Khamis, Mei 08, 2008

Hari ahad di kampung..

Assalamualaikum..

Pagi itu, 2 buah keluarga akan mula bertolak ke KL, iaitu keluarga AbeMan dan KakMah dengan 6 orang anak mereka, dan keluarga Mat dan Ti dengan 2 orang anak mereka.

AbeKiman dan KakTi serta anak-anak mereka pulak akan bertolak ke Bentong pada hari itu juga, cuma mungkin lewat sedikit kerana AbeKiman ingin juga menyiapkan tandas yang dibinanya itu sebelum berangkat.

Kami telah membuat keputusan untuk bertolak keesokan harinya kerana ingin menggunakan masa yang lebih sedikit untuk berbakti kepada Mek yang masih sakit itu.

Mek menghulurkan satu cebisan kertas yang tertera beberapa nombor bertulisan tangan kepada AbeMan. Mek meminta AbeMan menghubungi nombor itu, iaitu rumah seorang tukang urut yang tinggal di Chicha. Kedengarannya, dia memang terkenal dalam bab urut mengurut pesakit strok ni.

"PakHim kata, dia ada kat rumah hari ni.", AbeMan memberitahu semua yang ada setelah selesai menghubungi nombor itu.

"Biar Lan lah yang pergi ambik PakHim sebab Lan belum nak bertolak balik KL lagi hari ni.", aku menawarkan diri.

"Lan belum nak bertolak hari ni?"

"Esok kot, AbeMan. InsyaAllah."

"Erm. Ok lah kalau macam tu."

"Tapi, siapa pernah pergi rumah PakHim tu?", aku bertanya.

"Ayah pernah pergi.", Mek bersuara dari dalam biliknya.

"Ayah, temankan Lan pergi ambik PakHim ye.", aku memaklumkan kepada Ayah yang sedang duduk di sofa berdekatan.

"Ye lah. Tapi Ayah nak ke kedai kopi sekejap.", Ayah menjawab.

Setelah aku siap untuk ke rumah PakHim, kelibat Ayah sudah tidak kelihatan. Aku sangka, mesti Ayah berada di belakang rumah, sebagaimana selalu, membuat apa-apa kerja kerana kerajinannya itu.

Setelah mencari tetapi tidak ketemu, aku bertanya ipar-ipar dan biras-birasku.

"Ayah mana?"

"Ayah pergi kedai kopi la kot.", jawab AbeMan membuat telahan.

"Eh, tadi Lan dah beritahu dia, Lan nak ajak dia temankan Lan pergi ambik PakHim. Ingat, nak bawak dia ke kedai kopi tu dulu, kemudian terus ke sana.", aku menjawab.

"Ayah tu, memang kadang-kadang susah nak faham dia.", AbeMan akhirnya membuat kesimpulan mengenai bapa mertua kami yang sudah lama dikenalinya itu.

Rupa-rupanya, Ayah memang sudah pergi ke kedai kopi kegemarannya itu. Senang sahaja nak tahu. Bila tengok basikal tua kesayangannya tiada di tempatnya, memang amat besar lah kemungkinan bahawa dia ke situ.

Aku mamandu kereta menuju kedai kopi itu. Memang sah Ayah berada di situ. Untuk menemani Ayah, aku memesan teh 'O' panas.

Tiba-tiba, nampak MakcikDah, seorang ibu saudaraku yang memang tinggal di kampung isteriku itu, menuju ke kedai tempat kami sedang minum itu. Aku menyapanya. Dia bertanya khabar mengenai keadaan Mek. Dia memberitahuku bahawa dia baru sahaja mendapat tahu mengenai keadaan Mek itu. Dia juga menjemput aku dan isteri ke rumahnya sebagai pengantin baru memandangkan kami tidak sempat ke rumahnya selepas majlis kami lebih kurang 2 bulan yang lalu.

"InsyaAllah, MakcikDah. Maaf sebab belum sempat lagi nak pergi ke rumah MakcikDah. Ni pun balik kampung tanpa dirancang. Balik rumah Ma pun satu malam je", aku menjawab.

"Takpe. Nanti MakcikDah pergi ziarah Mek ye.", dia nampaknya memahami situasiku.

Beberapa minit selepas MakcikDah beredar, aku dan Ayah menuju ke rumah PakHim. Basikal Ayah ditinggalkan di kedai itu sementara kami ke rumah PakHim.

Rumah PakHim di tepi jalan. Tidak susah untuk mencarinya. Kami pulang membawa PakHim. Setelah meninggalkan Ayah di kedai tadi untuk pulang bersama basikal tua kesayangannya itu, aku membawa PakHim ke rumah Mek. Kelihatan 2 buah keluarga yang ingin bertolak tadi masih belum selesai bersiap.

Aku terus membawa PakHim menuju ke pembaringan Mek. Aku mendudukkan Mek setelah dipinta begitu oleh PakHim bagi memudahkan urusan pengubatannya.

"Ada harapan untuk sembuh ni.", PakHim bersuara sambil memandangku.

"Syukurlah kalau macam tu, PakHim.", aku membalas pandangannya yang menampakkan sinar harapan.

"Tengok ni. Bila PakHim picit di sini, jari-jari Mek bergerak. Itu menunjukkan urat sarafnya masih belum mati.", PakHim bercerita berdasarkan pengalamannya.

"Ooo.. Begitu ye, PakHim.", aku melayan PakHim di kala ipar-ipar dan biras-biras sedang sibuk dengan urusan masing-masing.

Alhamdulillah. Lega hatiku sebaik sahaja mendengar ungkapan positif daripada PakHim. Aku sebenarnya sudah menjangkakan keadaan sedemikian kerana ketika aku memicit-micit badan Mek, Mek pernah memberitahu bahawa Mek berasa sakit di bahagian yang tidak dapat bergerak itu. Itu bermakna, deria sakitnya masih berfungsi.

Beberapa minit sahaja diurut oleh PakHim, keadaan Mek kelihatan bertambah baik. Muka sebelah kiri Mek yang nampak kusam sebelum itu nampaknya mula segar. Percakapan Mek pun bertambah jelas. Aku dapat melihat kegembiraan terpancar di wajah Mek. Hatiku tidak putus-putus berdoa agar Mek cepat sembuh.

Akhirnya PakHim berhenti. Katanya, pesakit strok tidak boleh diurut terlalu lama kerana dikhuatiri ototnya akan lebam. Pesannya, selang beberapa hari, mesti diurut lagi.

Aku menghantar PakHim pulang ke rumahnya. Di dalam kereta, kami berbual-bual mengenai keluarga masing-masing.

"Dari mana PakHim belajar mengurut ni? Atau kebolehan ini adalah warisan keluarga PakHim?", aku mula menyingkap sejarah kepakarannya itu.

"PakHim tak belajar mana-mana pun. Warisan keluarga pun bukan. Mungkin ia adalah satu anugerah kerana PakHim cuba-cuba je. Alhamdulillah, ramai pesakit strok yang sudah pulih di tangan PakHim, dengan izin Allah jua.", PakHim bercerita dengan jujur.

"Owh. Kalau macam tu, saya pun ada pengalaman begitu. Pernah kawan-kawan yang jatuh motosikal atau lenguh-lenguh badan minta saya urutkan. Lepas tu, mereka tanya, dari mana saya belajar mengurut. Padahal, saya picit-picit macam tu je."

Mendengarkan cerita daripadaku, PakHim kemudian memberitahu beberapa tempat yang boleh diurut jika mengantuk, dan beberapa teknik mengurut secara ringkas. Dalam perjalanan yang pendek itu, alhamdulillah, aku telah mendapat sedikit ilmu.

Setelah selamat menghantar PakHim ke rumahnya, aku menuju pulang ke rumah Mek. Setibanya aku, kelihatan kereta AbeMan mula bergerak. Aku hanya menunggu di luar kereta, untuk bersalam dengan AbeMan.

"Selamat jalan, AbeMan.", aku menyalami AbeMan yang menghulurkan tangan dari tingkap keretanya. KakMah berada di sebelah AbeMan. Anak-anak mereka bising di ruang belakang.

"Terima kasih. Jadi balik esok lah ni?"

"InsyaAllah, AbeMan."

AbeMan mula bertolak. Kemudian, kereta Mat pula menyusul. Aku juga menyalami Mat sambil mengucapkan selamat jalan kepadanya. Ti berada di sebelah Mat sambil meriba bayi kecil mereka. Anak sulung mereka, Haikal, berada di tempat duduk belakang.

Aku kembali ke dalam rumah. AbeKiman masih dengan kerjanya untuk menyiapkan tandas. Paip sudah mula disambung. Aku membantu mana yang termampu untuk mempercepatkan kerja memandangkan AbeKiman sudah kesuntukan masa.

Lebih kurang pukul 3.00 petang, baru AbeKiman bertolak. Tandas sudah boleh digunakan. Ketika AbeKiman bersalam dengan Mek, aku nampak AbeKiman menangis tetapi dengan tertahan-tahan. Mungkin dia tidak sanggup untuk meninggalkan Mek dalam keadaan begitu. Namun, urusan kerja tidak boleh juga ditinggalkan terus demi kelangsungan hidup mereka sekeluarga.

Aku memicit-micit badan Mek.

"Lan, nanti pergi lah ke rumah MakcikDah dan PokJid tu. Nanti kecik hati mereka, langsung tak jenguk sejak Lan kahwin ni. Kalau jauh, mungkin takpe. Tapi, mereka dengan Mek ni, sekampung je.", Mek berpesan kepadaku.

"Ye, Mek. Lan pun bercadang nak pergi dengan Jie malam ni. Tadi terserempak dengan MakcikDah di kedai kopi.", aku bercerita. Mek kelihatan lega setelah aku menyatakan hasratku itu.

Pada malam itu, selepas solat Maghrib, kami berjalan kaki ke rumah MakYah (saudara Ayah) yang tidak jauh dari rumah Mek. Dia juga sudah berkali-kali mengajak kami ke rumahnya. Setelah dijamu dengan hidangan yang ringkas, kami meminta diri kerana sudah kesuntukan masa. Kami ingin melawati 2 buah rumah lagi pada malam itu.

Sesampainya kami di rumah MakcikDah, hujan mula turun. Kami mengetuk pintu rumah dan memberi salam, namun tiada jawapan dari dalam rumah. Sebuah kereta kelihatan ada di garaj rumah.

"Takde jawapan lah, Sayang."

"Tapi bang, Sayang nampak, dalam rumah, lampu terpasang."

"A'ah kan. Kereta pun ada. Tapi, mungkin dia keluar dengan motor atau sudah tidur. Dah banyak kali kita ketuk pintu dan beri salam, tapi tetap juga tiada jawapan."

Hujan mula lebat. Jam di tanganku menunjukkan pukul 10.00 malam.

"Sayang, mari kita ke rumah PokJid pulak. Malam makin larut. Hujan pulak makin lebat."

"Baiklah bang. Lagi pun, kita dah datang tapi dia takde. Lain kali la pulak. Kita pun kesuntukan masa ni."

PokJid dan MakcikYah


Setibanya di rumah PokJid, hujan masih juga lebat. Syukurlah, PokJid sekeluarga ada di rumah. Setelah memberi salam dan menyalaminya, kami dipersilakan masuk.

"Ingatkan siapa lah tadi. Rupa-rupanya pengantin baru!", PokJid mula berseloroh.

Dia memang suka berjenaka. Tidak kering gusi dibuatnya jika dia turut serta dalam mana-mana perbualan.

Banyak juga perkara yang kami bualkan. Dia baru pulang dari Terengganu. Makan angin la tu. Dia juga bertanya mengenai keadaan Mek.

Tiba-tiba, lampu terpadam. Elektrik terputus! Mungkin disebabkan oleh hujan yang begitu lebat, sistem litar diputuskan secara automatik untuk keselamatan penghuni. Akhirnya, lilin dipasang dan kami berbual dalam suasana yang 'romantik' itu.

Setelah berasa agak lama, kami meminta diri untuk pulang. Hujan masih lebat dan kami masih bergelap. Namun, kami terpaksa pulang memandangkan sudah agak lewat malam.

"InsyaAllah, kalau nak pergi makan angin, kita pakat la ye. lama tak jalan-jalan dengan PokJid.", aku memberitahunya sebelum bertolak pulang.

"Beres, Lan!", PokJid menjawab dengan wajah yang tidak lokek dengan senyuman itu.

Kami tiba di rumah Mek lebih kurang pukul 11.30 malam. Bekalan elektrik di rumah Mek juga terputus. Nampaknya, sekampung mengalami keadaan yang sama. Kami menjenguk Mek. Mek sudah dipindahkan ke bilik yang telah disiapkan tandas itu. Mek sudah tidur ditemani oleh Ayah.


Cetak catatan ini..

0 ulasan:

Disediakan oleh Tengku Azlan || Hakcipta Terpelihara © 2008