Ahad, April 19, 2009

Ke rumah Su dan Taman Tasik Cempaka..

Assalamualaikum..

Hari ini, perancangan kami ialah ke rumah kawan sepejabat isteriku, Su, di Putrajaya. Di rumah Su, aku berkenalan dengan suaminya dan keluarga ibu saudara Su yang kebetulan datang menziarahinya.

"Su, Azam, jom lah ikut kami ke Taman Tasik Cempaka. Kat Bangi tu je," isteriku mengajak Su dan suaminya menyertai kami untuk 'dating' di taman itu.

"Takpe lah Jie. Hari ni kami nak rehat kat rumah je. Tak larat," Su menolak ajakan kami dengan baik.


Setelah meminta diri dari rumah Su dan Azam, kami terus menuju ke Taman Tasik Cempaka. Kami menghabiskan masa berjalan-jalan berpimpin tangan mengikut alur yang dibuat untuk pejalan kaki di taman tasik tersebut.

Menurut segelintir petua yang pernah singgah terngiang-ngiang di telingaku, untuk memudahkan seseorang ibu mengandung bersalin, digalakkan agar memperbanyakkan berjalan kaki. Kami sendiri kurang arif mengenai kesahihannya.

Selain daripada itu, kami sebenarnya sengaja ingin menghabiskan masa bersama-sama untuk bersiar-siar dan mengambil angin yang segar di taman tasik itu, agar cinta kami juga sentiasa segar. Kasih sayang perlu disemai dan dibajai selalu agar cinta semakin subur dan mekar.

Inilah yang dinamakan sebagai percintaan yang sejati, iaitu percintaan sepasang suami isteri yang diikat dengan hubungan perkahwinan yang sah.

"Sayang nak aiskrim?" aku memecahkan kesunyian petang apabila terpandang seorang penjual aiskrim sedang melayan beberapa orang pelanggannya di sisi motosikal dengan muatan aiskrimnya.

"Nak," isteriku menjawab sambil tersenyum.

Kami meneruskan langkah kaki mengikut alur tadi sambil menikmati aiskrim yang dibeli. Kami melihat pelbagai gelagat manusia. Ada yang memancing di tasik, ada yang bermain layang-layang, dan ada juga yang menghabiskan waktu petang dengan memandang tasik yang penuh dengan kedamaian itu.

Namun, apabila terpandang pinggir tasik, hatiku menjadi kesal dengan sikap orang kita. Sampah-sarap yang bertaburan di sekeliling pinggir tasik sangat mencacatkan pemandangan. Aku sendiri tidak pasti bila orang kita akan meninggalkan budaya dan sikap yang tidak bertamadun itu.

Belum pun habis satu pusingan tasik, isteriku meminta untuk berhenti.

"Dah la bang. Sayang dah tak larat ni. Mesti sakit kaki malam ni," isteriku mengadu keletihan.

"Kesiannya isteri Abang. Ok. Kita balik ye. Malam nanti Abang picit kaki tu," aku tersenyum kepadanya.

Hampir senja, kami tiba di rumah.


Cetak catatan ini..

0 ulasan:

Disediakan oleh Tengku Azlan || Hakcipta Terpelihara © 2008