Ahad, Mac 08, 2009

Mengambil e-nikah..

Assalamualaikum..

Pagi tadi, dari rumah Mek, kami menuju ke Jabatan Hal Ehwal Agama Islam di Balai Islam, Lundang untuk mengambil kad nikah kami atau sekarang dikenali sebagai e-nikah. Memang tidak kami rancang, namun kami akhirnya berkesempatan untuk mengambil e-nikah tersebut pada hari ini, iaitu tepat-tepat pada tarikh ulangtahun pernikahan kami yang pertama!


Ini kerana sebelum ini, bila sahaja kami pulang ke kampung, pejabat kerajaan itu juga menutup perkhidmatan kaunternya. Jadi, kami belum dapat mengambilnya walaupun kad tersebut sudah siap pada bulan Oktober tahun lalu setelah kami mengambil sijil pernikahan sebulan sebelum itu.




Jika sebelum ini kad nikah di negeri Kelantan adalah berbentuk seperti buku nota kecil, sekarang kad ini dibuat dalam bentuk seperti kad pengenalan, sesuai dengan teknologi yang semakin canggih.

Cuma, ada perkara yang membuat kami agak terkilan mengenai e-nikah kami iaitu tarikh nikah kami silap direkod dan dicatat. Ini berpunca daripada kesilapan imam mukim kampung isteriku yang menikahkan kami pada ketika itu. Kesilapan itu berlaku pada malam akad nikah kami ketika imam tersebut mengisi borang yang bertulisan jawi itu.

Tanpa kami sedari, kami telah menyerahkan borang yang silap diisi oleh imam tersebut kepada pihak Balai Islam untuk diproses. Setelah mengambil sijil pernikahan kami pada bulan September tahun lepas, baru kami perasan akan kesilapan itu.

Tadi, setelah kad kami siap dan ternyata tarikh itu memang mengikut tarikh pada sijil pernikahan kami, aku bertanya kepada petugas kaunter di situ,

"Encik, tarikh nikah kami silap. Sepatutnya 8 Mac 2008, tapi yang direkod ialah 7 Mac 2008. Awal sehari," aku menyuarakan masalah.

"Nampaknya silap dari pihak Encik Azlan. Kami cuma mengambil maklumat daripada borang nikah yang diisi oleh imam yang menikahkan Encik Azlan," dia menjelaskan.

"Ya. Memang betul tu. Erm, tidakkah menjadi satu kesalahan, tarikh pada kad tidak sama dengan tarikh sebenar?"

"Tidak menjadi masalah kerana cuma sehari perbezaannya. Kalau Encik Azlan mahu menukarnya juga, Encik Azlan mesti membayar proses pengeluaran kad baru kerana kesilapan bukan daripada pihak kami. Proses menyiapkan kad akan mengambil masa sebulan," petugas itu memberikan penjelasan lagi.

"Oh, macam tu. Ok la. Saya minta diri dulu ye. Terima kasih," aku menuju keluar dari pejabat itu.


Cetak catatan ini..

1 ulasan:

CatlinaFly berkata...

sy amik kad e-nikah tu pas 2 tahun kawen hehehe..

Disediakan oleh Tengku Azlan || Hakcipta Terpelihara © 2008