Ahad, Oktober 11, 2009

Kami ke Seremban..

Assalamualaikum..

Hari ini jadual kami agak padat. Setelah Kakcik (adikku) tiba dan selesai bersarapan, kami berempat bertolak ke Taman Pinggiran Senawang, iaitu rumah ibu saudaraku, MakNa (adik Ma). Memandangkan dia sekeluarga tidak dapat pulang menyambut Syawal di kampung, kami membuat keputusan untuk membuat kunjungan ke rumah mereka. Tambahan pula, MakNa belum bertemu mata dengan Ummair sejak kelahiran putera kami itu.

Lama juga kami berada di situ. Petang, baru kami bertolak pulang. Setibanya di rumah, jiran kami mempelawa kami agar terus masuk ke rumahnya. Memang sejak minggu lepas lagi Abang Kamaruzzaman itu mengajak kami ke rumah terbukanya hari ini.

"Tengku Muhammad Ummair, tengok sini. Atuk KZ nak tangkap gambar ni!"

Abang Kamaruzzaman memang dikenali sebagai Abang KZ di kejiranan kami ini.

Selepas itu, kami terus ke Damansara Damai, iaitu rumah bapa saudaraku (adik Abah). Katanya, dia juga membuat majlis rumah terbuka.

Setibanya di sana, kelihatan dua keluarga lagi ada di sana. Mak (nenekku) juga ada. Malah, Tok Ngah (adik Mak) juga ada di sana. Menurutnya, dia ada urusan kerja di sekitar Lembah Kelang ini. Kami (aku dan isteriku) sebenarnya belum sempat ke rumah Tok Ngah di Kuala Krai sejak kami berkahwin. Bukan tidak mahu singgah, tapi terlalu banyak destinasi rumah saudara-mara dan keluarga yang mesti dikunjungi setiap kali pulang ke kampung.

"Tengok pada mata Ummair ni, nampak cerdik. Nanti akan jadi kanak-kana genius ni!" Tok Ngah memberikan komentarnya. Sebenarnya semua orang yang melihat Ummair pada kali pertama akan berkata sedemikian. InsyaAllah, kami berdoa agar kata-kata positif daripada semua orang itu akan menjadi doa buat Ummair. Semoga ia menjadi kenyataan.

Lebih kurang pukul 11.00 malam, baru kami tiba di rumah. Hari ini memang hari yang penuh dengan kunjungan dan sangat memenatkan!


Cetak catatan ini..

0 ulasan:

Disediakan oleh Tengku Azlan || Hakcipta Terpelihara © 2008