Selasa, April 22, 2008

Suatu petang sabtu..

Assalamualaikum dan selamat datang kepada semua pengunjung blog ini..

Pada hari sabtu, 19 April 2008, kami telah merancang untuk ke satu taman di Bangi dengan tujuan untuk merehatkan minda dan menghirup udara segar di pagi hari. Setelah melihat cuaca yang tidak mengizinkan, akhirnya kami menukar rancangan untuk ke Masjid Putra, Putrajaya pada waktu petang. Kebetulan pula, KakMah call, nak datang ke rumah kami. Alang-alang, kami ajak KakMah sekeluarga untuk bersama-sama kami, berjalan-jalan dan mengambil angin di Masjid Putra.


Lebih kurang pukul 5.00 petang, AbeMan dan KakMah serta anak-anaknya tiba di rumah kami. Setelah beberapa minit mereka sekeluarga masuk ke rumah kami, kelihatan seorang lelaki berada di luar rumah kami.


"Assalamualaikum..", dia memberikan salam.

Aku lantas menyahut, "Waalaikumussalam..".

"Ada apa-apa yang boleh kami bantu, bang?", aku membahasakan dirinya sebagai 'abang'.

"Saya ada jual kerepak ni, bang. Abang boleh pilih. Macam-macam.", dia lantas menjawab dengan membahasakan diriku 'abang' juga.

Ooo.. rupa-rupanya dia datang dari rumah ke rumah untuk menjual kerepak yang dibawanya. Kelihatan 2 beg plastik besar di sisinya. Kasihan melihat keadaannya, aku memilih kerepek yang diingini, lalu meminta diri seketika untuk masuk ke dalam rumah kerana ingin mengambil wang untuk dibayar kepadanya.



Sedang aku kelam-kabut mengambil wang di dalam bilik, tiba-tiba hujan turun dengan lebatnya. Aku tidak sedar akan hujan yang lebat itu. Rupa-rupanya isteriku sudah pun menpelawa penjual kerepak tadi ke dalam rumah kami, memandangkan hujan begitu lebat.


Sambil menanti hujan reda, kami berbual-bual. Mujur ada birasku, AbeMan. Dapat lah dia membuka topik perbualan. Aku agak sukar untuk memulakan komunikasi dengan orang yang belum dikenali.


"Umur abang berapa?", AbeMan mengajukan persoalan.

"19", dia menjawab.

"Ooo.. Adik la ni.", AbeMan menjawab kembali. Hatiku juga berkata-kata dengan jawapan yang sama. Mungkin kerana badannya yang agak berisi, kami telah tersilap meneka umurnya.


Tidak lama selepas itu, isteriku membawa sedulang air minuman dan sedikit kuih. Sambil minum, kami menyambung perbualan.


"Adik ni tinggal kat mana?", aku bertanya.

"Saya tinggal di Sabak Bernam. Saya sampai di taman perumahan ni pukul 5.00 petang tadi. Van hantar saya ke sini. Pukul 8 malam nanti, baru van tu datang ambil saya.", dia menjawab dengan jujur.

Peramah juga orangnya. Banyak juga perkara yang kami bualkan. Ternyata, dia adalah daripada keluarga yang susah. Di luar rumah, hujan masih mencurah-curah. Perasaan kasihan bila melihat adik itu masih belum hilang dari sanubariku. Dia berjalan dari rumah ke rumah di tengah panas yang terik atau di kala hujan sebegitu, semata-mata untuk mencari sekelumit rezeki yang halal.


Bila ada peniaga sebegini mengambil kesempatan untuk berbuat jahat kepada penghuni-penghuni yang disinggahi (mencuri atau mengugut), orang yang jujur seperti adik itu lah nanti yang akan dipandang serong dan negatif oleh masyarakat.


Setelah hujan berhenti, adik tadi meminta diri untuk ke rumah-rumah yang berikutnya pula. Dia berterima kasih kepada kami. Setelah dia berangkat pergi, baru kami sedar bahawa kami terlupa untuk bertanya akan namanya.


Kerana petang sudah agak lewat, dan KakMah pulak risaukan anak sulungnya, Along, yang ditinggalkan keseorangan di rumah, mereka meminta diri untuk pulang ke rumah. Tak jadi lah nampaknya kami nak ke Masjid Putra pada petang itu.



Malam itu, isteriku tidak habis-habis menyatakan perasaan kasihannya kepada adik tadi.

"Abang, kesian kan, adik tadi? Masih terbayang-bayang di mata Sayang, dia tercegat di depan pagar rumah kita tadi, masa hujan mula turun dengan lebatnya. Nasib baik, Sayang perasan dia, dan terus panggil dia masuk..", isteriku mula meluahkan isi hatinya.

"A'ah. Kesian dia. Keluarga dia susah, tapi dia sabar. Dah 2 tahun dia kerja macam tu. Kita patut bersyukur, kan, Sayang?", aku mengiakan perasaan itu yang juga melanda diriku.

"Ye, bang.. Syukur sangat..", isteriku bersetuju dengan kata-kataku.

Dalam hati, kami bersyukur dengan apa yang dikurniakan oleh ALLAH kepada kami. Di saat kami merasakan serba kekurangan dan tidak berkecukupan dengan nikmat pemberianNya kepada kami, kami seharusnya ingat dan sedar bahawa masih ramai orang yang kehidupan mereka lebih sempit daripada kami.


Terima kasih di atas segala kurniaanMu, Tuhan..


Cetak catatan ini..

0 ulasan:

Disediakan oleh Tengku Azlan || Hakcipta Terpelihara © 2008