Jumaat, September 12, 2008

SevenHeroes dan sejarahnya..

Assalamualaikum..

Sebelum bergelar suami, aku menyewa sebuah rumah di Kampung Sungai Penchala, Jalan Damansara, Kuala Lumpur, bersama-sama dengan sahabat-sahabat yang semuanya belajar di universiti yang sama, iaitu Universiti Malaya (UM).



Kebanyakan daripada kami (aku dan sahabat-sahabat), dahulunya ditempatkan di kolej kediaman yang sama pada awal-awal kemasukan kami di universiti tertua itu, iaitu Kolej Kediaman Kesembilan, atau nama rasminya ialah Kolej Kediaman Tun Syed Zahiruddin.



Kami semua sebenarnya bukanlah menghuni di rumah itu serentak. Penghuninya silih berganti. Aku pun bukanlah antara penghuni terawal di rumah itu.

Sejarahnya bermula apabila berlaku satu pergolakan di kolej kediaman kami suatu ketika dahulu, sewaktu hampir berlangsung pilihanraya kampus. Pada saat-saat sebegitu, sudah pasti 'perang' sedang hangat diletuskan di kalangan calon-calon yang bertanding. Beberapa orang sahabat telah meninggalkan kolej tersebut di atas sebab-sebab berunsur tuduhan lalu mula mencari-cari rumah untuk disewa.

Setelah mencari, mereka akhirnya menemukan rumah tersebut yang terletak di kawasan perkampungan, jauh dari kepadatan penduduk seperti di kawasan berhampiran dengan UM seperti di Kerinchi, Pantai Dalam, dan beberapa tempat lagi yang menjadi tumpuan pelajar-pelajar universiti perdana itu.

Pada masa itu, aku masih setia tinggal di kolej kediaman tersebut. Kadang-kadang, pada masa terluang, aku akan menghabiskan waktu hujung minggu di rumah mereka.

Hampir tiba pilihanraya kampus yang berikutnya, aku menerima sedikit ujian. Mungkin kerana sengaja ingin mencari alasan untuk menyingkirkan aku seperti sahabat-sahabat yang lain, aku dilemparkan dengan pelbagai tuduhan.

Setelah selesai berurusan dengan pihak pengurusan kolej kediaman dan bermacam-macam hal lagi sehingga dibawa ke pejabat keselamatan UM, aku mula nampak lakonan yang sedang dimainkan di hadapanku ketika itu. Apabila teringat kembali, terasa kelakar pula dengan sandiwara mereka untuk menakut-nakutkan aku itu. Biarlah peristiwa itu berlalu dan menjadi kenangan dalam lipatan sejarah hidupku.

Setelah selesai proses pembuangan dan pengiraan undi untuk pilihanraya kampus pada kali itu, aku tetap tidak disingkirkan daripada kolej. Tapi, hatiku sudah tidak 'hidup' di kolej yang penuh dengan kerakusan itu. Lalu, aku membuat keputusan untuk meninggalkan kolej itu. Aku tidak mahu lagi hidup di dunia seperti itu. Aku berpindah ke rumah sahabat-sahabatku tadi di Kampung Sungai Penchala. Jiwaku lebih tenang di sana, ditemani sahabat-sahabat yang memahami.

**********

Kedudukan rumah di Kampung Sungai Penchala yang bersebelahan dengan Taman Tun Dr. Ismail (TTDI) itu agak mendamaikan kerana suasananya yang tidak sesak dan kesegaran kampung masih terasa di pandangan mata.



Masjid juga tidak jauh dari situ. Malah, ada tiga buah masjid yang begitu dekat dengan rumah. Masjid yang paling dekat ialah Masjid Jamek Tengku Abdul Aziz Shah atau lebih senang disebut sebagai masjid sungai penchala. Dua buah masjid lagi ialah Masjid Taqwa di TTDI dan Masjid Ghufran, atau lebih dikenali sebagai Pusat Islam yang terletak di Pinggiran TTDI.

Secara ringkasnya, setelah penghuninya silih berganti, keluar dan masuk, akhirnya tinggallah kami bertujuh. Semuanya bekas penghuni kolej tadi kecuali Shah yang mengenali kami melalui Pidut kerana mereka berada dalam satu kumpulan nasyid di UM. Kebetulan pula, Shah adalah teman lamaku semasa di Kolej MARA Seremban.

Beberapa ketika selepas itu, setelah rumah itu disambungkan dengan perkhidmatan internet, Shah telah mencadangkan agar kami mempunyai satu blog untuk mencoret apa-apa sahaja mengenai kami. AbangZahar menyokong idea itu. Setelah mencuba beberapa nama tetapi gagal, akhirnya lahirlah blog SevenHeroes dengan jayanya.

Pada mulanya, aku hanya sekadar penambah seri kepada penulisan blog itu. Aku lebih menyerahkan tugasan mengemaskini kandungan blog itu kepada Shah dan AbangZahar memandangkan mereka begitu teruja sehingga terlahirnya idea mengenai penghasilan blog itu. AbangAlias, Pidut, Izuddin, dan Iidil sekadar mencoret apabila kadang-kadang diingatkan agar sama-sama memeriahkan blog itu.



Lama-kelamaan, Shah dan AbangZahar seolah-olah sudah kurang memberikan perhatian kepada blog itu. Pada masa yang sama, aku mengubah penampilan blog itu sedikit demi sedikit. Apa sahaja aktiviti kami, pasti aku nukilkan ke dalam blog itu kerana aku memang suka menulis.

Apabila blog SevenHeroes sudah menjadi kunjungan beberapa pemilik blog dan pengunjung maya yang lain, mereka semua menyangka blog itu adalah blogku memandangkan catatan-catatan di dalam blog itu kebanyakannya adalah hasil coretanku. Setiap kali mendapat tanggapan begitu, aku akan menegaskan kepada pelawat-pelawat bahawa blog itu adalah milik kami bertujuh.

Sekarang, setelah bertukar status daripada bujang kepada berkahwin, aku membangunkan blog ini (AzlanSajirah) untuk coretan dan nukilan kami suami isteri. Mengemaskini blog ini tidak memungkinkan aku untuk terus menulis di dalam blog SevenHeroes. Aku lebih suka mencoret laluan kehidupanku ke dalam blog. Disebabkan aku sudah tidak lagi berada di rumah bujang itu, kehidupanku sudah tidak berada di sana. Kehidupanku sekarang adalah kehidupan berkeluarga, iaitu kehidupan bersama-sama dengan isteri yang tercinta. Sudah pastinya, nukilanku juga adalah berbeza.

Sekarang, blog SevenHeroes sudah ditinggalkan kesepian tanpa dikemaskini oleh sesiapa. Bahkan, ia juga mungkin sudah dilupakan oleh enam orang lagi SevenHeroes yang tinggal itu.

Tidak dinafikan bahawa penghuni rumah di Kampung Sungai Penchala itu terus juga bertukar-tukar, seiring dengan keperluan untuk berpindah keluar, atau kehadiran orang baru untuk memenuhi keperluan masing-masing.

Izzudin sudah keluar dari situ kerana urusan kerjanya yang memerlukannya mencari tempat yang lebih dekat. Manakala seorang lagi kawan yang sekumpulan nasyid dengan Pidut dan Shah, iaitu Poji, telah menyertai sahabat-sahabat yang masih kekal di rumah itu.

Hari ini, semua perkara mengenai SevenHeroes telah menjadi kenangan yang begitu indah dalam hidupku. Diharap agar blog yang ditinggalkan sepi itu dapat disegarkan kembali!


Cetak catatan ini..

2 ulasan:

Aidan Z berkata...

A'kum Lan,
Lama x dtg sini.
betul gak ek? tibatiba teringat blk kat sevenheroes tu..
mgkin patut resurrect blk kan?

cuma satu problem je:
username n password sume dah lupa
heheh

salam ramadhan...

AzlanSajirah berkata...

Waalaikumussalam, AbgZahar..

Terima kasih, sudi komen dalam blog ni..

Erm, nampaknya Shah ada menulis dalam blog SevenHeroes tu. Mesti dia ingat username & password.

Disediakan oleh Tengku Azlan || Hakcipta Terpelihara © 2008