Rabu, Mac 26, 2008

Pemergian Tuan Guru Haji Abdullah..

Assalamualaikum pembaca-pembaca sekalian..

Selasa lepas, 18 Mac 2008 bersamaan 10 Rabiul Awal 1429 H, aku menerima mesej daripada dua orang sahabat lama ketika di maahad dulu, iaitu Kama dan Azman.


"Tuan Guru Haji Loh Lubuk Tapah sedang tenat. Marilah kita sama-sama membacakan YASIN dan mendoakan kesejahteraan beliau. Tuan Guru Nik Abdul Aziz sedang mengetuai bacaan YASIN di rumah beliau sekarang. Moga beliau diberikan kesihatan. Sebar-sebarkan kepada sahabat-sahabat yang lain.".


Terbayang wajah beliau yang lembut dan tenang. Aku lantas menceritakan serba sedikit mengenai tuan guru yang pernah aku menuntut ilmu dengannya itu, kepada isteriku. Sekelumit doa kulafazkan, memohon agar kesihatan dikurniakan kepada beliau untuk terus berbakti kepada masyarakat yang amat memerlukan khidmat beliau.


Pagi esoknya, 19 Mac 2008 bersamaan 11 Rabiul Awal H, Kama mengirimkan satu lagi mesej iaitu berita kematian beliau.

"Tuan Guru Haji Loh Lubuk Tapah baru meninggal 7.20 pagi tadi."

INNAA LILLAAH WA INNAA ILAIHI ROOJI'UUN. Sesungguhnya kita adalah milik ALLAH dan kepadaNYA lah kita akan kembali. Aku tergamam seketika. Sedih melanda diriku. Sebutir permata yang begitu bernilai sudah diambil kembali oleh ALLAH.


Terbayang kenangan bersama sahabat-sahabat maahad suatu ketika dulu, di Pondok Lubuk Tapah, Pasir Mas. Aku bersama-sama dengan Azmi, Salihin, dan Kama telah menghabiskan waktu cuti sekolah (sebelum memasuki tingkatan 4) kami di pusat pengajian pondok tersebut. Di situlah kami mengenali Tuan Guru Haji Abdullah bin Haji Abdul Rahman, tuan guru di pusat pengajian pondok tersebut. Beliau lahir pada tahun 1934. Jadi, beliau meninggal dunia pada umur 74 tahun.


Walaupun tidak banyak ilmu formal yang kami dapat daripada beliau kerana masa kami yang terhad di sana, namun banyak ilmu tidak formal yang dapat kami belajar daripada peribadi beliau sendiri.


Memang terbukti kealiman beliau berdasarkan pemerhatianku sendiri. Aku mendapati bahawa beliau berkemampuan mengajar banyak cabang ilmu. Aku berhak mengatakan demikian kerana aku juga pernah belajar di Pondok Pasir Tumboh yang tidak berapa jauh dari rumahku di kampung. Habis sekolah pada waktu petang, aku menghabiskan waktu malam di pusat pengajian pondok tersebut. Di sana, jika seseorang guru itu mahir tafsir, beliau hanya mengajar kitab-kitab tafsir. Begitu juga dengan ilmu-ilmu hadith, feqah, tauhid, dan yang lain-lainnya.


Uniknya Tuan Guru Haji Abdullah ialah, beliau mampu menghuraikan kitab-kitab daripada pelbagai cabang ilmu, dan aku suka cara beliau mengolah, walaupun agak tradisional. Beliau sangat dikenali sebagai seorang yang sangat tegas dengan pendiriannya. Beliau juga sering disebut-sebut sebagai tuan guru yang bermulut masin, iaitu, apa yang disebut oleh beliau, pasti akan berlaku. Tentang kebenaran dan kesahihan perkhabaran tersebut, hanya ALLAH jua yang Maha Mengetahui.


Sekarang, semua itu hanya tinggal kenangan. Moga ruh beliau aman di alam yang sudah tidak sama dengan alam kita yang fana ini.

Al-Fatihah..


Cetak catatan ini..

0 ulasan:

Disediakan oleh Tengku Azlan || Hakcipta Terpelihara © 2008