Khamis, November 06, 2008

Gembira tatkala melihat bayi bergerak-gerak..

Assalamualaikum..

Sememangnya, impian setiap pasangan yang mendirikan rumahtangga ialah kebahagiaan yang berpanjangan. Kebahagiaan itu pula akan bertambah indah apabila dikurniakan zuriat sebagai lambang kasih dan buah cinta yang disemai bersama-sama dengan penuh kasih sayang. Kami juga tidak terkecuali daripada lumrah tersebut.


Tadi, selepas solat fardhu Maghrib berjemaah di rumah, kami keluar menuju ke sebuah klinik swasta (Klinik Jameaton) di Taman Pinggiran Putra, Seri Kembangan. Tujuan kami hanyalah satu, iaitu untuk mengesahkan ujian kehamilan yang telah kami buat sendiri di rumah melalui set penguji kehamilan (pregnancy test kit).

Sebenarnya, sebelum membuat keputusan untuk pergi ke klinik, kami telah melakukan dua kali ujian kehamilan di rumah kerana kami khuatir jika keputusan ujian tersebut tersilap. Kami tidak mahu kecewa apabila keputusan sebenar adalah sebaliknya sedangkan kami telah bergembira dengan keputusan yang positif itu.

Selepas ujian yang kedua dibuat, ternyata set penguji kehamilan itu juga menunjukkan dua jalur, sebagaimana keputusan ujian yang pertama sebelumnya. Kami memanjatkan kesyukuran kepada Allah yang telah mengurniakan segala-galanya kepada kami.

Walaupun begitu, kami membuat keputusan untuk membuat pemeriksaan di klinik pula untuk mendapatkan kepastian yang lebih jelas. Setibanya kami di klinik tersebut, setelah menunggu seketika, kami dipanggil untuk masuk menemui doktor.

"Assalamualaikum, puan. Apa yang boleh saya bantu?" Doktor Jameaton memulakan perbualan dengan intonasi yang lembut dan menyenangkan.

"Waalaikumussalam, doktor," kami sama-sama menjawab ucapan salam tersebut.

Kami mula bercerita mengenai tujuan kami. Beberapa minit kemudian, isteriku dibawa ke ruang pemeriksaan. Doktor mula mengimbas (ultrasound) perut isteriku. Setelah dipanggil oleh doktor, aku menuju ke tempat isteriku dibaringkan.

Contoh ultrasound..


"Encik tengok tu. Bayi dah ada. Tahniah ye," doktor menunjukkan skrin yang memaparkan gambar bayi kami yang sedang diimbas.

ALLAHU AKBAR! Allah Maha Besar! Sukar untuk digambarkan bagaimana perasaanku ketika itu. Itu adalah kali pertama aku melihat zuriatku. Itu adalah zuriatku yang pertama. Aku yakin, isteriku juga mengalami perasaan yang sama sepertiku pada ketika itu.

Kami dapat melihat seorang insan kecil berada di dalam rahim ibunya. Kelihatan jari-jemarinya yang kecil dan comel sudah terbentuk dan bergerak-gerak. Jantungnya juga dapat dilihat. Ia sangat kecil dan yang paling mengagumkan kami ialah, jantung itu sudah berdegup!

Kami sangat bersyukur. Pada saat itu, jauh di lubuk hati kami, kami memuji dan kagum dengan kehebatan Allah dalam penciptaan makhluk-makhluknya.

Setelah selesai proses pengimbasan itu, kami dibawa kembali ke meja doktor. Doktor mula mengira tarikh jangkaan kelahiran bayi.

"Nampaknya, usia kandungan puan sekarang sudah mencecah 9 minggu, dan puan dijangka akan melahirkan bayi pada 9 Jun 2009. Tahniah ye, encik, puan!" doktor memberitahu fakta berdasarkan pengiraannya.

Selepas itu, kami pulang ke rumah. Selepas solat fardhu Isyak berjemaah, isteriku menangis di pangkuanku. Dia menangis kerana terlalu gembira. Setelah sekian lama membina impian untuk bergelar ibu, akhirnya impian itu bakal menjadi kenyataan.

"Abang, akhirnya Sayang dapat menghadiahkan zuriat kepada Abang. Sayang sangat gembira bang," isteriku meluahkan isi hatinya.

"Terima kasih ye, Sayang. Sayang telah memberikan hadiah yang paling berharga kepada Abang," aku menjadi terharu dengan situasi itu.

Kami berdoa agar dapat menjadi abi dan ummi yang baik kepada bayi kami nanti. Semoga bayi itu membesar dengan penuh keberkatan daripada Allah, dan akhirnya menjadi anak soleh/solehah yang sentiasa menjadi penawar dalam hidup kami.


Cetak catatan ini..

0 ulasan:

Disediakan oleh Tengku Azlan || Hakcipta Terpelihara © 2008