Khamis, September 11, 2008

Selamat hari lahir, Abah!

Assalamualaikum..

Hari ini, genaplah usia Abah 52 tahun. Abah dilahirkan pada tarikh ini, setahun sebelum kemerdekaan negara.



"Selamat hari lahir, Abah! Terima kasih kerana sabar mendidik kami, anak-anak Abah."

[+] Baca seluruh catatan ini..

11 September 2001 tinggal kenangan..

Assalamualaikum..

Selain daripada ulangtahun kelahiran Abah, tarikh ini juga adalah tarikh yang amat menggerunkan dunia pada 7 tahun yang lalu.



Peristiwa yang menimpa Pusat Dagangan Dunia (WTC) itu begitu memberi kesan kepada dunia seluruhnya. Pelbagai tuduhan kepada agama Islam dan segala yang berkaitan dengan pegangan suci kita itu dilemparkan bertubi-tubi.

Tiba-tiba, aku teringat kepada tarikh 11 September 2001 itu. Ketika berlakunya peristiwa itu, aku sedang menuntut di Kolej MARA Seremban (KMS) di Seremban, Negeri Sembilan.

Seingatku, sepanjang hampir 2 tahun belajar di sana, itulah berita dunia yang paling menggemparkan seluruh warga KMS. Di samping berbincang mengenai pelajaran pada waktu malam, pasti akan terselit juga perbincangan di kalangan kami mengenai isu tersebut.

Islam terus-menerus dipersalahkan oleh pihak barat walaupun belum terbukti akan kebenarannya. Tragedi itu seolah-olah membuka peluang yang begitu luas kepada pihak barat untuk menghentam Islam secukup-cukupnya.

Lalu, menularlah ke seluruh pelusuk dunia bahawa Islam itu adalah agama yang menganjurkan keganasan. Penganut-penganutnya pula dilabelkan sebagai pengganas-pengganas yang perlu diburu dan dihapuskan. Imej Islam tercalar teruk.

Walhal, peristiwa hitam itu mungkin sahaja sengaja direka-reka oleh pihak barat sendiri, semata-mata untuk mencipta alasan agar Islam halal untuk dimusuhi oleh semua pihak.



Apa yang pasti ialah, sejak tragedi itu, tahun demi tahun, dunia Islam mula menyanjung tinggi Osama bin Laden dan mengutuk serta membenci Bush. Osama dianggap sebagai wira dan pejuang Islam yang sejati, manakala Bush pula dilabelkan sebagai penjahat dunia yang kejam.

Tidak ketinggalah untuk mendapat faedah daripada peristiwa ini ialah pengeluar pakaian. Sejak tarikh itu, idea mereka mengeluarkan kemeja-T dengan dicetak gambar Osama bin Laden di bahagian hadapannya, mendapat sambutan yang amat menggalakkan apabila di mana-mana, kelihatan baju sebegitu dipakai oleh sesiapa sahaja!


[+] Baca seluruh catatan ini..

Selasa, September 09, 2008

Berbuka puasa di PICC..

Assalamualaikum..

"Assalamualaikum, bang," suara isteriku kedengaran sebaik sahaja aku menjawab panggilan telefonnya ke telefon bimbitku.

"Waalaikumussalam, Sayang," aku menjawab ucapan salamnya.

"Abang, Su ajak kita berbuka puasa di PICC hari ni. Dia kata, ada majlis, dan hidangan disediakan untuk 100 orang, tapi ramai yang tidak hadir. Boleh tak, bang?" isteriku meminta kepastian daripadaku.

PICC ialah singkatan bagi Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya.



Su ialah kawan sepejabatnya. Berikutan terdapat kekosongan tempat untuk majlis di sana, orang yang terlibat dengan majlis tersebut telah menjemput mereka.

"Abang ok je. Pukul berapa nak pergi?", aku bertanya.

"Erm, tak tahu lagi. Nanti Sayang akan inform kemudian ye. Nanti Su nak tumpang kita, bang."

"Ok, Sayang."

*********

Petang, setelah mengambil isteriku dan Su, kami ke PICC yang terletak tidak berapa jauh dari pejabat mereka di Putrajaya itu.

Kami berbual-bual di dalam kereta.

"Abang, CC Sayang ajak kita berbuka puasa di Gombak hari sabtu ni. Siap bagi kad lagi!" isteriku memberitahu.

CC ialah singkatan bagi Ketua Kerani.

"Oh, ye ke? Siapa yang anjurkan?" aku bertanya.

"PERAKAN. Menteri Besar Kelantan akan hadir nanti," isteriku menjawab.

PERAKAN ialah singkatan bagi Persatuan Anak Kelantan Perantauan Malaysia.



Setelah mendapat tempat meletak kenderaan, kami menuju ke dalam. Setelah singgah di surau untuk solat Asar, kami bertiga menuju ke dewan yang menyediakan hidangan berbuka puasa.

Hidangan disediakan seperti hidangan di hotel-hotel. Ini adalah kali pertama aku memasuki PICC. Kelihatan tetamu-tetamu sudah bersedia menunggu di tempat duduk masing-masing. Beberapa meja dipenuhi oleh pelajar-pelajar sekolah berhampiran yang dijemput bagi memenuhi undangan.

"Hadirin dan hadirat sekalian, setelah azan Maghrib berkumandang, kita akan berbuka puasa dengan kurma dan kuih dahulu. Setelah kita selesai bersolat Maghrib secara berjemaah di surau, baru kita akan datang semula untuk hidangan yang lain," kedengaran pengumuman dibuat oleh pihak yang menganjurkan.

Setelah doa dibaca oleh salah seorang ustaz yang dijemput, azan Maghrib berkumandang. Kami berbuka puasa dengan penuh kesyukuran.

Setelah selesai solat Maghrib dan menjamu selera dengan hidangan di dalam dewan tadi, kami berjalan ke tempat letak kereta untuk pulang.

Setelah menghantar Su ke rumahnya di dalam Putrajaya itu, kami bertolak pulang.

[+] Baca seluruh catatan ini..

Temuduga di Taman Equine..

Assalamualaikum..

Semalam, aku menghubungi nombor telefon yang tertera pada satu iklan jawatan kosong yang aku nampak tertampal di Taman Equine, tidak berapa jauh dari pasaraya Jusco. Jawatan kosong itu adalah untuk pereka grafik (graphic designer).

"Hello," aku memulakan perbualan.

Aku serba salah sama ada ingin memulakan perbualan dengan ucapan salam atau tidak, kerana aku tidak pasti mengenai orang yang berada di hujung talian, iaitu sama ada dia muslim atau tidak. Pada iklan yang aku baca, tidak tertulis nama pemilik nombor itu.

"Hello, siapa di sana?" kedengaran suara seorang lelaki, dan mengikut perkiraanku, itu suara orang melayu.

"Maafkan saya. Saya terbaca iklan mengenai jawatan kosong, iaitu graphic designer. Masih ada kosong ke?" aku terus menuju kepada tujuan aku menghubunginya.

"Ooo.. Kena datang interview lah. Ada pengalaman?" lelaki tadi bertanya.

"Saya baru graduate. Universiti Malaya. Bidang multimedia," aku menjelaskan statusku.

"Ok, macam ni. Datang esok, antara pukul 10.00 hingga 10.30 pagi. Di Taman Equine," dia akhirnya membuat keputusan.

"Dekat dengan tempat iklan tu ditampal ke? Kalau macam tu, tak jauh la. Saya tinggal di Taman Lestari Putra," aku menjelaskan.

"Ye. Kat situ la. Tingkat atas," dia mengiakan.

"Erk, boleh saya tahu, siapa di sana?" aku ingin mengetahui namanya untuk memudahkan urusan.

"Saya Nan. Itu pulak siapa?" dia memperkenalkan dirinya.

"Nama saya Tengku Azlan," perbualan di antara kami berakhir di situ.

Aku menghitung-hitung sendiri. Jika rezeki aku ada di situ, aku akan sangat-sangat bersyukur kerana memang dekat dengan rumahku. Aku tidak akan perlu bersesak-sesak dengan kesesakan jalanraya, jauh sekali untuk melalui plaza tol yang hanya akan menipiskan dompet sesiapa sahaja yang melaluinya.

**********

Pukul 10.15 pagi tadi, aku tiba di bangunan blok kedai di mana terletaknya iklan yang pernah aku baca mengenai jawatan tersebut. Kata Encik Nan semalam, memang pejabatnya berada di situ.

Aku baru perasan bahawa semalam, aku lupa untuk bertanya kepadanya akan nama syarikat itu. Aku lantas menghubungi telefon bimbitnya untuk mengesahkan nama syarikat itu agar aku tidak tersilap masuk ke pejabat lain. Panggilanku ke telefon bimbitnya tidak dijawab. Berkali-kali aku mendail semula, namun tiada tanda-tanda bahawa panggilan itu akan dijawab.

Aku keluar dari kereta untuk meninjau di sekitar bangunan itu. Kelihatan iklan yang aku maksudkan tadi masih tertampal di situ. Pada pintu masuk ke tingkat atas, kelihatan nama syarikat tertulis di situ.

'DIA (Dua Image Advertising)'

Tapi, pintu itu terkunci dengan mangga dari luar. Secara logiknya, memang tiada orang di dalam.

"Erm, kalau macam ni, lebih baik aku pergi isi minyak dulu, daripada menunggu di sini tapi orangnya takde," hatiku membuat perhitungan.

Aku memandu ke stesen Shell yang berhampiran untuk menunaikan keperluan keretaku yang sudah kehausan petrol.

Selesai sahaja petrol diisi, telefon bimbitku berbunyi. Tertera nama Encik Nan.

"Hello, dah sampai ke? Sekejap lagi saya sampai. Tunggu sekejap ye," dia memberitahu.

"Ye, saya dah sampai. Nama syarikat tu 'Dua Image Advertising' ke?" aku menjawab dan lantas bertanya.

Hatiku meronta-ronta mendesak agar aku memberitahu bahawa tadi aku sudah kepanasan menunggu dengan panggilan yang tidak dijawab. Tapi, desakan itu sebenarnya hanya bermain-main di dalam hati.

"Betul la tu. Tunggu ye," dia mengesahkan.

Setibanya aku di sana untuk kali keduanya hari ini, mangga pada pintu tadi sudah dibuka, menandakan sudah ada orang membukanya dan memasukinya.

Aku terus menaiki anak tangga menuju pejabat di ruangan atas. Seketika kemudian, seorang lelaki datang membuka pintu pejabat.

"Assalamualaikum," aku memberi salam lantas menghulurkan tangan sebagai tanda perjumpaan kami pada kali yang pertama.

"Waalaikumussalam," dia menjawab lantas tangannya menyambut tangan yang dihulurkan.

Memang dia adalah Encik Nan tadi. Kelihatan satu lagi kelibat manusia di dalam pejabat itu. Seorang wanita melayu yang tidak bertudung.

Kedua-dua orang tadi kelihatan berpakaian tidak formal. Mungkin sesuai dengan bidang syarikat mereka iaitu pengiklanan. Di dalam ruangan pejabat, banyak hasil kerja syarikat dipamerkan.

"Ok, macam ni ye. Kami ni syarikat pengiklanan. Perisian apa yang Azlan pernah guna untuk grafik?" Encik Nan memulakan sesi temuduga dengan santai dan separuh formal, di sofa yang berada di situ.

"Saya tahu dan sudah lama menggunakan Photoshop. Ilustrator dan InDesign, pernah guna tapi jarang. Walau bagaimana pun, asas tu, saya tahu," aku menjelaskan dengan jujur.

"Sebenarnya, kami di sini banyak menggunakan Ilustrator dan InDesign. Kami menggunakan Ilustrator untuk mereka grafik, dan InDesign digunakan jika item yang berbentuk buku ingin dihasilkan," Encik Nan menerangkan dengan panjang lebar.

"Kami selalunya menggunakan tenaga freelance, tapi kami menghadapi masalah apabila banyak tugasan tidak dapat disiapkan. Akhirnya, saya sendiri yang perlu menyiapkannya," beliau menambah.

Encik Nan menunjukkan beberapa contoh buku yang dihasilkan oleh syarikat mereka. Antaranya ialah buku-buku mengenai pelancongan bagi setiap negeri di Malaysia. Setelah membaca profil syarikat, barulah aku mengetahui bahawa syarikat itu memang hanya terdiri daripada mereka berdua.

Wanita tadi bernama Atika. Adnan pula adalah nama sebenar Encik Nan. Aku mengetahuinya melalui profil syarikat yang ditunjukkan kepadaku tadi.

Setelah Cik atau Puan Atika tadi menunjukkan beberapa lagi hasil kerja mereka yang berbentuk pengurusan majlis, dan aku bertanya apa sahaja yang terlintas di fikiran mengenai syarikat itu, aku mendapat sedikit gambaran mengenai kerja-kerja di situ. Kerja dalam bidang pengiklanan seperti itu, memang memerlukan kecekapan, kepantasan, dan perlu mengejar dateline.

"Ok lah. Kami akan menerima kehadiran beberapa orang lagi untuk ditemuduga. Jadi, kami tidak dapat membuat keputusan sekarang. Apa-apa hal, kami akan menghubungi Azlan. Lagi pun, rumah dekat je kan?" Atika menutup penjelasannya yang panjang lebar tadi.

"Ye. Jika dapat bekerja di sini, memang dekat sahaja dari rumah. Saya minta diri dulu ye. Terima kasih Encik Nan, Cik Atika," aku akhirnya meminta diri.

Sesi temuduga hari ini berakhir di situ.

Moga akan ada yang terbaik untukku dengan izin Yang Maha Kuasa dan Yang Maha Mengetahui.

[+] Baca seluruh catatan ini..

Isnin, September 08, 2008

Teringat kenangan lama..

Assalamualaikum..

Sewaktu menunggu waktu berbuka puasa tadi, terpapar satu rancangan di kaca televisyen iaitu Shamsul @ Bazaar Ramadhan. Lokasi penggambarannya adalah di bazaar Taman Tun Dr Ismail. Memoriku mula melayang seketika ke tempat yang pernah aku kunjungi semasa tinggal di Kampung Sungai Penchala sewaktu bujang suatu ketika dahulu. Bazaar itu adalah antara bazaar yang selalu kami (aku dan sahabat-sahabat serumah) kunjungi.


Antara bazaar yang kami kunjungi juga adalah bazaar yang berhampiran dengan Masjid Jamek Sultan Abdul Aziz Shah, atau lebih dikenali sebagai Masjid Sungai Penchala.

Antara aktiviti kami ketika itu juga adalah berbuka puasa di masjid-masjid yang berdekatan seperti Masjid Sungai Penchala tadi, Masjid Taqwa di Taman Tun Dr Ismail, dan Masjid Ghufran di Pinggiran Taman Tun Dr Ismail.

Sekarang, semua itu telah menjadi kenangan yang terukir indah dalam lipatan sejarah hidupku.

[+] Baca seluruh catatan ini..

Ahad, September 07, 2008

Berbuka puasa di rumah KakMah..

Assalamualaikum..

Tengahari tadi, tiba-tiba KakMah dan AbeMan sudah berada di depan pagar rumah kami. Kami menyedari kedatangan mereka pun selepas KakMah menelefon isteriku.

"AbeMan, KakMah, masuklah. Dari mana ni?" aku mempelawa mereka.

"Kami sebenarnya ke kedai tadi. Tapi tutup pula. Lepas tu, kami membuat keputusan untuk datang sini," KakMah menjelaskan.

Beberapa jam kemudian, mereka pulang. Mereka mengajak kami berbuka puasa di rumah mereka malam nanti.

Setelah bersiap-siap, pukul 5.00 petang, kami bertolak ke rumah KakMah. Kami singgah di bazar Ramadhan berdekatan untuk membeli sedikit kuih untuk tambahan hidangan berbuka nanti.

Tiba di sana, kami berbual-bual dengan KakMah. Beberapa minit selepas itu, AbeMan pulang dari bazar Ramadhan. Dia membeli beberapa jenis lauk untuk juadah kami berbuka.

Setelah berbuka puasa dan solat Maghrib di sana, kami meminta diri untuk pulang.

[+] Baca seluruh catatan ini..

Selasa, September 02, 2008

Lagu Ramadhan..

Assalamualaikum..

Semoga kita mendapat ketaqwaan sebagaimana yang telah dijanjikan oleh Allah di dalam Surah Al-Baqarah ayat 183 terhadap orang-orang yang berpuasa.



Maksudnya : "Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu untuk berpuasa, sebagaimana telah diwajibkan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu, agar kamu bertaqwa."





Ramadhan

Bertemu kembali dengan Ramadhan,
Ku rasakan bahagia menyelubungi,
Ya Allah, daku bersyukur,
Kau pertemukan ku semula,
Ramadhan yang mulia,

Di Ramadhan, Ya Allah,
RahmatMu ku rasa,
Ku banyakkan beribadah,
Ku tahu pengampunanMu,
melangit tinggi,

Ramadhan rahmat dari Ilahi,
Banyakkan ibadah dan berdoa,
Hapuskan dosa tingkatkan pahala,

Semoga beroleh maghfirah,
Moga kita kan jadi,
hamba yang setia,

Ramadhan menyedarkan aku,
Kesusahan yang dialami,
insan lain,

Ramadhan ujian Ilahi,
Mengajar erti kesabaran,
dan kesetiaan,

Di Ramadhan, Ya Allah,
RahmatMu ku rasa,
Ku banyakkan beribadah,
Ku tahu pengampunanMu,
melangit tinggi,

Ramadhan rahmat dari Ilahi,
Banyakkan ibadah dan berdoa,
Hapuskan dosa tingkatkan pahala,

Semoga beroleh maghfirah,
Moga kita kan jadi,
hamba yang setia,

Andainya ini Ramadhan,
terakhir bagiku,
Ku harap ianya kan membelaku,
di akhirat nanti,

Ramadhan rahmat dari Ilahi,
Banyakkan ibadah dan berdoa,
Hapuskan dosa tingkatkan pahala,

Ramadhan rahmat dari Ilahi,
Banyakkan ibadah dan berdoa,
Hapuskan dosa tingkatkan pahala,

Semoga beroleh maghfirah,
Moga kita kan jadi,
hamba yang setia,

Ramadhan, Ramadhan, Ramadhan..

[+] Baca seluruh catatan ini..

Tadarus mengikut kemampuan..

Assalamualaikum..

Apabila tiba Ramadhan, antara ibadah yang dijadikan rutin selain solat sunat Tarawih ialah tadarus Al-Quran.



Sebenarnya, tidak semestinya kita berazam untuk mengkhatamkan Al-Quran 30 juzuk dalam tempoh sebulan ini. Tadarus bergantung kepada kemampuan fizikal dan mental kita. Ia juga berkait rapat dengan amalan tadarus yang sudah biasa kita lakukan pada setiap bulan walaupun bukan Ramadhan.

Jika kita sudah biasa dengan 1 muka sehari, eloklah kita teruskan dengan kadar itu, atau boleh juga menambahkan sedikit bilangan muka per hari itu jika sudah rasa berkemampuan ke arah itu.

Tapi, jika sebelum Ramadhan, kita membaca Al-Quran dengan kadar seperti tadi, iaitu 1 muka sehari, lalu bila tiba Ramadhan, ingin terus mengejar 1 juzuk sehari, dikhuatiri fizikal dan mental tidak dapat bertahan untuk terus beristiqomah (berterusan).



Biarlah apa jua amalan yang kita lakukan itu berterusan walaupun sedikit. Tapi, jika mampu melakukan banyak, itu semestinya adalah lebih baik.

Ibadah ini juga tidak boleh dipaksa secara keterlaluan sehingga apabila tiba beberapa hari kita bertadarus, timbul perasaan yang negatif seperti penat dan malas, lalu tadarus tersebut terus ditinggalkan. Jadi, akan hilanglah konsep istiqomah tadi.

Satu lagi perkara yang tidak harus dilupakan apabila bertadarus ialah, seelok-eloknya kita membaca Al-Quran yang disertakan terjemahan di setiap muka surat. Ini akan memudahkan mata kita untuk melirik kepada maksud bacaan kita.

Bukan semua orang pernah belajar dan memahami bahasa Arab. Jadi, apabila kita membaca terjemahan dalam bahasa ibunda kita pada setiap ayat yang dibaca, kita akan lebih menghayati dan sekurang-kurangnya tahu apa yang kita sedang baca.

Kesimpulannya, tepuk dada, tanyalah ilmu dan iman. Ilmu akan memandu akal untuk memilih yang benar dan baik, manakala iman pula akan menuntun jiwa mengenal khaliq (pencipta).

Selamat berpuasa dan selamat bertadarus.

[+] Baca seluruh catatan ini..

Isnin, September 01, 2008

Puisi cinta sempena hari lahir isteriku..

Assalamualaikum..

"Sempena hari lahir Sayang yang ke-26, Abang mendedikasikan lagu ini khusus untuk Sayang. Abang amat menyayangi Sayang. Selamat hari lahir!".





Puisi Cinta

Suaramu,
Gemersiknya bak buluh perindu,
Cuba kau lagukan,
Cuba kau dendangkan,
Mengisi di ruang kamarku,

Senyummu,
Menusuk dan membelai di kalbu,
Cuba kau ukirkan,
Cuba kau pamerkan,
Menjadi hiasan hidupku,

Tiada terkata,
Seindah bahasa,
Nak ku huraikan,
Nak ku belaikan dirimu,

Akan ku syairkan katamu,
Akan ku madahkan janjimu,
Menjadi coretan gurindam,
Puisi cinta,

Akan ku ukirkan senyummu,
Akan ku lukiskan tawamu,
Menjadikan susunan warna,
Potret indah,

Senyummu,
Menusuk dan membelai di kalbu,
Cuba kau ukirkan,
Cuba kau pamerkan,
Menjadi hiasan hidupku,

Tiada terkata,
Seindah bahasa,
Nak ku huraikan,
Nak ku belaikan dirimu,

Akan ku syairkan katamu,
Akan ku madahkan janjimu,
Menjadi coretan gurindam,
Puisi cinta,

Akan ku ukirkan senyummu,
Akan ku lukiskan tawamu,
Menjadikan susunan warna,
Potret indah,

Senyummu,
Menusuk dan membelai di kalbu,
Cuba kau ukirkan,
Cuba kau pamerkan,
Menjadi hiasan hidupku,

Menjadi hiasan hidupku..

[+] Baca seluruh catatan ini..

Sahur pertama dan hari lahir isteriku..

Assalamualaikum..

Seawal pukul 4.30 pagi, para isteri (Isteriku, KakMah, dan KakSa) sudah bangun menyediakan juadah sahur. Setelah semuanya terhidang, kami semua bersahur bersama-sama.

"Sayang, inilah sahur pertama Abang setelah bergelar suami. Ini juga adalah sahur pertama Abang di rumah mertua.", aku memberitahu isteriku.

Isteriku membalas dengan senyuman yang sangat manis.



Waktu imsak di kampung ialah 5.40 pagi. Setelah selesai bersahur, kami solat Subuh.

"Sayang, selamat hari lahir yang ke-26!", aku mengucapkan ungkapan itu setelah selesai solat dan berdoa.



Hari ini adalah hari ulangtahun kelahiran isteriku yang ke-26. Tahun ini, kebetulan pula tarikh 1 September adalah sama dengan 1 Ramadhan.

Setelah siap berkemas, kami bertolak ke Kuala Lumpur pada pukul 9.00 pagi.

Dalam perjalanan, aku mengambil alih tugas memandu seketika, memandangkan AbeMan tidak dapat menahan mengantuknya. Tiba di Raub, kami berhenti di masjid di situ. Kami solat jamak taqdim.

Setelah meneruskan perjalanan, hampir tiba di rumah KakMah lebih kurang pukul 6.00 petang, kami berhenti di bazar Ramadhan berdekatan kerana kami tentunya keletihan untuk memasak setelah jauh dalam perjalanan.

Selesai membeli juadah, kami pulang ke rumah KakMah.

"AbeMan, kami nak terus balik rumah la. Berbuka kat rumah."

Setelah memindahkan barang-barang kami dari kereta AbeMan ke kereta kami, kami terus bergegas pulang ke rumah memandangkan waktu berbuka sudah hampir. Kami tiba di rumah lebih kurang pukul 6.45 petang.

Isteriku memasak nasi. Setelah siap, kami membuka lauk yang dibeli tadi. Setelah azan Maghrib berkumandang, kami berbuka puasa dengan penuh kesyukuran.

"Sayang, inilah waktu berbuka puasa kita yang pertama bersama-sama. Alhamdulillah."

[+] Baca seluruh catatan ini..

Disediakan oleh Tengku Azlan || Hakcipta Terpelihara © 2008