Selasa, September 09, 2008

Berbuka puasa di PICC..

Assalamualaikum..

"Assalamualaikum, bang," suara isteriku kedengaran sebaik sahaja aku menjawab panggilan telefonnya ke telefon bimbitku.

"Waalaikumussalam, Sayang," aku menjawab ucapan salamnya.

"Abang, Su ajak kita berbuka puasa di PICC hari ni. Dia kata, ada majlis, dan hidangan disediakan untuk 100 orang, tapi ramai yang tidak hadir. Boleh tak, bang?" isteriku meminta kepastian daripadaku.

PICC ialah singkatan bagi Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya.



Su ialah kawan sepejabatnya. Berikutan terdapat kekosongan tempat untuk majlis di sana, orang yang terlibat dengan majlis tersebut telah menjemput mereka.

"Abang ok je. Pukul berapa nak pergi?", aku bertanya.

"Erm, tak tahu lagi. Nanti Sayang akan inform kemudian ye. Nanti Su nak tumpang kita, bang."

"Ok, Sayang."

*********

Petang, setelah mengambil isteriku dan Su, kami ke PICC yang terletak tidak berapa jauh dari pejabat mereka di Putrajaya itu.

Kami berbual-bual di dalam kereta.

"Abang, CC Sayang ajak kita berbuka puasa di Gombak hari sabtu ni. Siap bagi kad lagi!" isteriku memberitahu.

CC ialah singkatan bagi Ketua Kerani.

"Oh, ye ke? Siapa yang anjurkan?" aku bertanya.

"PERAKAN. Menteri Besar Kelantan akan hadir nanti," isteriku menjawab.

PERAKAN ialah singkatan bagi Persatuan Anak Kelantan Perantauan Malaysia.



Setelah mendapat tempat meletak kenderaan, kami menuju ke dalam. Setelah singgah di surau untuk solat Asar, kami bertiga menuju ke dewan yang menyediakan hidangan berbuka puasa.

Hidangan disediakan seperti hidangan di hotel-hotel. Ini adalah kali pertama aku memasuki PICC. Kelihatan tetamu-tetamu sudah bersedia menunggu di tempat duduk masing-masing. Beberapa meja dipenuhi oleh pelajar-pelajar sekolah berhampiran yang dijemput bagi memenuhi undangan.

"Hadirin dan hadirat sekalian, setelah azan Maghrib berkumandang, kita akan berbuka puasa dengan kurma dan kuih dahulu. Setelah kita selesai bersolat Maghrib secara berjemaah di surau, baru kita akan datang semula untuk hidangan yang lain," kedengaran pengumuman dibuat oleh pihak yang menganjurkan.

Setelah doa dibaca oleh salah seorang ustaz yang dijemput, azan Maghrib berkumandang. Kami berbuka puasa dengan penuh kesyukuran.

Setelah selesai solat Maghrib dan menjamu selera dengan hidangan di dalam dewan tadi, kami berjalan ke tempat letak kereta untuk pulang.

Setelah menghantar Su ke rumahnya di dalam Putrajaya itu, kami bertolak pulang.


Cetak catatan ini..

0 ulasan:

Disediakan oleh Tengku Azlan || Hakcipta Terpelihara © 2008