Khamis, Ogos 13, 2009

Perginya tidak kembali lagi..

Assalamualaikum..

Vokalis kumpulan nasyid Rabbani, Mohd Asri Ibrahim, 40, disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 10.30 pagi tadi akibat serangan jantung ketika dalam perjalanan ke Hospital Pantai, Bangsar.

Jenazah Asri telah selamat dikebumikan pada pukul 9.00 malam ini di Tanah Perkuburan Islam, Seksyen 21.

Sebelum itu, jenazah telah dibawa ke rumahnya di Jalan Ikan Keli, Kampung Bukit Lanchong, Selangor.

Arwah jatuh pengsan semasa raptai dalam sidang media program 'Syahadah' di Angkasapuri, Radio Televisyen Malaysia (RTM) kira-kira pukul 10.00 pagi tadi.

Asri menyertai kumpulan nasyid terkenal itu sejak ia ditubuhkan secara rasmi pada 1 Mac 1997 dengan dianggotai oleh sembilan orang termasuknya.

Sebelum Rabbani, kumpulan itu dikenali sebagai Nada Murni yang ditubuhkan sekitar tahun 80-an dengan dua orang solo iaitu Asri Ibrahim dan Munif Ahmad. Kumpulan Nada Murni akhirnya berpecah kepada kumpulan Rabbani dan kumpulan Hijjaz.



Satu lagi kumpulan nasyid pelopor ketika itu ialah kumpulan The Zikr dengan solonya Nazrey Johani yang akhirnya dikontemporarikan kepada kumpulan Raihan.


Aku teringat akan fenomena nasyid sebelum timbulnya nasyid kontemporari seperti hari ini. Pada waktu itu, nasyid belum diminati umum. Cuma beberapa golongan sahaja terdedah kepada irama ini.



Aku yang mendapat pendidikan di salah sebuah sekolah agama di Kelantan ketika itu tidak terlepas daripada golongan yang meminati muzik yang mendamaikan jiwa itu.

Sekarang, semua itu telah menjadi kenangan bagi penggiat awal nasyid dengan wujudnya nasyid kontemporari yang diselitkan dengan pelbagai elemen untuk mendekati semua golongan masyarakat di Malaysia.

Mungkin coretan-coretan arwah di dalam blog beliau iaitu http://asrirabbani.blogspot.com dapat memberitahu kita akan segala luahan hatinya selaku pelopor irama nasyid tanah air.


Cetak catatan ini..

0 ulasan:

Disediakan oleh Tengku Azlan || Hakcipta Terpelihara © 2008