Sabtu, November 29, 2008

Makan malam di Jalan Klang Lama..

Assalamualaikum..

Lepas solat fardhu Maghrib tadi, kami keluar menuju ke Jalan Klang Lama. Sebenarnya pagi tadi isteriku telah berjanji dengan kawan sepejabatnya yang tinggal di sana untuk makan malam di tempat yang biasa dikunjunginya dan menurutnya, masakan di situ sangat sedap.

Untuk memenuhi keinginan isteriku yang ketika ini sedang berada dalam fasa mengidam, aku terus menyatakan persetujuan.

Setibanya di restoran yang dimaksudkan, aku bersalam-salaman dengan Hazemi, kawan isteriku yang berpangkat ketua kerani itu, atau lebih dikenal sebagai C.C (Clerk Chief). Dia hanya berseorangan kerana isteri dan anak-anaknya tidak dapat menyertai kami.

Nampaknya isteriku begitu teruja dengan kata-kata C.C tersebut yang memuji masakan di restoran itu. Kami memesan masakan ikan siakap kukus, udang gorang tepung, dan kailan ikan masin.

Sewaktu makan itu lah aku mula berbual-bual dengan C.C tersebut yang selama ini selalu diceritakan oleh isteriku mengenai dirinya yang sangat mengikuti perkembangan kes yang berlaku terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Setelah selesai makan malam itu, kami berpisah di situ dengannya. Pertemuan pada malam itu banyak memberikan informasi kepadaku.

[+] Baca seluruh catatan ini..

Rabu, November 26, 2008

Alahan bagi ibu yang mengandung..

Assalamualaikum..

Sejak isteriku mengandung, aku mula berjinak-jinak dengan keadaan isteriku yang mengalami alahan. Alahan semasa mengandung sering dikaitkan dengan muntah-muntah, pening kepala, dan perut berasa tidak selesa.

Keadaan ini biasa berlaku ketika ibu yang sedang mengandung baru bangun daripada tidur dengan mengalami sedikit pening dan muntah. Namun ada juga yang akan mengalaminya sepanjang hari. Keterukan alahan bergantung kepada individu. Malah, ada juga wanita yang bernasib baik kerana tidak mengalami alahan langsung!

Punca alahan

Punca sebenar alahan sebenarnya masih kurang jelas. Kebanyakan penyelidik mempercayai bahawa alahan yang berlaku terhadap ibu yang mengandung adalah disebabkan oleh perubahan fizikal dan hormon dalam badan. Ada juga pendapat yang mengatakan bahawa alahan mungkin disebabkan oleh ketidakseimbangan paras gula di dalam darah.

Waktu alahan berlaku

Kebiasaannya, ibu yang mengandung akan mengalami alahan pada trimester pertama (tiga bulan pertama) kandungannya. Apabila usia kandungan mencecah trimester kedua (tiga bulan kedua), alahan akan beransur-ansur hilang. Walau bagaimana pun, ada sesetengah wanita akan mengalami alahan yang berlanjutan sehingga bersalin.

Kebanyakan wanita yang mengalami alahan semasa mengandung akan merasai kesannya pada rutin seharian. Ada yang terpaksa menukar perancangan harian untuk menyesuaikan diri dengan keadaan ini. Malah ada yang terpaksa bercuti daripada kerja kerana alahan yang terlalu teruk.

Kesan alahan terhadap kesihatan

Secara amnya, alahan dalam jangka masa yang pendek tidak akan menjejaskan kesihatan ibu dan bayi yang berada di dalam kandungannya. Jika alahan terlalu teruk sehingga apa yang dimakan akan dimuntahkan kembali, bayi berkemungkinan akan kekurangan nutrisi untuk perkembangannya dan kesihatan ibu akan terjejas. Selain daripada itu, ibu akan mengalami dehidrasi (kekurangan air di dalam badan).

Tanda (simptom) dehidrasi ialah pening-pening, dahaga, dan air kencing kurang daripada kebiasaan. Jika ibu yang mengandung mengalami simptom-simptom ini, ibu tersebut memerlukan rawatan dengan segera.

Cara mengatasi alahan

Makanan :

i.Apabila sedar pada waktu pagi, digalakkan supaya memakan kraker atau biskut, dan setelah berehat selama 15 minit, barulah bangun.

ii.Bangun perlahan-lahan dan jangan terus baring selepas makan.

iii.Keraplah memakan snek atau hidangan dalam kuantiti yang kecil supaya perut tidak kosong (contohnya, sekali dalam setiap dua jam) walaupun tidak lapar.

iv.Makan apa sahaja yang anda mahu tetapi elakkan daripada mengambil makanan yang pedas, berlemak dan bergoreng.

v.Jika anda tidak tahan dengan bau yang kuat ketika memasak, buka tingkap dan kipas. Adalah lebih baik jika orang lain yang memasak.

vi.Makanlah makanan yang sudah sejuk berbanding makanan yang masih panas kerana makanan yang sudah sejuk kurang baunya.

vii.Hidu bau limau nipis, limau kasturi, atau halia kerana ia boleh meredakan perut yang berasa sebu atau tidak selesa.

viii.Elakkan diri daripada mengambil kafein dan rokok.


Minuman :

i.Minum air dengan kerap sehingga 12 cawan sehari.

ii.Elakkan daripada minum semasa makan serta sebaik sahaja sebelum dan selepas makan.

iii.Pengambilan air halia boleh mengurangkan rasa mual.


Rutin harian :

i.Berehat secukupnya kerana alahan akan bertambah buruk apabila kepenatan. Tidurlah seketika pada waktu siang kerana kebiasaannya pada trimester pertama (tiga bulan pertama), wanita yang mengandung kerap berasa letih dan mengantuk.

ii.Dapatkan bantuan dalam melakukan kerja-kerja di rumah. Pastikan bahawa anda memperuntukkan masa untuk berehat.

iii.Bersiar-siarlah dan lakukan senaman ringan di luar rumah untuk mendapatkan udara yang segar. Buka tingkap rumah untuk pengudaraan yang baik di dalam rumah.

iv.Elakkan daripada berada di tempat yang panas kerana kebiasaannya alahan akan bertambah teruk.

v.Jika pengambilan vitamin bagi ibu yang mengandung menyebabkan alahan bertambah teruk, minta nasihat doktor.

vi.Bergeraklah secara perlahan-lahan dan elakkan daripada pergerakan yang pantas.

vii.Jangan gosok gigi sebaik sahaja selepas makan kerana ini boleh menyebabkan rasa mual.

viii.Dapatkan sokongan daripada orang yang rapat (contohnya suami, ibu bapa, sahabat).


Ibu yang mengandung perlu mendapatkan nasihat doktor jika,

i.cadangan di atas tidak memberikan kesan,

ii.muntah lebih daripada tiga atau empat kali sehari dan sebaik sahaja makan, termuntah kembali,

iii.berat badan menurun dengan banyak,

iv.muntah tersebut mengandungi darah atau berwarna hitam pekat,

v.mengalami simptom-simptom dehidrasi, atau

vi.risau dengan keadaan anda atau merasakan perubahan serius pada kesihatan anda.


Semoga maklumat-maklumat di dalam catatan ini dapat membantu pembaca yang mengalami alahan!

[+] Baca seluruh catatan ini..

Isnin, November 24, 2008

Amalan-amalan yang digalakkan semasa mengandung..

Assalamualaikum..

Sepanjang tempoh kehamilan seorang bakal ibu, setiap perbuatan dan perkataannya perlu dijaga agar bayi yang berada di dalam kandungannya bukan sahaja sihat dari segi fizikalnya, malah akan lahir sebagai seorang insan yang mampu membawa ketenangan dan sinar kebahagiaan kepada ayah dan ibunya.

Seperti ayah dan ibu yang lain, kami juga mendambakan anak yang soleh/solehah. Berdasarkan informasi dan pembacaan, di sini kami sertakan beberapa panduan kepada bakal ayah dan ibu.

Antara himpunan doa yang sangat digalakkan untuk diamalkan oleh para ibu mengandung sepanjang kehamilannya ialah :

1.   sayyidul istighfar (penghulu bagi segala doa pengampunan), iaitu seperti di bawah ini :

yang bermaksud : "Ya Allah, Engkau adalah Tuhanku. Tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Engkau. Engkau telah menciptaku dan aku adalah hamba-Mu. Dan aku (terikat) dengan janjiMu semampu yang aku boleh (laksanakan). Aku memohon perlindungan kepadaMu daripada kejahatan yang aku lakukan. Aku mengakui bahawa semua nikmat yang Engkau berikan kepadaku adalah milikmu, dan aku mengaku terhadap dosa-dosaku. Oleh itu, ampunilah aku, kerana sesungguhnya tiada yang dapat memberi keampunan kecuali hanya Engkau." (Hadis Riwayat Bukhari),

2.   doa memohon rahmat daripada Allah (Surah Ali 'Imran, ayat 8 dan 9), iaitu :

yang bermaksud : "Wahai Tuhan kami, janganlah Engkau jadikan hati kami condong kepada kesesatan sesudah Engkau memberi petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami rahmat dari sisi Engkau, karena sesungguhnya Engkau adalah Maha Pemberi (kurnia). Wahai Tuhan kami, sesungguhnya Engkau mengumpulkan manusia untuk (menerima pembalasan pada) hari yang tiada keraguan padanya. Sesungguhnya Allah tidak menyalahi janji.",

3.   doa memohon zuriat yang baik (Surah Ali 'Imran, ayat 38), iaitu :

yang bermaksud : "Di sanalah Zakaria berdoa kepada Tuhannya seraya berkata : 'Wahai Tuhanku, berilah kepadaku dari sisi Engkau seorang anak yang baik. Sesungguhnya Engkau Maha Mendengar doa'.", dan

4.   doa agar anak rajin untuk mendirikan solat (Surah Ibrahim, ayat 40 dan 41), iaitu :

yang bermaksud : Wahai Tuhanku, jadikanlah aku dan anak cucuku orang-orang yang tetap mendirikan solat. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doaku. Wahai Tuhan kami, berikanlah keampunan kepadaku dan kepada kedua-dua ibu dan bapaku, serta sekalian orang-orang mukmin pada hari terjadinya hisab (hari perhitungan).".


Selain daripada doa-doa yang dinyatakan di atas, ada juga surah-surah yang sangat baik untuk diamalkan ketika hamil.

Surah-surah tersebut ialah :

1.   Surah Al-Fatihah (untuk keterangan hati dan kekuatan ingatan),

2.   Surah Maryam (untuk memudahkan ibu bersalin),

3.   Surah Yusuf (untuk memperoleh anak yang cantik rupa parasnya dan indah akhlaknya),

4.   Surah Luqman (untuk memperoleh anak yang cerdik akalnya dan kuat jiwanya),

5.   Surah Yaasin (untuk ketenangan hati dan agar anak tidak terpengaruh dengan godaan syaitan yang mengajak kepada maksiat),

6.   Surat Toha (untuk memperoleh bayi yang lembut hatinya),

7.   Surah An-Nahl (untuk memperoleh anak yang tinggi displinnya),

8.   Surah Hujurat (untuk memperbanyakkan susu ibu dan agar anak mempunyai sifat berhati-hati), dan

9.   Surah At-Taubah (untuk membersihkan jiwa dan agar terpelihara daripada maksiat).


Di samping itu juga, terdapat beberapa perkara yang perlu sering diambil perhatian agar anak yang dilahirkan akan sejahtera dan berakhlak mulia.

Perkara-perkara tersebut ialah :

1.   banyak mengingati Allah dengan memohon keampunan dan taubat supaya Allah mengampunkan segala dosa yang telah dilakukan selama ini dan seterusnya akan membersihkan hati daripada perasaan yang tidak baik,

(Dengan ini juga diharap agar anak yang bakal lahir nanti bersih hatinya dan ibu dapat bersalin dengan tenang dan selamat)

2.   banyak melakukan ibadah, membuat kebajikan dan meninggalkan segala larangan agama,

(Ibu yang hamil dituntut agar memperbanyakkan amal ibadah seperti solat sunat, puasa sunat terutamanya pada hari Isnin dan Khamis, serta sentiasa menjaga syariat. Bukan sahaja isteri, malah suami juga dituntut untuk mengamalkan semua ini bersama-sama)

3.   sentiasa berakhlak baik,

(Ibu-ibu yang sedang mengandung perlu lebih banyak bersabar, bersikap baik dengan jiran, menghormati ahli keluarga dan teman-teman. Tingkah laku yang baik akan mempengaruhi sikap anak yang bakal lahir) dan

4.   sentiasa tenang dan gembira.

(Keadaan emosi yang tenang dan bahagia merupakan rangsangan kepada pembinaan otak, seterusnya menghasilkan kelahiran bayi yang sihat, terangsang, pintar dan cerdas)


Marilah kita semua bersama-sama berusaha untuk membangunkan generasi baru yang akan memartabatkan Islam!

[+] Baca seluruh catatan ini..

Isnin, November 10, 2008

Menggerakkan teks pada bar tajuk blog..

Assalamualaikum..

Catatan kali ini ialah mengenai kod javascript yang berfungsi untuk menjadikan teks pada bar tajuk (title bar) blog kita bergerak atau bergelintar di sepanjang bar tajuk tersebut.

Bar tajuk pada blog ini..


Setelah sekian lama kod ini diaplikasikan kepada blog AzlanSajirah, beberapa hari yang lalu, ada seorang kenalan telah bertanya mengenai kod tersebut untuk digunakan ke atas blognya.

Jadi, di sini, kami ingin berkongsi dengan pembaca sekalian mengenai kod yang sangat mudah untuk diaplikasikan ini!

Untuk pengetahuan pengunjung sekalian, bar tajuk ialah teks yang berada paling atas pada mana-mana pelayar web (web browser) atau perisian (software). Pelayar web yang paling popular sekarang ialah Mozilla Firefox.


Untuk menjadikan teks pada bar tajuk tersebut bergerak, pembaca hanya perlu menyalin (copy) dan menampal (paste) kod di bawah ini ke dalam kod HTML bagi blog pembaca, di dalam head section, iaitu di antara tag pembuka, <head>, dan tag penutup, </head>.

/***Kod untuk teks pada title bar bermula di sini***/
<script>
var repeat=1
var title=document.title
var leng=title.length
var start=1

function titlemove() {
titl=title.substring(start, leng) + title.substring(0, start)
document.title=titl
start++
if (start==leng+1) {
start=0
if (repeat==0)
return
}

setTimeout("titlemove()",140)
}
if (document.title)
titlemove()
</script>
/***Kod untuk teks pada title bar berakhir di sini***/

Sekarang, blog pembaca juga sudah mempunyai bar tajuk dengan teks yang bergerak seperti blog ini. Selamat mencuba!

[+] Baca seluruh catatan ini..

Khamis, November 06, 2008

Gembira tatkala melihat bayi bergerak-gerak..

Assalamualaikum..

Sememangnya, impian setiap pasangan yang mendirikan rumahtangga ialah kebahagiaan yang berpanjangan. Kebahagiaan itu pula akan bertambah indah apabila dikurniakan zuriat sebagai lambang kasih dan buah cinta yang disemai bersama-sama dengan penuh kasih sayang. Kami juga tidak terkecuali daripada lumrah tersebut.


Tadi, selepas solat fardhu Maghrib berjemaah di rumah, kami keluar menuju ke sebuah klinik swasta (Klinik Jameaton) di Taman Pinggiran Putra, Seri Kembangan. Tujuan kami hanyalah satu, iaitu untuk mengesahkan ujian kehamilan yang telah kami buat sendiri di rumah melalui set penguji kehamilan (pregnancy test kit).

Sebenarnya, sebelum membuat keputusan untuk pergi ke klinik, kami telah melakukan dua kali ujian kehamilan di rumah kerana kami khuatir jika keputusan ujian tersebut tersilap. Kami tidak mahu kecewa apabila keputusan sebenar adalah sebaliknya sedangkan kami telah bergembira dengan keputusan yang positif itu.

Selepas ujian yang kedua dibuat, ternyata set penguji kehamilan itu juga menunjukkan dua jalur, sebagaimana keputusan ujian yang pertama sebelumnya. Kami memanjatkan kesyukuran kepada Allah yang telah mengurniakan segala-galanya kepada kami.

Walaupun begitu, kami membuat keputusan untuk membuat pemeriksaan di klinik pula untuk mendapatkan kepastian yang lebih jelas. Setibanya kami di klinik tersebut, setelah menunggu seketika, kami dipanggil untuk masuk menemui doktor.

"Assalamualaikum, puan. Apa yang boleh saya bantu?" Doktor Jameaton memulakan perbualan dengan intonasi yang lembut dan menyenangkan.

"Waalaikumussalam, doktor," kami sama-sama menjawab ucapan salam tersebut.

Kami mula bercerita mengenai tujuan kami. Beberapa minit kemudian, isteriku dibawa ke ruang pemeriksaan. Doktor mula mengimbas (ultrasound) perut isteriku. Setelah dipanggil oleh doktor, aku menuju ke tempat isteriku dibaringkan.

Contoh ultrasound..


"Encik tengok tu. Bayi dah ada. Tahniah ye," doktor menunjukkan skrin yang memaparkan gambar bayi kami yang sedang diimbas.

ALLAHU AKBAR! Allah Maha Besar! Sukar untuk digambarkan bagaimana perasaanku ketika itu. Itu adalah kali pertama aku melihat zuriatku. Itu adalah zuriatku yang pertama. Aku yakin, isteriku juga mengalami perasaan yang sama sepertiku pada ketika itu.

Kami dapat melihat seorang insan kecil berada di dalam rahim ibunya. Kelihatan jari-jemarinya yang kecil dan comel sudah terbentuk dan bergerak-gerak. Jantungnya juga dapat dilihat. Ia sangat kecil dan yang paling mengagumkan kami ialah, jantung itu sudah berdegup!

Kami sangat bersyukur. Pada saat itu, jauh di lubuk hati kami, kami memuji dan kagum dengan kehebatan Allah dalam penciptaan makhluk-makhluknya.

Setelah selesai proses pengimbasan itu, kami dibawa kembali ke meja doktor. Doktor mula mengira tarikh jangkaan kelahiran bayi.

"Nampaknya, usia kandungan puan sekarang sudah mencecah 9 minggu, dan puan dijangka akan melahirkan bayi pada 9 Jun 2009. Tahniah ye, encik, puan!" doktor memberitahu fakta berdasarkan pengiraannya.

Selepas itu, kami pulang ke rumah. Selepas solat fardhu Isyak berjemaah, isteriku menangis di pangkuanku. Dia menangis kerana terlalu gembira. Setelah sekian lama membina impian untuk bergelar ibu, akhirnya impian itu bakal menjadi kenyataan.

"Abang, akhirnya Sayang dapat menghadiahkan zuriat kepada Abang. Sayang sangat gembira bang," isteriku meluahkan isi hatinya.

"Terima kasih ye, Sayang. Sayang telah memberikan hadiah yang paling berharga kepada Abang," aku menjadi terharu dengan situasi itu.

Kami berdoa agar dapat menjadi abi dan ummi yang baik kepada bayi kami nanti. Semoga bayi itu membesar dengan penuh keberkatan daripada Allah, dan akhirnya menjadi anak soleh/solehah yang sentiasa menjadi penawar dalam hidup kami.

[+] Baca seluruh catatan ini..

Rabu, November 05, 2008

Nasir dan Hisham datang bertandang..

Assalamualaikum..

Petang tadi, sewaktu kami berada dalam perjalanan pulang dari tempat kerja, tiba-tiba satu mesej tiba di telefon bimbitku.

"Lan, aku nak bawak Hisham jalan-jalan di Jusco Taman Equine kejap lagi.."


Rupa-rupanya mesej itu telah dihantar oleh teman seuniversitiku, Nasir. Hisham pun sama universiti dengan aku dan Nasir. Cuma, mereka berdua dahulunya belajar di fakulti yang sama, sedangkan aku menuntut di fakulti yang berlainan.

"Singgah la rumah aku. Dah tak jauh tu.."

Aku mengajak mereka untuk bertandang ke rumah kami.

Malamnya, setelah kami selesai menunaikan solat Isyak, aku keluar untuk menjemput Nasir dan Hisham di Jusco. Jalan ke rumah kami memang agak sukar bagi orang yang tidak biasa dengan selok-beloknya. Jadi, aku mesti keluar untuk memandu arah agar mereka tidak tersesat.

Mereka akhirnya tiba setelah mengikut keretaku. Aku sebenarnya segan dengan mereka berdua. Maklum lah, mereka bertaraf ustaz. Aku tidak setanding dengan mereka.

Nasir..


Hisham..


"Hisham, enta baru kawin ye?" aku memulakan perbualan setelah kami bersalam-salaman.

"A'ah," Hisham menjawab ringkas.

"Maaf lah. Ana tahu pun setelah majlis dah lepas. Tu pun lepas baca blog Nasir," aku menjelaskan dengan sedikit rasa serba salah.

"Nasir memang macam tu. Ana dah pesan kat dia. Tapi takpe," jawab Hisham yang juga aktif menulis blognya.

Nasir yang berada di sebelah agak tersipu-sipu.

"Maaf lah Lan. Aku lupa. Erm, Lan, aku rasa macam aku kenal je kereta tu," Nasir bertanya mengenai salah seorang jiranku.

"Kau kenal ke, Nasir?"

"Aku rasa macam rakan sekerja aku masa di Tabung Haji dulu," Nasir menjawab.

Setelah dia menghubungi rakannya itu, rupa-rupanya memang benar itu adalah orang yang dimaksudkannya. Haji Nazim namanya.

Nasir menuju ke rumah rakan lamanya itu meninggalkan kami berdua di ruang tamu rumahku. Isteriku yang telah selesai menghidangkan sedikit juadah ringan beserta biskut raya yang masih berbaki itu, telah masuk ke dalam bilik.

"Enta tinggal kat mana, Hisham?" aku bertanya dengan sedikit perasaan segan kerana aku tidak begitu biasa dengannya. Tambahan pula, aku memang seorang yang agak pemalu.

"Ana tinggal kat Pahang. Kerja pun kat sana. Isteri ana kerja kat Kuala Lumpur," Hisham menjawab.

"Erm, takpe la Sham. Mula-mula ni, kena korban la sikit."

"Ni pun, ana datang sebab ada seminar di PICC. Ana baru je masuk kerja selepas cuti kahwin. Datang sini, ana tumpang rumah Nasir."

PICC ialah singkatan bagi Putrajaya International Convention Center.

"Kesian pengantin baru kita ni."

Setelah lama kami berbual-bual, Nasir tiba-tiba muncul.

"Jom balik!" Nasir bersuara.

"Ok lah Lan. Kami balik dulu lah," Hisham mula meminta diri.

"Ok. Terima kasih kerana datang bertandang."

Mereka hilang dari pandangan mata. Satu lagi kenangan terukir di dalam sejarah persahabatan ini.

[+] Baca seluruh catatan ini..

Disediakan oleh Tengku Azlan || Hakcipta Terpelihara © 2008