Sabtu, September 27, 2008

Pulang untuk menyambut Aidilfitri 1429 Hijriah..

Assalamualaikum..

Aidilfitri kali ini adalah hari raya yang pertama bagi kami setelah bergelar suami dan isteri. Kami membuat keputusan untuk pulang ke kampung melalui jalan negeri Terengganu untuk mengelak daripada kesesakan yang sangat teruk di laluan biasa, iaitu melalui jalan negeri Pahang (Bentong, Kuala Lipis, Raub).


Memang setiap kali tibanya Aidilfitri, laluan itu sangat sesak sehingga perjalanan yang sepatutnya hanya mengambil masa 7 hingga 8 jam, akan berlanjutan sehingga berbelas-belas jam, malah ada ketikanya sehingga 20 jam!


Untuk mengelak daripada berada dalam keadaan seperti itu, kami membuat keputusan untuk mengikut AbeMan melalui jalan negeri Terengganu kerana AbeMan sudah biasa dengan laluan tersebut. Ketika AbeMan sekeluarga menetap di Mersing, Johor beberapa tahun yang lalu, memang itulah laluan mereka untuk pulang ke kampung.

Memang tidak dinafikan bahawa laluan tersebut sangat jauh tapi kami nekad untuk mencuba laluan itu.

Pagi tadi, kami bertolak dari rumah, terus menuju ke tol Gombak. Kakcik (adikku) berjanji akan menunggu di sana kerana ingin menumpang kami untuk pulang ke kampung bersama-sama.

Zati (anak saudara isteriku) pula telah membuat keputusan untuk pulang dengan adik kembar isteriku (Ti). Menurut Zati, mereka akan bertolak malam ini. Anis (adik Zati) yang sepatutnya pulang dengan kami juga pagi tadi, tiba-tiba mendapat tiket bas pada saat-saat akhir.

Tiba di tol Gombak, kelihatan Kakcik sudah pun tiba. Di situ pula, kami menunggu AbeMan sekeluarga. Kami berjanji untuk bertemu di situ sebelum meneruskan perjalanan bersama-sama.

Setelah mereka tiba, kami terus memulakan perjalanan. Tiba-tiba, telefon bimbit isteriku berbunyi. Satu mesej tiba.

"Adik, aku jadi balik. Aku tunggu di Bentong."

Mesej itu datang daripada abang isteriku yang tinggal di Bentong, Pahang. Awal-awal pagi tadi AbeKiman menyatakan hasratnya untuk menumpang kami. Kami menyarankan kepadanya agar menumpang Ti kerana mungkin AbeKiman akan sempat untuk bersiap-siap memandangkan Ti sekeluarga akan bertolak malam ini, sedangkan kami sudah pun bertolak.

"AbeKiman jadi balik dengan kita?" aku bertanya isteriku.

"Ye, bang. Dia jadi balik dengan kita," isteriku memberitahu.

"Nampaknya, kita kena pergi Bentong dulu lah. Biasanya, jalan tu jem teruk musim-musim nak raya macam ni," aku menjelaskan keadaan.

Setelah berbincang dengan AbeMan, kami membuat keputusan untuk mengambil AbeKiman di lorong rumahnya, kemudian membuat keputusan berdasarkan keadaan laluan, sama ada ingin meneruskan perjalanan melalui negeri Pahang, atau berpatah balik untuk melalui negeri Terengganu yang tidak sesak walaupun agak jauh.

Sebaik sahaja kami memasuki susur ke Bentong, di hadapan kami terpampang keadaan yang sudah kami jangkakan. Sesak teruk! Memang sah, lepas ambil AbeKiman, kami akan berpatah balik!

Tiba di tempat yang dituju, kelihatan AbeKiman dan KakTi (isterinya) serta anak-anaknya telah tiba. Sebenarnya, AbeKiman membuat keputusan untuk pulang berseorangan kerana pada tanggal 1 Syawal kali ini, dia akan menyambut Aidilfitri di kampung KakTi. Jadi, dia ingin pulang ke kampung lebih awal untuk berpuasa dengan Mek, dan akan bertolak dengan menaiki bas ke Pahang semula sebelum tibanya Syawal.

Kami meneruskan perjalanan dengan berpatah balik memandangkan kesesakan yang amat menekan jiwa. Jika di Bentong pun sudah demikian keadaannya, keadaan laluan seterusnya memang sudah dapat dibayangkan!

Aku memandu keretaku mengikut kereta AbeMan. AbeKiman berada di sebelahku. Isteriku dan Kakcik berada di kerusi belakang.

Laluan yang baru bagi kami itu ternyata terasa begitu jauh. Tetapi, walaupun jauh, kami bebas daripada tekanan kesesakan jalan yang mencengkam mental. Jika ditambah dengan bermacam-macam kerenah pemandu-pemandu lain di tengah-tengah kesesakan yang teruk, memang perasaan sabar akan teruji!


Perjalanan diteruskan dengan tenang. Lagu-lagu raya dibiarkan beralun-alun untuk menghidupkan suasana menjelang raya. Setelah agak lama memandu, aku bertukar tempat dengan AbeKiman. AbeKiman memandu sehingga kami tiba di Peringat.

Tiba di Peringat bermakna sudah tidak berapa jauh lagi, akan tiba di kampung kami. Kami berhenti di Peringat untuk singgah di bazaar Ramadhan di situ. Kami membeli beberapa juadah berbuka puasa.


Selepas itu, aku mengambil alih pemanduan. Aku memandu menuju ke rumah Ma untuk menghantar Kakcik.

"Tak berbuka di sini ke?" Ma bertanya setelah kami bersalam-salaman.

"Tak, Ma. Dah beritahu Mek, nak berbuka di rumah dia. Lagi pun, dia pesan suruh beli lauk tadi," aku memberitahu.

"Malam esok, insyaAllah kami berbuka di rumah Ma pulak," isteriku menambah.

Abah keluar. Kami bersalam-salaman. Abah berbual-bual seketika dengan AbeKiman di halaman rumah. Disebabkan hari sudah petang dan hampir waktu berbuka, kami meminta diri untuk pulang ke rumah Mek.

Setibanya kami, kelihatan AbeMan sekeluarga sudah pun tiba. Mek berada di dalam biliknya. Ayah ada. AbeSul pun ada. Kami semua bersalam-salaman.

Setelah juadah dihidangkan, kami semua berbuka puasa bersama-sama.


Cetak catatan ini..

0 ulasan:

Disediakan oleh Tengku Azlan || Hakcipta Terpelihara © 2008