Rabu, April 23, 2008

Berkunjung pada petang ahad..

Assalamualaikum dan salam sayang untuk isteriku tercinta, dan selamat datang kepada semua pengunjung..


Pada hari ahad, 20 April 2008, kami telah berpakat dengan AbeMan & KakMah untuk ke rumah mak sepupu isteriku (sepupu bapa mertuaku), MakSom, di Presint 9, Putrajaya.


Mereka pun belum pernah bertandang ke rumah MakSom itu, sejak beberapa bulan mereka berpindah ke Seri Kembangan. Cuma adik kembar isteriku, T, sahaja yang ingat jalan ke rumah MakSom, yang kebetulan tidak berapa jauh dari rumahnya di dalam Putrajaya itu juga. Isteriku pula, cuma beberapa kali berkunjung ke rumahnya sebelum kami berkahwin, dan pada hari itu, keliru dengan lorong-lorong di sana.


Setelah menghubungi adik iparku itu dan memerhatikan lorong-lorong yang agak mengelirukan itu, akhirnya kami sampai.


Kami disambut oleh MakSom dengan senyuman yang begitu ceria. Suaminya kelihatan berada di atas sofa di dalam rumahnya. Kami masuk dan saling bersalaman. Tidak kelihatan anak-anak mereka. Rupa-rupanya mereka berada di tingkat atas rumah itu.


MakSom yang adalah seorang guru, sempat bercerita mengenai seorang pelajarnya yang maut akibat jatuh dari tingkat 11 sebuah flat berhampiran rumahnya. Dia sempat menziarahi jenazah itu di hospital pagi itu. Bermacam-macam andaian awal telah dibuat mengenai sebab mangsa itu jatuh. Mungkin akan ada berita yang lebih tepat di dalam berita malam nanti.


AbeMan dengan suami MakSom kelihatan rancak bercerita mengenai isu-isu semasa. Kadang-kadang, aku mencelah juga untuk meraikan perbualan itu.


Setelah berbual-bual dan menikmati juadah yang dihidangkan, kami meminta diri untuk pulang.


Hajat di hati, ingin melunaskan keinginan semalam, iaitu ke Masjid Putra, alang-alang sudah berada di Putrajaya. Mungkin kerana kepenatan & sedikit kesukaran dengan anak-anak yang ramai, KakMah menolak bila diajak ke sana. Tambahan pula, cuaca juga nampaknya tidak menentu seperti kebiasaannya dalam bulan ini, iaitu hujan pada waktu petang.



Akhirnya, kami juga membuat keputusan untuk pulang ke rumah..


Cetak catatan ini..

0 ulasan:

Disediakan oleh Tengku Azlan || Hakcipta Terpelihara © 2008