Isnin, Mac 09, 2009

Majlis solat hajat dan maulid Rasulullah..

Assalamualaikum..

Pagi tadi, lebih kurang pukul 8.00 pagi, kami bertolak dari rumah Mek ke rumah Ma yang sebenarnya hanya diselangi oleh beberapa buah kampung berdekatan. Setibanya di rumah Ma, isteriku turun menuju ke rumah Ma manakala aku terus menuju ke rumah bidan (Makngoh) di kampung seberang. Memang Ma sudah mengatur waktu berurut itu sejak beberapa hari lalu.

Hampir waktu tengahari, isteriku selesai diurut oleh Makngoh.

"Macam mana? Lega selepas berurut?" aku bertanya isteriku.

"Hmm. Rasa lega sangat, bang. Lenguh-lenguh pada kaki dan badan sudah hilang. Rasa ringan je sekarang," isteriku menjawab dengan nada gembira.

"Makngoh, kalau dia lenguh lagi, boleh ke saya picit-picit badannya? Tidak menjejaskan bayi dalam perut ke?" aku mengalih perbualan kepada bidan itu.

"Takde masalah. Yang penting, jangan picit perut dia!" Makngoh menjawab sambil berseloroh.

"Itu lah. Selalunya, antara doktor dan pengamal perubatan tradisional ni, banyak percanggahan. Doktor kata, jangan picit walau lenguh macam mana pun. Bidan pulak cakap, boleh urut," aku meneruskan kata dengan membiarkan persoalan itu difikirkan bersama-sama.

********************


Petang, Mek datang dengan KakPah (kakak isteriku) dan Ti sekeluarga. Walaupun masih belum dapat berjalan dengan sempurna seperti dahulu, Mek tetap menggagahkan diri untuk datang menjenguk besannya.

Setelah berbual-bual seketika, kami mengikut mereka ke Padang Kala untuk melihat rumah yang dibeli oleh Ti. Rumah tersebut sudah hampir siap. InsyaAllah kami juga akan membeli rumah di Kelantan sebagai aset untuk masa hadapan.

********************


Pada sebelah malam, seperti yang dirancang, kami membuat sedikit majlis di rumah Ma. Tetamu yang hadir adalah lebih kurang 20 orang, termasuk Ayah (bapa mertuaku), AbeSul, dan Mat. Kami memulakan majlis dengan mendirikan solat sunat Hajat.

Aku mengimami solat berkenaan memandangkan itu adalah majlisku. Solat hajat berjemaah ini aku anggap sebagai tambahan kepada siri-siri solat hajat kami secara bersendirian. Mungkin dengan berkat doa daripada orang-orang kampung, permintaan kami akan lebih dipandang oleh Allah. Antara permintaan di dalam doaku ialah agar isteriku sabar dan tabah menghadapi saat kehamilan yang kian mencabar, dan akhirnya dipermudahkan urusan kelahiran bayi kami nanti.


Selesai solat sunat Hajat, aku mengajak tetamu yang hadir untuk bersama-sama berselawat memuji Rasulullah bersempena dengan ulangtahun kelahiran Baginda hari ini. Selepas semuanya selesai, aku selaku tuan rumah menjemput tetamu-tetamu menjamah hidangan yang kami sediakan.


Cetak catatan ini..

0 ulasan:

Disediakan oleh Tengku Azlan || Hakcipta Terpelihara © 2008