Sabtu, Ogos 30, 2008

Bertolak balik kampung..

Assalamualaikum..

Hari ini, kami bertolak pulang ke kampung dengan menumpang kereta KakMah, kakak iparku yang tinggal tidak berapa jauh dari rumah kami. Dia ingin pulang ke kampung sempena cuti kemerdekaan ini. Alang-alang kami hanya berdua, kami diajak untuk pulang bersama-sama mereka sekeluarga.



Berikutan harga petrol yang melambung tinggi, walaupun sudah diturunkan hanya sekadar 15 sen per liter, keperitannya masih terasa. jadi, perkongsian kereta sebegini adalah suatu amalan yang bijak.

Setelah bersarapan dengan nasi dagang dan nasi kerabu di rumah pagi tadi, kami terus ke rumah KakMah. Setelah kami tiba dan barang-barang dipindahkan ke dalam kereta KakMah, kami bertolak lebih kurang pada pukul 8.30 pagi.

Dalam perjalanan, kami berhenti di salah satu kedai makan di Merapoh. Kami makan tengahari di situ. Selesai sahaja makan, azan zohor berkumandang di surau di seberang jalan, betul-betul bertentangan dengan kedai makan tersebut.

"Kita solat sekarang la, AbeMan. Alang-alang dah berhenti ni. Buat jamak taqdim.", aku menyatakan cadangan.

"Erm, ok jugak tu. Lepas ni, tak perlu berhenti lagi.", AbeMan menjawab.

Kami menyambung perjalanan setelah semuanya selesai solat.

Petang, sebelum menuju ke rumah Mek, kami singgah di pasar Pasir Tumboh untuk membeli lauk.

Lebih kurang pukul 6.00 petang, kami selamat tiba di rumah Mek. Kami menyalami Ayah, Mek, dan semua yang ada.

Keadaan Mek nampaknya semakin baik. Itu semua mungkin berkat kesungguhan Mek mencuba dan terus mencuba untuk bergerak. Mek sudah dapat berdiri walaupun masih perlu bersandar atau berpegang pada sesuatu. Ini adalah suatu peningkatan yang baik!

"Bang, Sayang teringin nak bersahur di rumah Mek la malam esok. Jadi, kita balik rumah Ma malam ni la ye. Malam ni tidur rumah Ma, dan malam esok pulak, tidur di rumah Mek."

"Abang ok je. Kalau macam tu, kita kena pinjam kereta AbeSul lah."

Lepas solat maghrib dan makan malam, kami meminta izin daripada Mek, untuk pulang ke rumah Ma.

Tiba di rumah Ma, kelihatan Kaklong dan Abelong ada. Memang aku sudah dimaklumkan oleh Ma bahawa mereka juga pulang pada cuti merdeka ini.



Geramnya aku tengok anak saudaraku, Iffah. Makin lama, dia makin comel dan makin lincah. Sekarang, umurnya sudah hampir setahun.

MokRa pulak, baru sahaja melahirkan anak keduanya pada 27 Ogos yang lalu. Disebabkan malam sudah agak lewat, kami membuat keputusan untuk melawat bayi itu pada pagi esok.


Cetak catatan ini..

0 ulasan:

Disediakan oleh Tengku Azlan || Hakcipta Terpelihara © 2008