Ahad, Ogos 31, 2008

Akademi Nasyid..

Assalamualaikum..

Malam tadi, Konsert Akhir Akademi Nasyid disiarkan secara langsung menerusi TV9. Melihatkan bakat yang ada pada setiap peserta, keseluruhannya mempunyai bakat nyanyian. Cuma yang menjadi titik perbezaan sekarang ialah sejauh mana penghayatan dan kefahaman mengenai nasyid itu sendiri.



Aku tidak sempat menonton semua persembahan kerana kami dalam perjalanan dari rumah Mek ke rumah Ma. Tiba di rumah Ma, kami sempat menonton keputusan yang diumumkan.

Akhirnya, saudara Azhan Atan dinobatkan sebagai juara Akademi Nasyid musim pertama itu. Aku berpuas hati dengan keputusan tersebut kerana jika kita memandang saudara Azhan itu sendiri, kita akan dapat melihat personalitinya yang lahir dari nuraninya. Secara peribadi, bagiku, untuk pakej penasyid, beliau menepati kebanyakan kriteria.



Jika tidak silap di pendengaranku, di kebanyakan konsert, jika ditanya saudara Azhan mengenai nasyid, beliau selalu menyatakan perkataan 'mendidik jiwa'.

Kemunculannya juga sering dinanti-nantikan oleh semua, dan yang pastinya, setiap persembahannya mampu mengetuk sanubari setiap yang mendengarnya, dengan vokal yang padu dan tersendiri. Penampilannya begitu bersahaja serta imejnya kemas dan sesuai dengan tema ketuhanan yang sudah semestinya diterapkan dalam irama yang dinamakan 'nasyid' itu.


Cetak catatan ini..

0 ulasan:

Disediakan oleh Tengku Azlan || Hakcipta Terpelihara © 2008