Rabu, Ogos 06, 2008

Akhirnya aku berjaya bergelar graduan..

Assalamualaikum..

Setelah menempuh pelbagai suka duka pengajian di Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat, Universiti Malaya, akhirnya aku berjaya menamatkan pengajian walaupun agak lewat berbanding teman-teman yang lain.


Petang semalam, Abah, Ma, dan AdikJiha (adik bongsuku) tiba di hentian petronas Putrajaya. Mereka datang dengan bas. Kami singgah mengambil mereka setelah pulang dari kerja. Malam itu, mereka tidur dan berehat di rumah kami.

Pagi tadi, kami bertolak pukul 7.00 pagi, padahal mengikut perancangan, kami ingin bertolak seawal 6.30 pagi. Kami silap kerana di pertengahan jalan, kesesakan jalanraya begitu teruk! Hampir pukul 9.00 pagi, baru kami berjaya memasuki pintu pagar Universiti Malaya.

Aku agak gelabah kerana sudah begitu lewat. Mengikut dalam aturcara yang diberi, para graduan mesti berkumpul di luar Dewan Tunku Canselor (DTC) pukul 7.30 pagi. Nasib baik la, kelihatan ada beberapa orang yang senasib denganku.


Setelah dipakaikan jubah konvokesyen oleh jawatankuasa yang bertugas, aku dibenarkan masuk ke dalam DTC. Majlis belum bermula. Tidak lama selepas itu, Raja Dr. Nazrin dan beberapa orang ahli akademik yang terlibat, berjalan masuk, diiringi oleh muzik latar dan hadirin berdiri tanda hormat. Baginda memulakan titah dan sedikit ucapan.

Sedar tak sedar, aku sudah dipanggil untuk beratur. Akhirnya, aku berjaya menggenggam segulung ijazah di tangan.

Setelah keluar dewan, aku mencari ahli keluargaku. Tadi, Abah dan isteriku masuk dewan sebagai tetamu memandangkan hanya 2 orang tetamu dibenarkan masuk bagi setiap graduan. Ma berada di luar dewan, menjaga AdikJiha dan menunggu Kakcik, adikku, yang datang bersendirian dari rumah sewanya di Sungai Buloh.

Cari punya cari, akhirnya aku nampak kelibat Kakcik. Lepas tu, baru nampak Abah, Ma, isteriku, dan AdikJiha di sekitar itu juga. Isteriku menghadiahkan sejambak bunga yang begitu indah. Aku sungguh terharu.



"Tahniah, bang! Bunga ini untuk Abang."

"Terima kasih, Sayangku."

Kami bergambar. Kemudian, kami bertemu dengan Wak. Semasa kami di Gazebo, Daud tiba. Tidak lama selepas itu, AbgAlias pula muncul. Semuanya mengucapkan tahniah kepadaku.

Wak dan AbgAlias beredar kerana ada hal. Daud masih menyertai kami. Kemudian, tiba pulak anak saudara isteriku, yang juga sinonim dengan panggilan Kakcik. Dia pelajar baru di Universiti Malaya. Kebetulan pula, dia ditempatkan di kolej kediaman yang pernah aku diami suatu ketika dahulu, iaitu Kolej Kediaman Kesembilan atau Kolej Kediaman Tun Syed Zahiruddin.

Kami singgah di gerai Persatuan Mahasiswa Kelantan Universiti Malaya (PMKUM) untuk makan. Terkenang pula zaman aku menjadi exco persatuan itu beberapa tahun yang lalu. Banyak juga pengalaman yang sempat ku timba di dalam persatuan itu.


Selesai makan, Kakcik (anak saudara isteriku) meminta izin undur ke kelas. Aku berjanji dengan Daud untuk ke fakulti kami, untuk bergambar. Dia beredar dahulu.

Kami menyusul selepas itu. Setelah bergambar dan solat Zohor di surau fakulti, kami bertolak pulang. Setelah menghantar adikku, Kakcik, ke stesen LRT Universiti yang berhampiran dengan UM, kami memulakan perjalanan pulang ke rumah. Setelah singgah di rumah AbeMan KakMah, kami pulang.

Setelah siap berkemas, lepas solat Maghrib, kami bertolak ke hentian bas seperti semalam untuk menghantar Abah, Ma, dan AdikJiha. Mereka mengambil keputusan untuk terus bertolak pulang malam ini juga.

Setelah bas tiba dan bertolak, kami pulang ke rumah dengan keletihan.


Cetak catatan ini..

0 ulasan:

Disediakan oleh Tengku Azlan || Hakcipta Terpelihara © 2008