Jumaat, Oktober 23, 2009

Pemergian Nur Fatimah, suatu kehilangan..

Assalamualaikum..

Melalui blog I-Match, isteriku mendapat tahu mengenai berita pemergian puteri sulung kenalanku di kampus dahulu iaitu Ramadhan dan Khadijah pagi semalam. Sememangnya isteriku sentiasa mengikuti perkembangan kenalan-kenalanku yang aku pautkan laman blog mereka di blog kami.

Ramadhan, Khadijah, dan arwah Nur Fatimah..


Semoga ruh puteri kecil ini dicucuri rahmat oleh Yang Maha Esa..


"Abang, walaupun Sayang tidak pernah mengenali Khadijah, tapi sebagai seorang ibu, Sayang dapat rasa bagaimana perasaan Khadijah di saat pemergian Nur Fatimah", begitulah antara luahan hati isteriku ketika mengetahui perkhabaran tersebut semalam.

Sebenarnya, dua hari yang lalu, aku meminta nombor perhubungan Ramadhan daripada seorang kenalanku juga (Nasir), dengan niat ingin menjenguk Nur Fatimah yang digambarkan di dalam blog sahabat-sahabatku yang lain seperti agak tenat.

Namun, niat kami itu tidak kesampaian apabila Nur Fatimah terlebih dahulu dipanggil Ilahi. Kami mendoakan agar ruh puteri kecil itu dicucuri rahmat. Semoga baba dan mamanya tabah menghadapi ujian ini.

[+] Baca seluruh catatan ini..

Jumaat, Oktober 16, 2009

Berkesankah kempen pada kotak rokok?

Assalamualaikum..

Sejauh manakah kempen untuk memberhentikan amalan merokok di kalangan penduduk Malaysia berjaya? Walaupun foto-foto yang menggerunkan dikepilkan pada setiap kotak rokok yang dijual, namun tabiat ini tidak akan dapat dikurangkan.

Entah bagaimana caranya, aku sendiri tidak pasti. Sememangnya, sesuatu tabiat buruk di kalangan masyarakat kita amat sukar untuk dibendung.


[+] Baca seluruh catatan ini..

Selasa, Oktober 13, 2009

Kami ke Bangi..

Assalamualaikum..

Hari ini kami ke Bangi. Tujuan asal ialah untuk ke sebuah pusat perubatan homeopati di Billion, Bangi. Setelah mendengar nasihat daripada seorang temannya, isteriku mengajak aku membawa Ummair mencuba perubatan homeopati kerana menurutnya, kaedah perubatan ini bebas daripada bahan kimia di dalam kandungan ubat-ubatannya sebagaimana di klinik-klinik biasa.

Malangnya, pusat perubatan tersebut sudah tutup. Nampaknya kami terpaksa datang pada kesempatan yang lain.

Selepas itu, kami ke Warta. Kami mengganti bingkai cermin mata isteriku yang patah ketika tertinggal di rumah kami di sini ketika pulang berhari raya.

Dalam perjalanan pulang, kami singgah makan malam di Restoran Perantau di Bangi juga. Ummair nampaknya seronok dapat melihat ramai orang dan lampu berwarna-warni. Cuma satu perkara yang kami kasihan melihat Ummair, iaitu matanya tidak berkelip melihat kami makan, seolah-olah menagih simpati agar dirinya disuap dengan nasi.

"Sabar ye Ummair. Ummair masih belum dapat makan. Sekarang kan, Ummair masih dalam tempoh penyusuan eksklusif dengan Ummi. Selepas umur Ummair enam bulan, Abi dan Ummi akan suap nasi ye!"

Begitulah kami memujuk Ummair yang comel itu.

[+] Baca seluruh catatan ini..

Ahad, Oktober 11, 2009

Kami ke Seremban..

Assalamualaikum..

Hari ini jadual kami agak padat. Setelah Kakcik (adikku) tiba dan selesai bersarapan, kami berempat bertolak ke Taman Pinggiran Senawang, iaitu rumah ibu saudaraku, MakNa (adik Ma). Memandangkan dia sekeluarga tidak dapat pulang menyambut Syawal di kampung, kami membuat keputusan untuk membuat kunjungan ke rumah mereka. Tambahan pula, MakNa belum bertemu mata dengan Ummair sejak kelahiran putera kami itu.

Lama juga kami berada di situ. Petang, baru kami bertolak pulang. Setibanya di rumah, jiran kami mempelawa kami agar terus masuk ke rumahnya. Memang sejak minggu lepas lagi Abang Kamaruzzaman itu mengajak kami ke rumah terbukanya hari ini.

"Tengku Muhammad Ummair, tengok sini. Atuk KZ nak tangkap gambar ni!"

Abang Kamaruzzaman memang dikenali sebagai Abang KZ di kejiranan kami ini.

Selepas itu, kami terus ke Damansara Damai, iaitu rumah bapa saudaraku (adik Abah). Katanya, dia juga membuat majlis rumah terbuka.

Setibanya di sana, kelihatan dua keluarga lagi ada di sana. Mak (nenekku) juga ada. Malah, Tok Ngah (adik Mak) juga ada di sana. Menurutnya, dia ada urusan kerja di sekitar Lembah Kelang ini. Kami (aku dan isteriku) sebenarnya belum sempat ke rumah Tok Ngah di Kuala Krai sejak kami berkahwin. Bukan tidak mahu singgah, tapi terlalu banyak destinasi rumah saudara-mara dan keluarga yang mesti dikunjungi setiap kali pulang ke kampung.

"Tengok pada mata Ummair ni, nampak cerdik. Nanti akan jadi kanak-kana genius ni!" Tok Ngah memberikan komentarnya. Sebenarnya semua orang yang melihat Ummair pada kali pertama akan berkata sedemikian. InsyaAllah, kami berdoa agar kata-kata positif daripada semua orang itu akan menjadi doa buat Ummair. Semoga ia menjadi kenyataan.

Lebih kurang pukul 11.00 malam, baru kami tiba di rumah. Hari ini memang hari yang penuh dengan kunjungan dan sangat memenatkan!

[+] Baca seluruh catatan ini..

Khamis, Oktober 08, 2009

Malam Pengantin..

Assalamualaikum..

Dalam catatan kali ini, aku ingin berkongsi satu sajak yang sangat menyentuh hati bagi insan yang sentiasa rindu akan Rabbnya.



Malam Pengantin

Kita pasti dirisik..
Pertunangan sejak azali..
Di hujung hidup nanti..

Berlangsungnya perkahwinanmu dengan maut..
Hantarannya..sakit dan nazak..
Tamu bertandang menghadiahkan esak tangis..
Pengantin dimandikan..

Dipakaikan baju cantik putih..
Wangian gaharu dan cendana..
Keranda jadi pelaminan..
Pengantin bersanding sendirian..

Di arak keliling kampung..
Berkompangkan azan dan kalimah kudus..
Akad nikahnya bacaan talkin..
Berwalikan liang lahat..

Saksi pula nisan-nisan..
Siraman air mawar..
Keluarga terdekat menepung tawar..
Tiba masa pengantin..
Menunggu sendirian..

Malam pertama bersama KEKASIH..
Di kamar bertilamkan tanah..
Dan Dia menuntut janji..
Sucikah kita tatkala berpadu..

Pernahkah taubat sepanjang hayat..
Atau terkubur bersama dosa-dosa...
Dan Dia Kekasih itu..
Menetapkanmu ke syurga..
Atau melemparkan dirimu ke neraka..

[+] Baca seluruh catatan ini..

Rabu, Oktober 07, 2009

Teh RM 1.00..

Seorang lelaki singgah di sebuah warung dan memesan segalas teh ais. Sebentar kemudian teh tiba di mejanya dan ketika dia hendak meminumnya, dia mendapati ada seekor lalat sedang berenang di dalam tehnya. Lalu dia memanggil pelayan.


"Waiter! Kenapa ada lalat di dalam teh saya?"

Dengan muka tidak bersalah, si pelayan menjawab, "Takkanlah dengan harga teh RM 1.00, anda mengharapkan ada kambing di dalamnya."

[+] Baca seluruh catatan ini..

Disediakan oleh Tengku Azlan || Hakcipta Terpelihara © 2008