Rabu, Ogos 27, 2008

Pilihanraya kecil P44 Parlimen Permatang Pauh..

Assalamualaikum..

Semalam, pilihanraya kecil P44 Parlimen Permatang Pauh sudah pun berlangsung. Mungkin setiap orang ada analisis tersendiri mengenai pilihanraya kecil yang 'hangat' tersebut.



Setelah hari penamaan calon pada 16 Ogos lalu, tempoh berkempen telah digunakan sepenuhnya oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Barisan Nasional (BN) apabila sepanjang tempoh 10 hari yang diberikan, jumlah ceramah yang dianjurkan oleh kedua-dua parti berkenaan ialah sebanyak 260 sesi.

Manakala satu lagi parti yang bertanding, iaitu Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM), yang juga adalah serpihan kecil daripada Parti Islam Malaysia (PAS) langsung tidak mengadakan ceramah. Bagiku, AKIM hanya sekadar mewarnai sejarah pilihanraya kecil ini tanpa mampu menggugat kedua-dua parti besar itu.

Sepanjang tempoh itu juga, sebanyak 91 laporan yang diterima oleh pihak polis yang membabitkan 36 tangkapan melibatkan pelbagai kesalahan. Isu-isu yang dimainkan oleh kedua-dua parti juga nampaknya rancak dipalu dalam ceramah-ceramah yang dianjurkan.

Antara isu yang berkaitan ialah kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim, pembunuhan Altantuya yang dikatakan ada kaitan dengan Datuk Seri Najib Tun Razak, dakwaan kononnya Pakatan Rakyat (PR) tidak sepakat, isu pemberian kuota 10 peratus kepada bukan Bumiputera di Universiti Teknologi MARA (UiTM), penangkapan beberapa orang Ahli Majlis Mesyuarat (Exco) Kerajaan Negeri Perak berkaitan kes rasuah, dan bermacam-macam lagi.

Akhirnya, setelah semua isu digunakan sepenuhnya oleh kedua-dua parti, pengundi yang berdaftar di Permatang Pauh menentukan pilihan mereka semalam.

Nampaknya, kejayaan berpihak kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR). Datuk Seri Anwar Ibrahim yang merupakan calon parti itu dapat senyum sepuas-puasnya bila menang dengan majoriti yang begitu besar. Bukan setakat majoriti besar, malah majoriti itu melebihi undi yang diperoleh calon Barisan Nasional (BN), Datuk Arif Shah Omar Shah dan calon Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM), Hanafi Mamat.

Undi yang diperoleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) ialah 31195, undi yang diperoleh Barisan Nasional (BN) ialah 15524, manakala undi yang diperoleh Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM) ialah 92.



Setelah memenangi parlimen itu, bekas perdana menteri itu meletakkan harapan yang tinggi kepada penyokong-penyokongnya malah seluruh rakyat Malaysia bahawa beliau akan membentuk kerajaan baru pada 16 September ini, yang memperjuangkan kebajikan rakyat dengan cara meyakinkan ahli-ahli parlimen Barisan Nasional (BN) agar menyertai Pakatan Rakyat (PR). Akan berjayakah Datuk Seri Anwar Ibrahim?


Cetak catatan ini..

0 ulasan:

Disediakan oleh Tengku Azlan || Hakcipta Terpelihara © 2008