Memaparkan catatan dengan label Luahan Hati. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Luahan Hati. Papar semua catatan

Isnin, Jun 28, 2010

Akhirnya blog isteriku bertukar wajah!

Assalamualaikum..

Alhamdulillah, akhirnya blog isteriku telah bertukar wajah setelah dicuba beberapa kali. Bermula dengan penukaran daripada blog dua lajur (2-column) kepada blog tiga lajur (3-column), hasilnya ialah seperti yang terpapar sekarang!



Untuk menghasilkan blog seperti yang diimpikan, sudah semestinya aku perlu mengikut segala keinginannya agar isteriku berpuas hati dengan natijahnya.

Walaupun blog tersebut belum lengkap sepenuhnya, namun perubahan setakat ini sudah dikira berjaya untuk menarik minat pembaca-pembaca di alam siber yang ingin berkongsi pengalaman penyusuan susu ibu sepertinya!

[+] Baca seluruh catatan ini..

Khamis, Mei 13, 2010

Dulu 'blog kita', sekarang sudah jadi 'blog Abang'..

Assalamualaikum..

Agak lama blog ini tidak bertulis. Sebenarnya aku sibuk menyiapkan blog isteriku. Suatu ketika dahulu aku pernah menyuarakan cadangan agar isteriku mempunyai blog sendiri kerana begitu banyak perkara ingin dikongsi dengan kaun ibu mengenai penyusuan susu ibu.

"Tak pe lah bang. Sayang belum bersedia. Lagipun, Sayang boleh menulis dalam blog kita ni kalau Sayang teringin nak menulis", jawab isteriku ketika itu.

Selama ini, aku menulis mengenai perkara tersebut berdasarkan pandanganku sebagai suami dan bapa. Mungkin tidak ramai penulis yang berminat untuk membuat catatan mengenai isu wanita seperti ini. Mungkin hanya beberapa peratus yang meluagkan sedikit masa untuk menyatakan pandangan mengenai isu wanita dari perspektif lelaki.

Mungkin disebabkan sudah lama memendam perasaan untuk mempunyai blog sendiri ditambah pula dengan adanya sedikit masa yang boleh diluangkan untuk menulis blog di pejabat baru, isteriku meminta aku menyediakan satu blog untuknya.


Akhirnya, blog yang diberi nama Ummi Ummair ini siap dan bakal dipenuhi dengan pengalaman isteriku menyusukan Ummair dengan jayanya setakat ini!

Bermula pada saat itu, perbualan kami mengenai blog sudah sedikit berubah.

"Abang, Abang letak lah apa yang ada dalam 'blog Abang' tu ke dalam 'blog Sayang'!"

'Blog kita' sekarang adalah 'blog Abang' + 'blog Sayang'..


[+] Baca seluruh catatan ini..

Isnin, Mac 08, 2010

Ulangtahun kedua perkahwinan kami..

Assalamualaikum..

Hari ini genaplah dua tahun usia perkahwinan kami. Pada tarikh ini dua tahun yang lalu, kami akhirnya selamat disatukan dengan ikatan yang sah sebagai suami dan isteri.

Akad nikah pada 8 Mac 2008..


Pasangan bahagia..


Semoga bahagia selama-lamanya..

Alhamdulillah, kami telah dikurniakan seorang putera hasil perkongsian hidup. Kebahagiaan kami bertambah sempurna dengan kehadiran Ummair.

Permata hati kami, Tengku Muhammad Ummair..

Jutaan penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada isteriku di atas segala pengorbanan dan kasih sayang yang diberikan selama ini. Semoga cinta kita berkekalan hingga ke syurga.

[+] Baca seluruh catatan ini..

Rabu, Mac 03, 2010

Realiti amalan solat hari ini..

Assalamualaikum..

Hari ini terdetik di hatiku untuk menulis mengenai realiti amalan solat di kalangan masyarakat kita di Malaysia pada masa kini. Sebenarnya sudah lama keinginan ini timbul setelah melihat situasi ini pada masyarakat persekitaran.


Walaupun negara ini sudah terkenal sebagai negara Islam di kaca mata dunia, namun kesedaran mengenai ibadah yang menjadi tunjang agama ini nampaknya benar-benar dianggap remeh. Islam hanya dilihat sebagai agama pengakuan semata-mata, sedangkan praktikalnya diabaikan.

Pengalaman berada di negeri pantai barat beberapa tahun telah membuka mataku mengenai situasi yang amat membimbangkan ini. Rupa-rupanya solat atau tidak solat bukanlah menjadi perkara penting di kalangan masyarakat kota yang sibuk dengan urusan kerja masing-masing.

Teringat pula kami adik-beradik semasa di alam persekolahan suatu masa dahulu. Kami sering diingatkan supaya tidak meninggalkan amalan solat walau sesibuk mana pun kami. Jika berkelapangan, kami berjemaah bersama-sama.


Berada di kalangan masyarakat yang jauh daripada solat mengejutkan aku pada awal-awal dahulu. Terasa janggal. Tetapi, rupa-rupanya kita yang menjaga solat pula dilihat janggal kerana menjaga setiap waktu solat. Bagi mereka, hanya orang yang bergelar ustaz atau yang seangkatan dengannya sahaja perlu menjaga solat.

Satu lagi perkara pelik mengenai solat ialah, mereka langsung tidak segan mengakui bahawa mereka memang tidak solat, sedangkan mereka bermati-matian mempertahankan kedudukan mereka sebagai muslim.

Inilah realiti masyarakat kita. Kita yang menyedari dan memahami perkara ini perlu menegur dengan berhikmah. Semoga isu ini juga akan dipandang serius oleh pihak yang berkenaan suatu masa nanti.

[+] Baca seluruh catatan ini..

Rabu, Februari 24, 2010

Selamat tinggal Kuala Lumpur..

Assalamualaikum..

Hari ini sudah lebih dua minggu kami pindah ke Besut, Terengganu. Alhamdulillah akhirnya kami dapat mengucapkan selamat tinggal kepada Selangor yang telah lama menjadi tempat kami mencari rezeki selama ini.


Dari Besut, kami hanya perlu mengambil masa lebih kurang satu jam untuk tiba di kampung. Syukur, kami semakin dekat dengan keluarga. Hati mereka juga tidak segelisah dahulu memandagkan kami bila-bila masa boleh pulang menjenguk mereka di kampung.

InsyaAllah kami akan memulakan kehidupan baru di sini. Dengan kos hidup yang tidak setinggi di Lembah Klang sana, kehidupan kami dapat diatur dengan baik.

Selamat tinggal Kuala Lumpur!

[+] Baca seluruh catatan ini..

Ahad, Disember 13, 2009

Kenduri Cikgu Zahari..

Assalamualaikum..

Hari ini pula, kami ke kenduri teman sebilikku ketika di Universiti Malaya beberapa tahun yang lalu. Beliau lebih dikenali dengan panggilan 'Cikgu'. Kami tidak sempat bergambar dengan pengantin kerana sesi merenjis tidak habis-habis. Namun aku sempat bersalam sambil mengucapkan tahniah kepada Cikgu Zahari.


[+] Baca seluruh catatan ini..

Sabtu, Disember 12, 2009

Kenduri Abang Zahar..

Assalamualaikum..

Hari ini kami ke Masjid Tanah, Melaka kerana menghadiri kenduri teman serumahku ketika bujang dahulu di Kampung Sungai Penchala, Kuala Lumpur, iaitu Abang Zahar. Alhamdulillah, dapat bertemu dengan ramai teman-teman yang agak lama tidak bersua sejak aku bertukar status daripada bujang kepada berkahwin.

Semua yang hadir mengambil kesempatan untuk bergambar..


Bergambar bersama keluarga Abang Aizuddin dan pasangan pengantin baru..

[+] Baca seluruh catatan ini..

Jumaat, Oktober 23, 2009

Pemergian Nur Fatimah, suatu kehilangan..

Assalamualaikum..

Melalui blog I-Match, isteriku mendapat tahu mengenai berita pemergian puteri sulung kenalanku di kampus dahulu iaitu Ramadhan dan Khadijah pagi semalam. Sememangnya isteriku sentiasa mengikuti perkembangan kenalan-kenalanku yang aku pautkan laman blog mereka di blog kami.

Ramadhan, Khadijah, dan arwah Nur Fatimah..


Semoga ruh puteri kecil ini dicucuri rahmat oleh Yang Maha Esa..


"Abang, walaupun Sayang tidak pernah mengenali Khadijah, tapi sebagai seorang ibu, Sayang dapat rasa bagaimana perasaan Khadijah di saat pemergian Nur Fatimah", begitulah antara luahan hati isteriku ketika mengetahui perkhabaran tersebut semalam.

Sebenarnya, dua hari yang lalu, aku meminta nombor perhubungan Ramadhan daripada seorang kenalanku juga (Nasir), dengan niat ingin menjenguk Nur Fatimah yang digambarkan di dalam blog sahabat-sahabatku yang lain seperti agak tenat.

Namun, niat kami itu tidak kesampaian apabila Nur Fatimah terlebih dahulu dipanggil Ilahi. Kami mendoakan agar ruh puteri kecil itu dicucuri rahmat. Semoga baba dan mamanya tabah menghadapi ujian ini.

[+] Baca seluruh catatan ini..

Jumaat, Oktober 16, 2009

Berkesankah kempen pada kotak rokok?

Assalamualaikum..

Sejauh manakah kempen untuk memberhentikan amalan merokok di kalangan penduduk Malaysia berjaya? Walaupun foto-foto yang menggerunkan dikepilkan pada setiap kotak rokok yang dijual, namun tabiat ini tidak akan dapat dikurangkan.

Entah bagaimana caranya, aku sendiri tidak pasti. Sememangnya, sesuatu tabiat buruk di kalangan masyarakat kita amat sukar untuk dibendung.


[+] Baca seluruh catatan ini..

Khamis, Oktober 08, 2009

Malam Pengantin..

Assalamualaikum..

Dalam catatan kali ini, aku ingin berkongsi satu sajak yang sangat menyentuh hati bagi insan yang sentiasa rindu akan Rabbnya.



Malam Pengantin

Kita pasti dirisik..
Pertunangan sejak azali..
Di hujung hidup nanti..

Berlangsungnya perkahwinanmu dengan maut..
Hantarannya..sakit dan nazak..
Tamu bertandang menghadiahkan esak tangis..
Pengantin dimandikan..

Dipakaikan baju cantik putih..
Wangian gaharu dan cendana..
Keranda jadi pelaminan..
Pengantin bersanding sendirian..

Di arak keliling kampung..
Berkompangkan azan dan kalimah kudus..
Akad nikahnya bacaan talkin..
Berwalikan liang lahat..

Saksi pula nisan-nisan..
Siraman air mawar..
Keluarga terdekat menepung tawar..
Tiba masa pengantin..
Menunggu sendirian..

Malam pertama bersama KEKASIH..
Di kamar bertilamkan tanah..
Dan Dia menuntut janji..
Sucikah kita tatkala berpadu..

Pernahkah taubat sepanjang hayat..
Atau terkubur bersama dosa-dosa...
Dan Dia Kekasih itu..
Menetapkanmu ke syurga..
Atau melemparkan dirimu ke neraka..

[+] Baca seluruh catatan ini..

Sabtu, Ogos 22, 2009

Ramadan Mubarak kembali lagi..

Assalamualaikum..

Alhamdulillah, Ramadan Mubarak kembali lagi dan kita masih diberi ruang untuk mengejar kelebihan-kelebihan ganjaran yang dijanjikan di dalam bulan ini.


Kali ini kami menyambut Ramadan bertiga dengan kelahiran Ummair. Semoga Ramadan kali ini menjadikan kehidupan kami lebih baik daripada sebelumnya.

[+] Baca seluruh catatan ini..

Jumaat, Ogos 14, 2009

Sejauh manakah kempen ini berjaya?

Assalamualaikum..

Kempen yang berslogankan "Say no to plastic bags" nampaknya tidak begitu dipandang sebagai isu yang penting di kalangan masyarakat kita. Aku memang menyedari hakikat perkara sebegini di negara ini.


Disebabkan perkara ini tidak menampakkan kesan apabila jumlahnya sedikit, orang kita tidak nampak kepentingannya. Apabila berlaku bencana seperti banjir kilat atau seumpamanya, baru umum menyedari akan kesan jangka panjang isu global ini.

Berdasarkan pemerhatianku, aku berpendapat bahawa masyarakat kita yang penuh dengan adat kesopanan ini agak sukar untuk meninggalkan budaya atau kebiasaan yang sudah lama sebati dengan amalan harian mereka. Bila situasi ini berlaku dalam urusan pembelian harian, kita akan menjadi segan untuk mengatakan "TIDAK" kepada penggunaan beg plastik yang diberi oleh peniaga.

[+] Baca seluruh catatan ini..

Ahad, Jun 21, 2009

Assalamualaikum..

Hari ini, kali pertama dalam hidupku, aku menerima ucapan-ucapan selamat hari bapa daripada saudara-mara dan kenalan-kenalan. Alhamdulillah, aku kini sudah bergelar bapa kepada seorang putera bernama Tengku Muhammad Ummair.


[+] Baca seluruh catatan ini..

Khamis, Mei 21, 2009

Gaya bahasa penulisan blog..

Assalamualaikum dan selamat bertemu kembali..

Jika diperhatikan kepada perkembangan teknologi perhubungan dan maklumat masa kini, saban hari kewujudan blog-blog baru di ruang siber makin bertambah dan bercambah dengan begitu cepat. Tidak kira daripada golongan mana, semua manusia alaf baru kini tidak mahu melepaskan peluang untuk menikmati era yang serba canggih ini.

Bermula daripada kanak-kanak sekolah sehingga ayah atau ibu kepada beberapa orang anak malah datuk atau nenek, semua lapisan masyarakat mengambil kesempatan untuk meluahkan perasaan atau apa yang terbuku di hati melalui penulisan blog.

Jika dahulu manusia gemar menulis diari secara manual di dalam buku, kini penulisan diari kehidupan sudah ditukar kepada penulisan blog. Jadi, blog sebenarnya adalah sebuah diari digital, atau mungkin boleh dikenali sebagai e-diari!


Untuk catatan kali ini, aku terfikir untuk berkongsi atau meluahkan satu perkara yang sudah berlegar-legar di benakku sejak beberapa waktu, iaitu mengenai gaya bahasa penulisan blog. Setelah membaca dan meneliti banyak blog, pelbagai ragam bahasa dapat dikenalpasti. Terdapat blog yang bahasanya dijaga dengan rapi sehingga menampakkan keindahannya. Tetapi, kebanyakan blog begitu bercelaru penulisannya sehingga merosakkan keluhuran bahasa itu sendiri.


Di sini, aku menumpukan topik ini kepada gaya penulisan bahasa Melayu. Pada pendapatku secara peribadi, seseorang penulis blog perlu memastikan bahawa setiap nukilannya tidak mencacatkan bahasa itu sendiri. Beberapa perkara asas mesti diberi perhatian agar keindahan bahasa kita terpelihara.

Antaranya ialah, seseorang penulis haruslah memastikan supaya ayat yang digarap itu tidak tergantung. Imbuhan pula mesti digunakan dengan betul. Di samping itu, penggunaan huruf besar dan huruf kecil pada tempat yang sesuai juga memainkan peranan dalam penulisan. Kesimpulannya, kita hanya perlu mengaplikasikan apa yang pernah kita pelajari dalam mata pelajaran bahasa Melayu ketika di bangku sekolah rendah dan sekolah menengah suatu ketika dahulu!

Jika alasan untuk tidak menggunakan bahasa dengan betul adalah kerana ingin menjadikan catatan blog itu santai dan bersahaja, aku kurang bersetuju kerana aku pernah membaca beberapa blog yang ditulis dengan bahasa yang tidak cacat tetapi masih mampu menyelitkan elemen santai itu.

Semuanya bergantung kepada kehendak masing-masing dalam menghasilkan nukilan-nukilan e-diari kita dalam ruang maya ini.

Secara jujurnya, bahasa penulisanku sendiri kadang-kadang ada juga kesilapannya. Tetapi aku berusaha sebaik-baiknya agar setiap patah perkataan digarap dengan betul.

Aku berpegang kepada prinsip bahawa setiap ilmu yang dipelajari wajib diamalkan sedaya yang mampu. Jadi, jika kita pernah mempelajari ilmu bahasa Melayu ini, kita perlu mengaplikasikannya dalam penulisan blog.

[+] Baca seluruh catatan ini..

Sabtu, April 11, 2009

Tabiat membuang sampah..

Assalamualaikum..

Sebagai permulaan catatan, perlu diingatkan kembali di ruang fikiran kita bahawa Islam sangat mengutamakan kebersihan. Kebersihan adalah salah satu daripada tanda keindahan deen (cara hidup) kita ini.


Melihat kepada budaya menjaga kebersihan di kalangan masyarakat Islam di negara kita, aku dapat membuat kesimpulan bahawa aspek ini dianggap begitu remeh oleh kebanyakan individu yang mengaku dirinya muslim, seolah-olah bab ini tidak ada dalam pelajaran agama kita.

Walhal jika kita merujuk mana-mana kitab Fiqh, kebanyakan ulama meletakkan tajuk kebersihan sebagai tajuk utama perbincangan sebelum memasuki tajuk-tajuk yang lain. Ini menunjukkan bahawa kebersihan sangat dititikberatkan agar diaplikasikan dalam kehidupan kita. Secara logik pun, kita perlu berada dalam keadaan suci sebelum dapat menunaikan amalan fardhu seperti solat lima waktu.

Memang tidak mudah untuk mengamalkan sesuatu supaya menjadi rutin kehidupan. Semuanya memerlukan didikan sejak awal dan latihan berterusan agar apa yang diamalkan itu menjadi sebati dengan jiwa dan tidak lagi terasa bebanan ketika melakukannya.

Jika kita suka memerhatikan gelagat masyarakat kita hari ini, bermacam-macam sikap manusia mampu membuat hati kita tertanya-tanya. Sesetengah tempat yang diletakkan papan tanda "dilarang membuang sampah di sini" dipenuhi dengan sampah yang dilonggok di kawasan tersebut. Adalah mustahil jika penghuni negara merdeka ini masih buta huruf!

Antara gelagat yang dapat diperhatikan juga ialah sikap membuang bungkusan makanan atau apa sahaja yang dikategorikan sebagai sampah, ke luar tingkap kereta dengan tiada langsung perasaan bersalah. Walhal, bila berlaku kejadian seperti longkang tersumbat dan seterusnya mengakibatkan terjadinya banjir kilat, tiada siapa pun tampil mengakui kesilapan sedangkan pembuangan sampah sewenang-wenangnya itu lah punca utama terjadinya tragedi yang tidak diingini tersebut.

Sebagaimana yang disebutkan tadi, perkara yang dianggap remeh ini memerlukan didikan, kesedaran, dan amalan berterusan kerana perkara ini melibatkan sikap manusia. Aku teringat pada zaman persekolahanku suatu ketika dahulu yang begitu banyak mencorak diriku pada hari ini. Daripada faktor didikan Abah dan Ma, sanak-saudara, guru-guru, teman-teman, sehingga lah faktor diri sendiri dan pengalaman yang mematangkan. Pengalaman kadang-kadang boleh menjadi guru yang paling baik!

Masih terngiang-ngiang di telingaku nasihat seorang ustaz ketika di bangku sekolah suatu ketika dahulu,

"Lepas makan gula-gula atau apa sahaja makanan, pembalutnya hendaklah dibuang ke dalam tong sampah. Kalau tidak kelihatan tong sampah di kawasan sekitar, kamu simpan dahulu pembalut itu di dalam kocek. Apabila nampak tong sampah, kamu boleh buang sampah itu ke dalamnya. Pada saat itu, kamu telah melakukan satu kebajikan. Alam akan bersih daripada pencemaran walaupun hanya daripada secebis pembalut makanan," begitulah nasihat yang terus aku amalkan ketika itu.

Sehingga sekarang, jika terlihat orang membuang sampah sesuka hati, hatiku menjadi sakit dan marah. Apa lah salahnya jika sampah itu disimpan seketika sebelum menemukan tempat yang sepatutnya untuk dibuang.

Kempen untuk memberikan kesedaran telah banyak dianjurkan tetapi tetap juga tidak dapat menyedarkan masyarakat. Entah sampai bila kempen akan terus dianjurkan tanpa mendapat natijah yang diharap-harapkan.

[+] Baca seluruh catatan ini..

Jumaat, Mac 20, 2009

Unikkah kembar?

Assalamualaikum dan bertemu kembali..

Secara logiknya, adalah lebih mudah untuk mencipta sesuatu yang sama berbanding menghasilkan sesuatu yang berlainan. Semakin besar kuantiti produk yang dihasilkan, semakin senanglah proses pengeluaran produk yang sama itu dan semakin sukarlah proses pengeluaran produk yang berbeza-beza itu. Produk-produk yang berlainan itu pastinya lebih unik daripada produk-produk yang sama.

Tetapi, produk-produk yang unik itu tidak lagi dipandang unik apabila kebanyakan produk adalah berlainan. Sebaliknya, produk-produk yang sama tadi dianggap unik apabila jarang dapat ditemukan.

Sebenarnya ayat-ayat yang aku falsafahkan di atas adalah suatu gambaran mengenai istilah 'kembar' atau lebih tepat lagi ialah 'kembar seiras'. Cuma bila dikaitkan dengan kekuasaan Allah, tiada suatu apa pun yang mustahil. Tiada yang sukar bagi Allah. Allah menterbalikkan logika tersebut, iaitu 'tidak kembar' yang sebenarnya adalah unik sudah dianggap tidak unik manakala 'kembar' yang sepatutnya tidak unik kerana diciptakan sama, sudah dianggap unik.


Sedar atau tidak, aku dijodohkan dengan kembar. Memang tidak terduga untuk berkongsi hidup dengan insan kembar di mana pada pandanganku suatu ketika dahulu, kembar amat jarang ditemui dan sesiapa yang mendapat jodoh dengan kembar sangat bertuah!

Mengikut pendapat beberapa teman, kembar boleh terjadi berdasarkan keturunan. Nampaknya ada juga benarnya kerana AbeKiman (abang isteriku) dikurniakan sepasang anak sulung lelaki yang kembar seiras, iaitu Afiq dan Adib. Sekarang mereka sudah berusia 11 tahun.

Ada juga yang berpandangan bahawa antara pasangan kembar tersebut akan ada satu pihak yang berkemungkinan tinggi mendapat zuriat kembar. Jika dilihat kepada situasi setakat hari ini, kembar isteriku (Ti) sudah mempunyai dua orang anak dan kedua-duanya bukan kembar, manakala isteriku sedang mengandung dan bayi tersebut juga tidak kembar mengikut pemerhatian semasa pemeriksaan kami di klinik.

Ini bermaksud bahawa jika Ti dikurniakan zuriat kembar, maka kebarangkalian untuk isteriku mendapat anak kembar adalah rendah. Begitulah juga sebaliknya, iaitu jika ditakdirkan isteriku dikurniakan zuriat kembar, kemungkinan Ti pula akan tipis untuk mendapat anak kembar.

Kembar juga dikatakan boleh berlaku apabila ibu mengandung mengamalkan pemakanan yang dapat meningkatkan kebarangkalian mendapat bayi kembar. Sejauh mana kebenaran dan keberkesanannya, semuanya bergantung kepada kehendak Yang Maha Pencipta.

Walau bagaimana pun, semua itu adalah mengikut ketentuan Allah. Apa yang lebih penting daripada isu kembar ini ialah apabila setiap zuriat yang dikurniakan kepada kita dapat dididik menjadi anak yang soleh/solehah serta musleh/muslehah, iaitu bukan sahaja baik budi pekertinya, malah dapat membawa kebaikan kepada manusia sejagat.

[+] Baca seluruh catatan ini..

Isnin, Mac 16, 2009

Selamat pengantin baru, Zukhairi..

Assalamualaikum dan selamat bertemu kembali..

Ahad lalu (8 Mac 2008), ketika kami berada di kampung halaman, salah seorang teman serumah denganku sewaktu bujang dahulu di Kampung Sungai Penchala, Damansara, telah melangsungkan perkahwinannya. Nampaknya tarikh yang dipilih adalah sama dengan tarikh kami diijabkabulkan tahun lepas. Aku berasa sedikit terkilan kerana tidak dapat meraikan majlisnya berikutan keutamaan kami untuk berada di kampung.

Teman yang dimaksudkan ialah Zukhairi. Walaupun kami berlainan kursus pengajian, tapi setelah ditempatkan di kolej kediaman yang sama di Universiti Malaya, seterusnya berpindah ke rumah sewa yang sama, ikatan persaudaraan kami semua di rumah itu semakin erat.

Selamat pengantin diucapkan kepada Zukhairi dan pasangannya. Semoga diberi kekuatan dalam melayari kehidupan berumahtangga yang penuh dengan dugaan.

P/s : Gambar adalah ihsan daripada blog Nasir.

[+] Baca seluruh catatan ini..

Jumaat, Mac 06, 2009

Terserempak dengan Azuan..

Assalamualaikum..

Ketika membeli makanan tengahari lebih kurang pukul 1.00 tadi, aku terpandang wajah yang cukup sinonim di mataku tetapi berlainan sedikit daripada gambaran yang hinggap di fikiranku saat itu.

Oh ye. Azuan! Teman lamaku ketika di Kolej MARA Seremban beberapa tahun yang lalu. Patut lah kelihatan wajahnya sedikit berlainan. Kami tidak bertemu hampir tujuh tahun setelah tamat pengajian di sana pada tahun 2002.

Azuan juga adalah antara teman-temanku yang berkahwin dengan pasangan yang juga aku kenali iaitu Matun. Kami bertiga memang berada dalam satu kuliah ketika di kolej dahulu.

"Assalamualaikum. Macam kenal je," aku menegur Azuan.

"Waalaikumussalam. Eh, Kulan," dia menjawab dengan sedikit terkejut.

"Jumpa kat sini kita ye. Kau tinggal kat mana?"

"Aku tinggal kat situ je," Azuan menjawab sambil jarinya menuding ke arah pangsapuri berdekatan.

"Kau pulak tinggal kat mana?" Azuan menyambung bicaranya.

"Aku kat Taman Lestari Putra. Ke dalam sikit dari sini," aku menjelaskan kepadanya.


"Matun apa khabar? Tak sangka, kan, kau kahwin dengan Matun. Dah jodoh la, katakan," aku sedikit mengusik.

"Matun sihat. Aku insyaAllah dapat baby bulan Mei ni. Kau pulak bila?"

"Ish, ish. Kau dulu rupa-rupanya. Padahal aku yang kahwin dahulu. Rezeki masing-masing, kan. Aku insyaAllah awal bulan Jun nanti," aku menjawab.

"Eh, Kulan, aku mintak diri dulu lah. Waktu rehat sekejap je ni. Nanti bila senang, datang la rumah aku," Azuan meminta diri.

"Takpe. Kau pun. Kalau free, datang lah rumah aku," aku juga mempelawanya.

"Ok, Kulan. Jumpa lagi!"

Azuan hilang daripada pandangan mataku. Satu sejarah pertemuan semula telah berlaku tengahari tadi.

[+] Baca seluruh catatan ini..

Rabu, Disember 24, 2008

Mendapat anak saudara kedua..

Assalamualaikum..

Pada 15 Disember 2008, iaitu beberapa hari yang lalu, abang iparku, Abelong telah menghantar satu pesanan ringkas ke telefon bimbitku. Aku dapat mengagak perasaannya yang sangat teruja ketika itu kerana Abelong sebenarnya menyampaikan satu berita yang gembira bagi kehidupan berkeluarganya bersama kakakku, Kaklong.

"Assalamualaikum. Alhamdulillah, Kaklong selamat bersalin pukul 2.55 petang. Lelaki," begitu ringkas mesej yang membawa khabar gembira itu.

Bayi yang baru lahir itu adalah anak kedua mereka setelah dikurniakan anak perempuan sebagai anak sulung pada tahun lalu.

Hari ini, Kaklong pula menghebahkan perkembangan mengenai nama bayi barunya itu.

"Salam. Hari ni baru buat surat beranak. Nama dia Nik Muhd Izzat," akhirnya nama anak saudaraku itu didaftarkan.

Aku tiba-tiba teringat akan anak sulung Kaklong. Nik Nurul Iffah namanya. Sungguh lincah. Sesuai dengan umurnya yang baru melepasi setahun. Kini, dengan adanya Nik Muhd Izzat, sudah pasti keluarga besar kami akan bertambah meriah. Tidak sabar rasanya ingin melihat anak saudara lelakiku yang pertama itu.

Pertengahan tahun hadapan, Iffah dan Izzat bakal mendapat sepupu pula. Beginilah indahnya kehidupan anugerah Ilahi kepada insan sejagat.

[+] Baca seluruh catatan ini..

Jumaat, September 12, 2008

SevenHeroes dan sejarahnya..

Assalamualaikum..

Sebelum bergelar suami, aku menyewa sebuah rumah di Kampung Sungai Penchala, Jalan Damansara, Kuala Lumpur, bersama-sama dengan sahabat-sahabat yang semuanya belajar di universiti yang sama, iaitu Universiti Malaya (UM).



Kebanyakan daripada kami (aku dan sahabat-sahabat), dahulunya ditempatkan di kolej kediaman yang sama pada awal-awal kemasukan kami di universiti tertua itu, iaitu Kolej Kediaman Kesembilan, atau nama rasminya ialah Kolej Kediaman Tun Syed Zahiruddin.



Kami semua sebenarnya bukanlah menghuni di rumah itu serentak. Penghuninya silih berganti. Aku pun bukanlah antara penghuni terawal di rumah itu.

Sejarahnya bermula apabila berlaku satu pergolakan di kolej kediaman kami suatu ketika dahulu, sewaktu hampir berlangsung pilihanraya kampus. Pada saat-saat sebegitu, sudah pasti 'perang' sedang hangat diletuskan di kalangan calon-calon yang bertanding. Beberapa orang sahabat telah meninggalkan kolej tersebut di atas sebab-sebab berunsur tuduhan lalu mula mencari-cari rumah untuk disewa.

Setelah mencari, mereka akhirnya menemukan rumah tersebut yang terletak di kawasan perkampungan, jauh dari kepadatan penduduk seperti di kawasan berhampiran dengan UM seperti di Kerinchi, Pantai Dalam, dan beberapa tempat lagi yang menjadi tumpuan pelajar-pelajar universiti perdana itu.

Pada masa itu, aku masih setia tinggal di kolej kediaman tersebut. Kadang-kadang, pada masa terluang, aku akan menghabiskan waktu hujung minggu di rumah mereka.

Hampir tiba pilihanraya kampus yang berikutnya, aku menerima sedikit ujian. Mungkin kerana sengaja ingin mencari alasan untuk menyingkirkan aku seperti sahabat-sahabat yang lain, aku dilemparkan dengan pelbagai tuduhan.

Setelah selesai berurusan dengan pihak pengurusan kolej kediaman dan bermacam-macam hal lagi sehingga dibawa ke pejabat keselamatan UM, aku mula nampak lakonan yang sedang dimainkan di hadapanku ketika itu. Apabila teringat kembali, terasa kelakar pula dengan sandiwara mereka untuk menakut-nakutkan aku itu. Biarlah peristiwa itu berlalu dan menjadi kenangan dalam lipatan sejarah hidupku.

Setelah selesai proses pembuangan dan pengiraan undi untuk pilihanraya kampus pada kali itu, aku tetap tidak disingkirkan daripada kolej. Tapi, hatiku sudah tidak 'hidup' di kolej yang penuh dengan kerakusan itu. Lalu, aku membuat keputusan untuk meninggalkan kolej itu. Aku tidak mahu lagi hidup di dunia seperti itu. Aku berpindah ke rumah sahabat-sahabatku tadi di Kampung Sungai Penchala. Jiwaku lebih tenang di sana, ditemani sahabat-sahabat yang memahami.

**********

Kedudukan rumah di Kampung Sungai Penchala yang bersebelahan dengan Taman Tun Dr. Ismail (TTDI) itu agak mendamaikan kerana suasananya yang tidak sesak dan kesegaran kampung masih terasa di pandangan mata.



Masjid juga tidak jauh dari situ. Malah, ada tiga buah masjid yang begitu dekat dengan rumah. Masjid yang paling dekat ialah Masjid Jamek Tengku Abdul Aziz Shah atau lebih senang disebut sebagai masjid sungai penchala. Dua buah masjid lagi ialah Masjid Taqwa di TTDI dan Masjid Ghufran, atau lebih dikenali sebagai Pusat Islam yang terletak di Pinggiran TTDI.

Secara ringkasnya, setelah penghuninya silih berganti, keluar dan masuk, akhirnya tinggallah kami bertujuh. Semuanya bekas penghuni kolej tadi kecuali Shah yang mengenali kami melalui Pidut kerana mereka berada dalam satu kumpulan nasyid di UM. Kebetulan pula, Shah adalah teman lamaku semasa di Kolej MARA Seremban.

Beberapa ketika selepas itu, setelah rumah itu disambungkan dengan perkhidmatan internet, Shah telah mencadangkan agar kami mempunyai satu blog untuk mencoret apa-apa sahaja mengenai kami. AbangZahar menyokong idea itu. Setelah mencuba beberapa nama tetapi gagal, akhirnya lahirlah blog SevenHeroes dengan jayanya.

Pada mulanya, aku hanya sekadar penambah seri kepada penulisan blog itu. Aku lebih menyerahkan tugasan mengemaskini kandungan blog itu kepada Shah dan AbangZahar memandangkan mereka begitu teruja sehingga terlahirnya idea mengenai penghasilan blog itu. AbangAlias, Pidut, Izuddin, dan Iidil sekadar mencoret apabila kadang-kadang diingatkan agar sama-sama memeriahkan blog itu.



Lama-kelamaan, Shah dan AbangZahar seolah-olah sudah kurang memberikan perhatian kepada blog itu. Pada masa yang sama, aku mengubah penampilan blog itu sedikit demi sedikit. Apa sahaja aktiviti kami, pasti aku nukilkan ke dalam blog itu kerana aku memang suka menulis.

Apabila blog SevenHeroes sudah menjadi kunjungan beberapa pemilik blog dan pengunjung maya yang lain, mereka semua menyangka blog itu adalah blogku memandangkan catatan-catatan di dalam blog itu kebanyakannya adalah hasil coretanku. Setiap kali mendapat tanggapan begitu, aku akan menegaskan kepada pelawat-pelawat bahawa blog itu adalah milik kami bertujuh.

Sekarang, setelah bertukar status daripada bujang kepada berkahwin, aku membangunkan blog ini (AzlanSajirah) untuk coretan dan nukilan kami suami isteri. Mengemaskini blog ini tidak memungkinkan aku untuk terus menulis di dalam blog SevenHeroes. Aku lebih suka mencoret laluan kehidupanku ke dalam blog. Disebabkan aku sudah tidak lagi berada di rumah bujang itu, kehidupanku sudah tidak berada di sana. Kehidupanku sekarang adalah kehidupan berkeluarga, iaitu kehidupan bersama-sama dengan isteri yang tercinta. Sudah pastinya, nukilanku juga adalah berbeza.

Sekarang, blog SevenHeroes sudah ditinggalkan kesepian tanpa dikemaskini oleh sesiapa. Bahkan, ia juga mungkin sudah dilupakan oleh enam orang lagi SevenHeroes yang tinggal itu.

Tidak dinafikan bahawa penghuni rumah di Kampung Sungai Penchala itu terus juga bertukar-tukar, seiring dengan keperluan untuk berpindah keluar, atau kehadiran orang baru untuk memenuhi keperluan masing-masing.

Izzudin sudah keluar dari situ kerana urusan kerjanya yang memerlukannya mencari tempat yang lebih dekat. Manakala seorang lagi kawan yang sekumpulan nasyid dengan Pidut dan Shah, iaitu Poji, telah menyertai sahabat-sahabat yang masih kekal di rumah itu.

Hari ini, semua perkara mengenai SevenHeroes telah menjadi kenangan yang begitu indah dalam hidupku. Diharap agar blog yang ditinggalkan sepi itu dapat disegarkan kembali!

[+] Baca seluruh catatan ini..

Disediakan oleh Tengku Azlan || Hakcipta Terpelihara © 2008