Selasa, Mac 25, 2008

Mengunjungi saudara-mara..

Assalamualaikum dan salam sayang kepada isteriku tercinta..


Akhirnya, kami dapat juga LESUNG BATU yang dicari-cari! Jumaat lepas, setelah mengambil isteriku dari ofisnya, kami membuat keputusan untuk singgah di pasar malam Presint 2, Putrajaya. Mana tahu, kalau-kalau ada dijual di situ. Pertama kali bagi diriku, mengunjungi gerai-gerai pasar malam Presint 2 tersebut. Tinjau punya tinjau, akhirnya ketemu benda yang dicari-cari itu! Syukur.


Di samping itu, sempat lagi kami membeli 2 bungkus laksa penang. Isteriku pernah merasa laksa penang di tempat itu. Katanya, memang sedap. Erm, apa salahnya mencuba, kan? Jadi, malam nanti tidak perlu lagi memasak di rumah. Sekali-sekala mengubah selera, seronok juga..


Hari sabtu, kami menghabiskan waktu di rumah, di samping menyiapkan kerja-kerja mendrill dinding rumah kami. Untuk langsir, sudah siap beberapa hari yang lepas. Hari itu, kami hanya menyambung kerja-kerja mendrill untuk menggantung cermin, taqwim, hiasan dinding, dan beberapa keperluan lain.


Hari ahad, kami telah merancang untuk berkunjung ke rumah bapa-bapa saudaraku (adik-adik Abah) yang tinggal di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor ini. Alhamdulillah, semuanya sempat kami singgah. Lebih kurang pukul 1.00 tengah hari, kami bertolak ke Damansara Damai. Ada 2 orang bapa saudaraku di situ, iaitu AyahCik (Tengku Anuar) dan AyahQu (Ku Aziz).


Di rumah Ayahcik, Makcik Lah dan dua orang anak mereka ada di rumah. Setelah menziarahi AyahCik, baru kami ke rumah AyahQu yang tidak berapa jauh daripada rumah AyahCik. Makcik Na pun ada di rumah. Cuma anak-anak mereka tidak semua kelihatan. Mungkin ada yang sedang bermain-main dengan kawan-kawan di padang yang berdekatan.


Rumah terakhir yang kami singgah ialah rumah AyahMan (Ku Azman) di Taman Puchong Utama. Tak jauh pun sebenarnya dari rumah kami di Seri Kembangan. Sebab itu juga lah kami singgah di hujung perjalanan kerana sudah dekat untuk pulang ke rumah. Selepas melalui tol Puchong Selatan, terus berdepan dengan jalan ke Seri Kembangan, kemudian terus ke rumah kami.


Setelah mencari-cari berdasarkan alamat yang diberi, akhirnya jumpa jugak rumahnya. Al-maklum lah, aku tidak pernah berkunjung sendiri ke rumah AyahMan. Berbeza dengan rumah AyahCik dan AyahQu yang selalu aku kunjungi sewaktu zaman bujangku.


AyahMan ada. Makcik Jah pun ada, bersama-sama dengan 3 orang anak mereka. Sesampainya di rumah AyahMan, aku ternampak seseorang yang aku tidak sangka, akan ada di rumah AyahMan. Yana. Anak AyahDi (Engku Hadi). Dia sedang bercuti rupa-rupanya. Dia sekarang sedang belajar di Kolej Matrikulasi Kuala Pilah. Lama juga tidak berhubung dengan sepupuku itu.


Setelah selesai makan dan solat maghrib di rumah AyahMan, kami meminta izin untuk pulang, memandangkan sudah malam, sedangkan hari isnin, kami sudah perlu bekerja.


Itulah serba sedikit mengenai jalan-jalan pengantin baru. Jumpa lagi!


Cetak catatan ini..

0 ulasan:

Disediakan oleh Tengku Azlan || Hakcipta Terpelihara © 2008