Rabu, November 26, 2008

Alahan bagi ibu yang mengandung..

Assalamualaikum..

Sejak isteriku mengandung, aku mula berjinak-jinak dengan keadaan isteriku yang mengalami alahan. Alahan semasa mengandung sering dikaitkan dengan muntah-muntah, pening kepala, dan perut berasa tidak selesa.

Keadaan ini biasa berlaku ketika ibu yang sedang mengandung baru bangun daripada tidur dengan mengalami sedikit pening dan muntah. Namun ada juga yang akan mengalaminya sepanjang hari. Keterukan alahan bergantung kepada individu. Malah, ada juga wanita yang bernasib baik kerana tidak mengalami alahan langsung!

Punca alahan

Punca sebenar alahan sebenarnya masih kurang jelas. Kebanyakan penyelidik mempercayai bahawa alahan yang berlaku terhadap ibu yang mengandung adalah disebabkan oleh perubahan fizikal dan hormon dalam badan. Ada juga pendapat yang mengatakan bahawa alahan mungkin disebabkan oleh ketidakseimbangan paras gula di dalam darah.

Waktu alahan berlaku

Kebiasaannya, ibu yang mengandung akan mengalami alahan pada trimester pertama (tiga bulan pertama) kandungannya. Apabila usia kandungan mencecah trimester kedua (tiga bulan kedua), alahan akan beransur-ansur hilang. Walau bagaimana pun, ada sesetengah wanita akan mengalami alahan yang berlanjutan sehingga bersalin.

Kebanyakan wanita yang mengalami alahan semasa mengandung akan merasai kesannya pada rutin seharian. Ada yang terpaksa menukar perancangan harian untuk menyesuaikan diri dengan keadaan ini. Malah ada yang terpaksa bercuti daripada kerja kerana alahan yang terlalu teruk.

Kesan alahan terhadap kesihatan

Secara amnya, alahan dalam jangka masa yang pendek tidak akan menjejaskan kesihatan ibu dan bayi yang berada di dalam kandungannya. Jika alahan terlalu teruk sehingga apa yang dimakan akan dimuntahkan kembali, bayi berkemungkinan akan kekurangan nutrisi untuk perkembangannya dan kesihatan ibu akan terjejas. Selain daripada itu, ibu akan mengalami dehidrasi (kekurangan air di dalam badan).

Tanda (simptom) dehidrasi ialah pening-pening, dahaga, dan air kencing kurang daripada kebiasaan. Jika ibu yang mengandung mengalami simptom-simptom ini, ibu tersebut memerlukan rawatan dengan segera.

Cara mengatasi alahan

Makanan :

i.Apabila sedar pada waktu pagi, digalakkan supaya memakan kraker atau biskut, dan setelah berehat selama 15 minit, barulah bangun.

ii.Bangun perlahan-lahan dan jangan terus baring selepas makan.

iii.Keraplah memakan snek atau hidangan dalam kuantiti yang kecil supaya perut tidak kosong (contohnya, sekali dalam setiap dua jam) walaupun tidak lapar.

iv.Makan apa sahaja yang anda mahu tetapi elakkan daripada mengambil makanan yang pedas, berlemak dan bergoreng.

v.Jika anda tidak tahan dengan bau yang kuat ketika memasak, buka tingkap dan kipas. Adalah lebih baik jika orang lain yang memasak.

vi.Makanlah makanan yang sudah sejuk berbanding makanan yang masih panas kerana makanan yang sudah sejuk kurang baunya.

vii.Hidu bau limau nipis, limau kasturi, atau halia kerana ia boleh meredakan perut yang berasa sebu atau tidak selesa.

viii.Elakkan diri daripada mengambil kafein dan rokok.


Minuman :

i.Minum air dengan kerap sehingga 12 cawan sehari.

ii.Elakkan daripada minum semasa makan serta sebaik sahaja sebelum dan selepas makan.

iii.Pengambilan air halia boleh mengurangkan rasa mual.


Rutin harian :

i.Berehat secukupnya kerana alahan akan bertambah buruk apabila kepenatan. Tidurlah seketika pada waktu siang kerana kebiasaannya pada trimester pertama (tiga bulan pertama), wanita yang mengandung kerap berasa letih dan mengantuk.

ii.Dapatkan bantuan dalam melakukan kerja-kerja di rumah. Pastikan bahawa anda memperuntukkan masa untuk berehat.

iii.Bersiar-siarlah dan lakukan senaman ringan di luar rumah untuk mendapatkan udara yang segar. Buka tingkap rumah untuk pengudaraan yang baik di dalam rumah.

iv.Elakkan daripada berada di tempat yang panas kerana kebiasaannya alahan akan bertambah teruk.

v.Jika pengambilan vitamin bagi ibu yang mengandung menyebabkan alahan bertambah teruk, minta nasihat doktor.

vi.Bergeraklah secara perlahan-lahan dan elakkan daripada pergerakan yang pantas.

vii.Jangan gosok gigi sebaik sahaja selepas makan kerana ini boleh menyebabkan rasa mual.

viii.Dapatkan sokongan daripada orang yang rapat (contohnya suami, ibu bapa, sahabat).


Ibu yang mengandung perlu mendapatkan nasihat doktor jika,

i.cadangan di atas tidak memberikan kesan,

ii.muntah lebih daripada tiga atau empat kali sehari dan sebaik sahaja makan, termuntah kembali,

iii.berat badan menurun dengan banyak,

iv.muntah tersebut mengandungi darah atau berwarna hitam pekat,

v.mengalami simptom-simptom dehidrasi, atau

vi.risau dengan keadaan anda atau merasakan perubahan serius pada kesihatan anda.


Semoga maklumat-maklumat di dalam catatan ini dapat membantu pembaca yang mengalami alahan!


Cetak catatan ini..

0 ulasan:

Disediakan oleh Tengku Azlan || Hakcipta Terpelihara © 2008