Rabu, Mac 10, 2010

Kenangan di Taman Tasik Perdana..

Assalamualaikum..

Akhir tahun lalu, kami sempat bersiar-siar di Taman Tasik Perdana, Kuala Lumpur. Tidak disangka-sangka bahawa itu kami akan berpindah secepat ini. Hari itu telah menjadi kenangan bagi kami bertiga sebelum meninggalkan ibu kota.




















[+] Baca seluruh catatan ini..

Ummair khusyuk mendengar azan..

Assalamualaikum..

Antara waktu yang sangat mengujakan kami sebagai ibu bapa kepada Ummair ialah ketika azan berkumandang sama ada dari masjid berhampiran atau dari kaca televisyen. Pada waktu azan mula berkumandang, mata Ummair akan mula terpaku di skrin televisyen seolah-olah sangat mengagumi seruan suci itu.


Tidak kira apa juga keadaannya ketika itu, jika mula mendengar azan, segala aktiviti tersebut akan terhenti seketika kerana mata dan telinga memberi sepenuh perhatian kepada suara itu.

Waktu ingin tidur juga tidak terkecuali. Jika mata sudah lali mengantuk, jika kebetulan azan berkumandang, mata dan telinganya akan menumpukan perhatian sehingga azan selesai.

Mungkin ada suatu keindahan dalam seruan itu yang menyentuh kalbu si anak kecil. Mungkin juga Ummair teringat akan suara azan abinya di saat kelahirannya, iaitu suara kalimah mulia pertama yang diperdengarkan kepadanya.

[+] Baca seluruh catatan ini..

Ummair dengan rusk pertamanya..

Assalamualaikum..

Pada minggu pertama kami berpindah ke Besut, kami mula memperkenalkan rusk sebagai makanan tambahan kepada Ummair selain bubur nasi dan puri buah yang telah diberikan sebelum ini. Nampaknya Ummair menerimanya dengan baik. Memang seronok melihat Ummair begitu menikmati setiap hidangan yang disajikan kepadanya. Tambahan pula sekarang gigi sudah tumbuh dua batang!














[+] Baca seluruh catatan ini..

Selasa, Mac 09, 2010

Koleksi lampin Ummair..

Assalamualaikum..

Walaupun di awal beberapa bulan pertama umur Ummair, kami pakaikan lampin pakai buang, namun akhirnya kami memiliki set lampin yang dipanggil cloth diaper atau CD. Lampin ini tidak dibuang, sebaliknya dibasuh setiap kali selepas digunakan.

Membasuh CD tidaklah rumit. Ia boleh dibasuh hanya dengan rendaman dan sentalan tangan, atau jika agak keberatan, CD juga boleh dibasuh dengan mesin basuh.

Koleksi CD Ummair dengan pelbagai warna :













Memang tidak dinafikan harganya agak mahal tetapi sangat berbaloi kerana kita hanya perlu mengeluarkan modal sekali, tetapi sangat tahan lama. CD yang sama juga mungkin masih boleh digunakan untuk anak-anak kita yang seterusnya.

Kerana harganya ini, pada permulaannya kami hanya membeli 6 keping. Selepas sebulan, baru kami tambah 6 keping lagi, menjadikan semuanya 12 keping sekarang. Jadi, CD sempat dibasuh untuk memastikan ia dapat digunakan keesokan harinya.

Walaupun harga lampin pakai buang jauh lebih murah iaitu beberapa sen sahaja sekeping, tetapi setiap hari kita memerlukan 7-8 keping lampin untuk dipakaikan dan selepas itu dibuang. Kiraan untuk seorang bayi sebulan ialah 240 keping. Jika anak lebih daripada seorang, tentu jumlah wang yang perlu dilaburkan semakin besar dan amaun lampin yang dibuang juga meningkat.

Inilah bumi kita sekarang..

Selain daripada faktor harga, faktor global ialah mengenai alam kita. Suatu masa nanti, akan tiba masanya di mana bumi kita sudah tidak lagi mampu menampung timbunan lampin pakai buang yang terlalu banyak sehingga menjadi bukit malahan gunung lampin.

Satu lagi kelebihan yang kami nampak setelah menggunakannya ialah, ruam-ruam kemerahan pada Ummair yang timbul ketika dipakaikan lampin pakai buang sudah hilang setelah dipakaikan CD.

Ini kerana, lampin pakai buang dilengkapi dengan bahan yang menyerap cecair dengan tujuan untuk menyerap air kencing bayi. Tetapi malangnya, bahan tersebut terlalu menyerap sehingga mengeringkan kulit bayi.

CD pula diperbuat daripada kain yang sangat lembut dan selesa pada kulit bayi. Kainnya menyerap cecair, tetapi pada masa yang sama, tidak mengeringkan kulit bayi.

Ummair seronok memakai CDnya..

Alhamdulillah, setelah beberapa bulan dipakaikan CD, Ummair kelihatan begitu serasi dan selesa. Kami sebagai ibu bapa juga seronok kerana walaupun memerlukan sedikit tenaga untuk membasuh, kami tidak menganggap tugas itu sebagai bebanan kerana minda kami sentiasa berfikir bahawa kami sedang menyelamatkan bumi daripada dilitupi timbunan lampin pakai buang!

[+] Baca seluruh catatan ini..

Ummair menyebut 'Abah'..

Assalamualaikum..

Bila kita sudah mempunyai anak, hidup kita akan sentiasa diceriakan oleh telatahnya. Begitulah juga keadaannya dengan putera kesayangan kami, Ummair.

Walaupun Ummair yang semakin lincah sekarang sudah banyak melatih Abi dan Ummi 'mengejar' kepantasan pergerakannya yang kadang-kadang ditakuti akan mencederakan dirinya, namun pada masa yang sama, Ummair juga dapat menghiburkan hati kami dengan gelagatnya yang comel.

Walaupun diajar untuk menyebut 'Abi' dan 'Ummi', Ummair tetap menyebut satu perkataan sahaja, iaitu 'Abah'..

Mari kita saksikan klip video ini..


[+] Baca seluruh catatan ini..

Isnin, Mac 08, 2010

Ummair pakai kopiah Abi..

Assalamualaikum..

Masa kecil, Ummair tak kisah bila dipakaikan kopiah dia. Tapi bila sudah 9 bulan dan mula cam orang sekeliling, Ummair mula sedar akan kopiah di atas kepalanya.

Pada satu hari, aku meletakkan kopiahku di atas kepalanya. Ummair langsung tidak memecatnya. Comel dan lucu pula kami lihat Ummair dengan kopiah Abinya itu.










[+] Baca seluruh catatan ini..

Ummair seronok mempamerkan gigi barunya..

Assalamualaikum..

Sekarang Ummair sudah ada gigi bawah dua batang. Di sini Ummair ingin mempamerkan dua batang gigi barunya itu.





Seronoknya dia!

[+] Baca seluruh catatan ini..

Kami di pantai Bukit Keluang..

Assalamualaikum..

Kehidupan baru kami di Besut sememangnya ada kelainannya berbanding kehidupan di Selangor. Di sini, kami jauh dari kesibukan bandar yang sangat padat dengan manusia pelbagai watak dan ragam.

Di sini, kehidupan kampung dapat dilihat di setiap tempat, dan yang paling menarik ialah rumah kami berdekatan dengan pantai Bukit Keluang.











Pantai ini sangat berbeza dengan pantai-pantai yang ada di Kelantan kerana pantai Bukit Keluang berdekatan dengan sebuah bukit. Mungkin bukit itu lah yang dinamakan sebagai Bukit Keluang.

Sebahagian besar pantai menghadap gua-gua yang menghiasi bukit tersebut. Kelihatan aktiviti memancing menjadi salah satu kegiatan yang menyeronokkan di pantai ini kerana setiap mata kail yang dicampakkan ke pesisir pantai pasti akan disambar oleh ikan-ikan di situ!

[+] Baca seluruh catatan ini..

Ulangtahun kedua perkahwinan kami..

Assalamualaikum..

Hari ini genaplah dua tahun usia perkahwinan kami. Pada tarikh ini dua tahun yang lalu, kami akhirnya selamat disatukan dengan ikatan yang sah sebagai suami dan isteri.

Akad nikah pada 8 Mac 2008..


Pasangan bahagia..


Semoga bahagia selama-lamanya..

Alhamdulillah, kami telah dikurniakan seorang putera hasil perkongsian hidup. Kebahagiaan kami bertambah sempurna dengan kehadiran Ummair.

Permata hati kami, Tengku Muhammad Ummair..

Jutaan penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada isteriku di atas segala pengorbanan dan kasih sayang yang diberikan selama ini. Semoga cinta kita berkekalan hingga ke syurga.

[+] Baca seluruh catatan ini..

Rabu, Mac 03, 2010

Realiti amalan solat hari ini..

Assalamualaikum..

Hari ini terdetik di hatiku untuk menulis mengenai realiti amalan solat di kalangan masyarakat kita di Malaysia pada masa kini. Sebenarnya sudah lama keinginan ini timbul setelah melihat situasi ini pada masyarakat persekitaran.


Walaupun negara ini sudah terkenal sebagai negara Islam di kaca mata dunia, namun kesedaran mengenai ibadah yang menjadi tunjang agama ini nampaknya benar-benar dianggap remeh. Islam hanya dilihat sebagai agama pengakuan semata-mata, sedangkan praktikalnya diabaikan.

Pengalaman berada di negeri pantai barat beberapa tahun telah membuka mataku mengenai situasi yang amat membimbangkan ini. Rupa-rupanya solat atau tidak solat bukanlah menjadi perkara penting di kalangan masyarakat kota yang sibuk dengan urusan kerja masing-masing.

Teringat pula kami adik-beradik semasa di alam persekolahan suatu masa dahulu. Kami sering diingatkan supaya tidak meninggalkan amalan solat walau sesibuk mana pun kami. Jika berkelapangan, kami berjemaah bersama-sama.


Berada di kalangan masyarakat yang jauh daripada solat mengejutkan aku pada awal-awal dahulu. Terasa janggal. Tetapi, rupa-rupanya kita yang menjaga solat pula dilihat janggal kerana menjaga setiap waktu solat. Bagi mereka, hanya orang yang bergelar ustaz atau yang seangkatan dengannya sahaja perlu menjaga solat.

Satu lagi perkara pelik mengenai solat ialah, mereka langsung tidak segan mengakui bahawa mereka memang tidak solat, sedangkan mereka bermati-matian mempertahankan kedudukan mereka sebagai muslim.

Inilah realiti masyarakat kita. Kita yang menyedari dan memahami perkara ini perlu menegur dengan berhikmah. Semoga isu ini juga akan dipandang serius oleh pihak yang berkenaan suatu masa nanti.

[+] Baca seluruh catatan ini..

Disediakan oleh Tengku Azlan || Hakcipta Terpelihara © 2008