fiqh, kebanyakan ulama meletakkan tajuk kebersihan sebagai tajuk utama perbincangan sebelum memasuki tajuk-tajuk yang lain. Ini menunjukkan bahawa kebersihan sangat dititikberatkan agar diaplikasikan dalam kehidupan kita. Secara logik pun, kita perlu berada dalam keadaan suci sebelum dapat menunaikan amalan fardhu seperti solat lima waktu.

Memang tidak mudah untuk mengamalkan sesuatu supaya menjadi rutin kehidupan. Semuanya memerlukan didikan sejak awal dan latihan berterusan agar apa yang diamalkan itu menjadi sebati dengan jiwa dan tidak lagi terasa bebanan ketika melakukannya.

Jika kita suka memerhatikan gelagat masyarakat kita hari ini, bermacam-macam sikap manusia mampu membuat hati kita tertanya-tanya. Sesetengah tempat yang diletakkan papan tanda "dilarang membuang sampah di sini" dipenuhi dengan sampah yang dilonggok di kawasan tersebut. Adalah mustahil jika penghuni negara merdeka ini masih buta huruf!

Antara gelagat yang dapat diperhatikan juga ialah sikap membuang bungkusan makanan atau apa sahaja yang dikategorikan sebagai sampah, ke luar tingkap kereta dengan tiada langsung perasaan bersalah. Walhal, bila berlaku kejadian seperti longkang tersumbat dan seterusnya mengakibatkan terjadinya banjir kilat, tiada siapa pun tampil mengakui kesilapan sedangkan pembuangan sampah sewenang-wenangnya itu lah punca utama terjadinya tragedi yang tidak diingini tersebut.

Sebagaimana yang disebutkan tadi, perkara yang dianggap remeh ini memerlukan didikan, kesedaran, dan amalan berterusan kerana perkara ini melibatkan sikap manusia. Aku teringat pada zaman persekolahanku suatu ketika dahulu yang begitu banyak mencorak diriku pada hari ini. Daripada faktor didikan Abah dan Ma, sanak-saudara, guru-guru, teman-teman, sehingga lah faktor diri sendiri dan pengalaman yang mematangkan. Pengalaman kadang-kadang boleh menjadi guru yang paling baik!

Masih terngiang-ngiang di telingaku nasihat seorang ustaz ketika di bangku sekolah suatu ketika dahulu,

"Lepas makan gula-gula atau apa sahaja makanan, pembalutnya hendaklah dibuang ke dalam tong sampah. Kalau tidak kelihatan tong sampah di kawasan sekitar, kamu simpan dahulu pembalut itu di dalam kocek. Apabila nampak tong sampah, kamu boleh buang sampah itu ke dalamnya. Pada saat itu, kamu telah melakukan satu kebajikan. Alam akan bersih daripada pencemaran walaupun hanya daripada secebis pembalut makanan," begitulah nasihat yang terus aku amalkan ketika itu.

Sehingga sekarang, jika terlihat orang membuang sampah sesuka hati, hatiku menjadi sakit dan marah. Apa lah salahnya jika sampah itu disimpan seketika sebelum menemukan tempat yang sepatutnya untuk dibuang.

Kempen untuk memberikan kesedaran telah banyak dianjurkan tetapi tetap juga tidak dapat menyedarkan masyarakat. Entah sampai bila kempen akan terus dianjurkan tanpa mendapat natijah yang diharap-harapkan.

[+] Baca seluruh catatan ini..

Ahad, April 05, 2009

Menjenguk bayi Sahar..

Assalamualaikum..


Hari ini kami diajak oleh KakMah untuk menyertai mereka ke rumah KakTie di Bentong. Mengikut perancangan, mereka ingin ke Air Terjun Chamang yang selalu disebut-sebut oleh KakTie. Tapi memandangkan kondisi isteriku agak tidak mengizinkan dengan kandungan yang sudah melebihi tujuh bulan, kami risau untuk menempuh perjalanan yang memakan masa beberapa jam itu.

Perancangan kami hari ini hanyalah perjalanan di sekitar kediaman kami. Teringat akan seorang teman sepejabat isteriku iaitu Saharuddin atau nama panggilannya Sahar yang baru menimang cahaya mata lebih kurang tiga bulan yang lalu, kami membuat keputusan untuk menjenguk bayinya. Sahar dan isterinya tinggal di kuarters kerajaan di Putrajaya.

Setibanya kami di rumahnya, kelihatan isterinya juga ada di rumah kerana hari ini adalah hari hujung minggu. Terpandang wajah seorang bayi yang comel, aku bertanya setelah menyapa mereka sebelum itu.

"Siapa nama ni? Comelnya dia," aku seolah-olah bertanya kepada bayi perempuan itu.

"Nurul Anisa Syakira," sahut ayahnya.

Melihat bayi Sahar tadi, kami berasa tidak sabar untuk menanti saat menimang cahaya mata kami sendiri tidak lama lagi.

[+] Baca seluruh catatan ini..

Disediakan oleh Tengku Azlan || Hakcipta Terpelihara © 2008