Rabu, Mei 27, 2009

Kelahiran putera sulung kami..

Assalamualaikum dan selamat bertemu kembali..

Alhamdulillah, bayi pertama kami (lelaki) selamat dilahirkan pada 26 Mei 2009 bersamaan 1 Jamadil Akhir 1430 Hijriah pada pukul 9.41 malam di Hospital Universiti Sains Malaysia, Kelantan.

Kelahiran ini adalah buah cinta kami dan sangat berharga dalam hidup kami. Semoga kehadiran si kecil ini dapat melengkapkan kasih yang terjalin di antara kami selama-lamanya.
















[+] Baca seluruh catatan ini..

Khamis, Mei 21, 2009

Gaya bahasa penulisan blog..

Assalamualaikum dan selamat bertemu kembali..

Jika diperhatikan kepada perkembangan teknologi perhubungan dan maklumat masa kini, saban hari kewujudan blog-blog baru di ruang siber makin bertambah dan bercambah dengan begitu cepat. Tidak kira daripada golongan mana, semua manusia alaf baru kini tidak mahu melepaskan peluang untuk menikmati era yang serba canggih ini.

Bermula daripada kanak-kanak sekolah sehingga ayah atau ibu kepada beberapa orang anak malah datuk atau nenek, semua lapisan masyarakat mengambil kesempatan untuk meluahkan perasaan atau apa yang terbuku di hati melalui penulisan blog.

Jika dahulu manusia gemar menulis diari secara manual di dalam buku, kini penulisan diari kehidupan sudah ditukar kepada penulisan blog. Jadi, blog sebenarnya adalah sebuah diari digital, atau mungkin boleh dikenali sebagai e-diari!


Untuk catatan kali ini, aku terfikir untuk berkongsi atau meluahkan satu perkara yang sudah berlegar-legar di benakku sejak beberapa waktu, iaitu mengenai gaya bahasa penulisan blog. Setelah membaca dan meneliti banyak blog, pelbagai ragam bahasa dapat dikenalpasti. Terdapat blog yang bahasanya dijaga dengan rapi sehingga menampakkan keindahannya. Tetapi, kebanyakan blog begitu bercelaru penulisannya sehingga merosakkan keluhuran bahasa itu sendiri.


Di sini, aku menumpukan topik ini kepada gaya penulisan bahasa Melayu. Pada pendapatku secara peribadi, seseorang penulis blog perlu memastikan bahawa setiap nukilannya tidak mencacatkan bahasa itu sendiri. Beberapa perkara asas mesti diberi perhatian agar keindahan bahasa kita terpelihara.

Antaranya ialah, seseorang penulis haruslah memastikan supaya ayat yang digarap itu tidak tergantung. Imbuhan pula mesti digunakan dengan betul. Di samping itu, penggunaan huruf besar dan huruf kecil pada tempat yang sesuai juga memainkan peranan dalam penulisan. Kesimpulannya, kita hanya perlu mengaplikasikan apa yang pernah kita pelajari dalam mata pelajaran bahasa Melayu ketika di bangku sekolah rendah dan sekolah menengah suatu ketika dahulu!

Jika alasan untuk tidak menggunakan bahasa dengan betul adalah kerana ingin menjadikan catatan blog itu santai dan bersahaja, aku kurang bersetuju kerana aku pernah membaca beberapa blog yang ditulis dengan bahasa yang tidak cacat tetapi masih mampu menyelitkan elemen santai itu.

Semuanya bergantung kepada kehendak masing-masing dalam menghasilkan nukilan-nukilan e-diari kita dalam ruang maya ini.

Secara jujurnya, bahasa penulisanku sendiri kadang-kadang ada juga kesilapannya. Tetapi aku berusaha sebaik-baiknya agar setiap patah perkataan digarap dengan betul.

Aku berpegang kepada prinsip bahawa setiap ilmu yang dipelajari wajib diamalkan sedaya yang mampu. Jadi, jika kita pernah mempelajari ilmu bahasa Melayu ini, kita perlu mengaplikasikannya dalam penulisan blog.

[+] Baca seluruh catatan ini..

Jumaat, Mei 01, 2009

Terserempak dengan kawan lama..

Assalamualaikum..

Hari ini adalah hari cuti umum iaitu sempena hari pekerja. Selesai solat fardhu Jumaat di Surau Al-Munir, aku menuju ke gerai jualan makanan yang dibuka di perkarangan surau itu untuk membeli makanan tengahari kami di rumah nanti.

Tiba-tiba lenganku dicuit dari belakang. Aku menoleh ke arah datangnya gamitan itu. Rupa-rupanya seorang kenalan lama yang mungkin masih mengenaliku ingin menegurku.

"Assalamualaikum," dia memberi salam sambil tersenyum.

"Waalaikumussalam. Eh, Dek Wan. Erk, sekarang orang panggil Dek Wan lagi ke?" aku teringat akan nama timangannya di Kolej MARA Seremban beberapa tahun yang lalu.


"Boleh je. Sekarang pun orang masih panggil dengan nama tu. Apa khabar sekarang? Isteri bila dijangka bersalin?", Dek Wan atau nama sebenarnya Rizwan memulakan topik perbualan.

"Alhamdulillah. Dah makin hampir. Due 9 Jun ni. Kami rancang nak balik bersalin kat kampung. Dekat dengan orang tua, senang sikit."

Setelah bertukar nombor telefon, kami berpisah di situ.

**********


Petang, kami menuju ke Warta di Bangi. Kami telah berjanji dengan KakMah sekeluarga untuk bertemu di sana. Ada beberapa keperluan yang masih belum dibeli sempena menyambut bayi kami nanti. Kami ingin meminta nasihat Kakmah yang kini sudah mempunyai enam orang anak. Semestinya banyak pengalaman yang dapat kami timba daripadanya.

Sambil kami menunggu KakMah memilih barang keperluannya, tiba-tiba aku terdengar sapaan salam. Aku menoleh ke arah suara itu.

"Waalaikumussalam. Eh, Pah," aku tidak menyangka akan terserempak dengan Pah atau nama sebenarnya Syarifah Zaimah pada hari ini di Warta walaupun aku sudah memaklumi bahawa dia memang tinggal di Bangi.

"Ini ke suami Pah?" aku menyambung bicara sambil anak mataku melirik kepada seorang lelaki di sisinya. Pah mendirikan rumahtangga beberapa bulan setelah aku dinikahkan dengan isteriku tapi kami tidak dapat menghadiri majlis mereka.

Aku menghulurkan tangan bersalaman dengan suami Pah setelah Pah mengiakan soalanku tadi. Pah juga bersalaman dengan isteriku.

"Bila due ni, Kulan?" Pah bertanya setelah melihat keadaan isteriku yang semakin kelihatan kandungannya itu.

"9 Jun nanti. Sekarang dah lapan bulan dah. InsyaAllah kami rancang nak balik kampung awal. Bersalin kat sana," aku memberikan penjelasan.

Pah adalah rakan sekelas denganku ketika di Kolej MARA Seremban beberapa tahun yang lalu.

[+] Baca seluruh catatan ini..

Disediakan oleh Tengku Azlan || Hakcipta Terpelihara © 2008