Rabu, Mei 26, 2010

Genap setahun usia Ummair..

Assalamualaikum..

Alhamdulillah, hari ini genaplah setahun usia putera sulung kami yang kami namakan Tengku Muhammad Ummair. Teringat pula kenangan pada waktu ini dan tarikh ini pada tahun lepas.

Ummair pada 26 Mei 2009..


Ummair pada 26 Mei 2010..


Sebelum saat kelahiran tiba, aku menuggu di luar wad dengan penuh keresahan. Hati memang meronta-ronta ingin berada di samping isteri tercinta agar kesakitan yang ditanggung menjadi sedikit ringan. Sebagai seorang suami dan bakal bapa ketika itu, jika diberi peluang, sememangnya aku ingin menanggung segala-galanya tetapi apakan daya, Allah memilih kaum ibu untuk memikul tanggungjawab yang sangat besar itu. Allah itu Maha Mengetahui tentang apa yang tidak kita ketahui.

Syukur sekali lagi kerana aku berpeluang menemani isteriku ketika hampir tiba saat kelahiran. Aku memberikan sokongan sepenuhnya agar isteriku lebih tabah menghadapi situasi itu. Doa dan kata-kata semangat terus aku bisikkan ke telinga isteriku.

Setelah mengharungi saat-saat yang mendebarkan itu, akhirnya putera sulung kami selamat dilahirkan. Terima kasih Tuhan. Aku sangat gembira. Kegembiraan itu lebih terserlah pada wajah isteriku setelah berjaya melepasi situasi genting sebelum itu.

Antara kegembiraan isteriku selain daripada kegembiraan melahirkan putera kami ialah pengalaman menyusukan Ummair pada kali pertama hari itu. Walaupun aku tidak pernah dan tidak akan pernah dapat merasai pengalaman itu, aku dapat merasakan bahawa saat itu paling bererti dalam sejarah hidup isteriku kerana setelah sekian lama menanti saat menyusukan bayi kami, akhirnya hajat itu tercapai jua pada ketika itu, sehingga berjaya Ummair disusukan secara eksklusif selama setahun dengan susu ibu sahaja. Sekalung tahniah aku ucapkan kepada ister tercinta.

Aku terus mengazankan bayi kami. Sekarang, Ummair memang gemar mendengar azan. Bila azan mula berkumandang di kaca televisyen, memang matanya akan terpaku seketika sehingga azan selesai.

"Ummair ingat waktu abi azan dulu ye?" aku mula mengimbau kenangan indah itu.


Cetak catatan ini..

2 ulasan:

ArsenVids berkata...

Comelnya...alhamdulillah semoga sihat senatiasa. Follow your blog too..peeweet!

AzlanSajirah berkata...

Terima kasih kerana sudi meninggalkan komen di sini..

Disediakan oleh Tengku Azlan || Hakcipta Terpelihara © 2008