Selasa, September 09, 2008

Temuduga di Taman Equine..

Assalamualaikum..

Semalam, aku menghubungi nombor telefon yang tertera pada satu iklan jawatan kosong yang aku nampak tertampal di Taman Equine, tidak berapa jauh dari pasaraya Jusco. Jawatan kosong itu adalah untuk pereka grafik (graphic designer).

"Hello," aku memulakan perbualan.

Aku serba salah sama ada ingin memulakan perbualan dengan ucapan salam atau tidak, kerana aku tidak pasti mengenai orang yang berada di hujung talian, iaitu sama ada dia muslim atau tidak. Pada iklan yang aku baca, tidak tertulis nama pemilik nombor itu.

"Hello, siapa di sana?" kedengaran suara seorang lelaki, dan mengikut perkiraanku, itu suara orang melayu.

"Maafkan saya. Saya terbaca iklan mengenai jawatan kosong, iaitu graphic designer. Masih ada kosong ke?" aku terus menuju kepada tujuan aku menghubunginya.

"Ooo.. Kena datang interview lah. Ada pengalaman?" lelaki tadi bertanya.

"Saya baru graduate. Universiti Malaya. Bidang multimedia," aku menjelaskan statusku.

"Ok, macam ni. Datang esok, antara pukul 10.00 hingga 10.30 pagi. Di Taman Equine," dia akhirnya membuat keputusan.

"Dekat dengan tempat iklan tu ditampal ke? Kalau macam tu, tak jauh la. Saya tinggal di Taman Lestari Putra," aku menjelaskan.

"Ye. Kat situ la. Tingkat atas," dia mengiakan.

"Erk, boleh saya tahu, siapa di sana?" aku ingin mengetahui namanya untuk memudahkan urusan.

"Saya Nan. Itu pulak siapa?" dia memperkenalkan dirinya.

"Nama saya Tengku Azlan," perbualan di antara kami berakhir di situ.

Aku menghitung-hitung sendiri. Jika rezeki aku ada di situ, aku akan sangat-sangat bersyukur kerana memang dekat dengan rumahku. Aku tidak akan perlu bersesak-sesak dengan kesesakan jalanraya, jauh sekali untuk melalui plaza tol yang hanya akan menipiskan dompet sesiapa sahaja yang melaluinya.

**********

Pukul 10.15 pagi tadi, aku tiba di bangunan blok kedai di mana terletaknya iklan yang pernah aku baca mengenai jawatan tersebut. Kata Encik Nan semalam, memang pejabatnya berada di situ.

Aku baru perasan bahawa semalam, aku lupa untuk bertanya kepadanya akan nama syarikat itu. Aku lantas menghubungi telefon bimbitnya untuk mengesahkan nama syarikat itu agar aku tidak tersilap masuk ke pejabat lain. Panggilanku ke telefon bimbitnya tidak dijawab. Berkali-kali aku mendail semula, namun tiada tanda-tanda bahawa panggilan itu akan dijawab.

Aku keluar dari kereta untuk meninjau di sekitar bangunan itu. Kelihatan iklan yang aku maksudkan tadi masih tertampal di situ. Pada pintu masuk ke tingkat atas, kelihatan nama syarikat tertulis di situ.

'DIA (Dua Image Advertising)'

Tapi, pintu itu terkunci dengan mangga dari luar. Secara logiknya, memang tiada orang di dalam.

"Erm, kalau macam ni, lebih baik aku pergi isi minyak dulu, daripada menunggu di sini tapi orangnya takde," hatiku membuat perhitungan.

Aku memandu ke stesen Shell yang berhampiran untuk menunaikan keperluan keretaku yang sudah kehausan petrol.

Selesai sahaja petrol diisi, telefon bimbitku berbunyi. Tertera nama Encik Nan.

"Hello, dah sampai ke? Sekejap lagi saya sampai. Tunggu sekejap ye," dia memberitahu.

"Ye, saya dah sampai. Nama syarikat tu 'Dua Image Advertising' ke?" aku menjawab dan lantas bertanya.

Hatiku meronta-ronta mendesak agar aku memberitahu bahawa tadi aku sudah kepanasan menunggu dengan panggilan yang tidak dijawab. Tapi, desakan itu sebenarnya hanya bermain-main di dalam hati.

"Betul la tu. Tunggu ye," dia mengesahkan.

Setibanya aku di sana untuk kali keduanya hari ini, mangga pada pintu tadi sudah dibuka, menandakan sudah ada orang membukanya dan memasukinya.

Aku terus menaiki anak tangga menuju pejabat di ruangan atas. Seketika kemudian, seorang lelaki datang membuka pintu pejabat.

"Assalamualaikum," aku memberi salam lantas menghulurkan tangan sebagai tanda perjumpaan kami pada kali yang pertama.

"Waalaikumussalam," dia menjawab lantas tangannya menyambut tangan yang dihulurkan.

Memang dia adalah Encik Nan tadi. Kelihatan satu lagi kelibat manusia di dalam pejabat itu. Seorang wanita melayu yang tidak bertudung.

Kedua-dua orang tadi kelihatan berpakaian tidak formal. Mungkin sesuai dengan bidang syarikat mereka iaitu pengiklanan. Di dalam ruangan pejabat, banyak hasil kerja syarikat dipamerkan.

"Ok, macam ni ye. Kami ni syarikat pengiklanan. Perisian apa yang Azlan pernah guna untuk grafik?" Encik Nan memulakan sesi temuduga dengan santai dan separuh formal, di sofa yang berada di situ.

"Saya tahu dan sudah lama menggunakan Photoshop. Ilustrator dan InDesign, pernah guna tapi jarang. Walau bagaimana pun, asas tu, saya tahu," aku menjelaskan dengan jujur.

"Sebenarnya, kami di sini banyak menggunakan Ilustrator dan InDesign. Kami menggunakan Ilustrator untuk mereka grafik, dan InDesign digunakan jika item yang berbentuk buku ingin dihasilkan," Encik Nan menerangkan dengan panjang lebar.

"Kami selalunya menggunakan tenaga freelance, tapi kami menghadapi masalah apabila banyak tugasan tidak dapat disiapkan. Akhirnya, saya sendiri yang perlu menyiapkannya," beliau menambah.

Encik Nan menunjukkan beberapa contoh buku yang dihasilkan oleh syarikat mereka. Antaranya ialah buku-buku mengenai pelancongan bagi setiap negeri di Malaysia. Setelah membaca profil syarikat, barulah aku mengetahui bahawa syarikat itu memang hanya terdiri daripada mereka berdua.

Wanita tadi bernama Atika. Adnan pula adalah nama sebenar Encik Nan. Aku mengetahuinya melalui profil syarikat yang ditunjukkan kepadaku tadi.

Setelah Cik atau Puan Atika tadi menunjukkan beberapa lagi hasil kerja mereka yang berbentuk pengurusan majlis, dan aku bertanya apa sahaja yang terlintas di fikiran mengenai syarikat itu, aku mendapat sedikit gambaran mengenai kerja-kerja di situ. Kerja dalam bidang pengiklanan seperti itu, memang memerlukan kecekapan, kepantasan, dan perlu mengejar dateline.

"Ok lah. Kami akan menerima kehadiran beberapa orang lagi untuk ditemuduga. Jadi, kami tidak dapat membuat keputusan sekarang. Apa-apa hal, kami akan menghubungi Azlan. Lagi pun, rumah dekat je kan?" Atika menutup penjelasannya yang panjang lebar tadi.

"Ye. Jika dapat bekerja di sini, memang dekat sahaja dari rumah. Saya minta diri dulu ye. Terima kasih Encik Nan, Cik Atika," aku akhirnya meminta diri.

Sesi temuduga hari ini berakhir di situ.

Moga akan ada yang terbaik untukku dengan izin Yang Maha Kuasa dan Yang Maha Mengetahui.


Cetak catatan ini..

0 ulasan:

Disediakan oleh Tengku Azlan || Hakcipta Terpelihara © 2008