Rabu, Ogos 06, 2008

Akhirnya aku berjaya bergelar graduan..

Assalamualaikum..

Setelah menempuh pelbagai suka duka pengajian di Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat, Universiti Malaya, akhirnya aku berjaya menamatkan pengajian walaupun agak lewat berbanding teman-teman yang lain.


Petang semalam, Abah, Ma, dan AdikJiha (adik bongsuku) tiba di hentian petronas Putrajaya. Mereka datang dengan bas. Kami singgah mengambil mereka setelah pulang dari kerja. Malam itu, mereka tidur dan berehat di rumah kami.

Pagi tadi, kami bertolak pukul 7.00 pagi, padahal mengikut perancangan, kami ingin bertolak seawal 6.30 pagi. Kami silap kerana di pertengahan jalan, kesesakan jalanraya begitu teruk! Hampir pukul 9.00 pagi, baru kami berjaya memasuki pintu pagar Universiti Malaya.

Aku agak gelabah kerana sudah begitu lewat. Mengikut dalam aturcara yang diberi, para graduan mesti berkumpul di luar Dewan Tunku Canselor (DTC) pukul 7.30 pagi. Nasib baik la, kelihatan ada beberapa orang yang senasib denganku.


Setelah dipakaikan jubah konvokesyen oleh jawatankuasa yang bertugas, aku dibenarkan masuk ke dalam DTC. Majlis belum bermula. Tidak lama selepas itu, Raja Dr. Nazrin dan beberapa orang ahli akademik yang terlibat, berjalan masuk, diiringi oleh muzik latar dan hadirin berdiri tanda hormat. Baginda memulakan titah dan sedikit ucapan.

Sedar tak sedar, aku sudah dipanggil untuk beratur. Akhirnya, aku berjaya menggenggam segulung ijazah di tangan.

Setelah keluar dewan, aku mencari ahli keluargaku. Tadi, Abah dan isteriku masuk dewan sebagai tetamu memandangkan hanya 2 orang tetamu dibenarkan masuk bagi setiap graduan. Ma berada di luar dewan, menjaga AdikJiha dan menunggu Kakcik, adikku, yang datang bersendirian dari rumah sewanya di Sungai Buloh.

Cari punya cari, akhirnya aku nampak kelibat Kakcik. Lepas tu, baru nampak Abah, Ma, isteriku, dan AdikJiha di sekitar itu juga. Isteriku menghadiahkan sejambak bunga yang begitu indah. Aku sungguh terharu.



"Tahniah, bang! Bunga ini untuk Abang."

"Terima kasih, Sayangku."

Kami bergambar. Kemudian, kami bertemu dengan Wak. Semasa kami di Gazebo, Daud tiba. Tidak lama selepas itu, AbgAlias pula muncul. Semuanya mengucapkan tahniah kepadaku.

Wak dan AbgAlias beredar kerana ada hal. Daud masih menyertai kami. Kemudian, tiba pulak anak saudara isteriku, yang juga sinonim dengan panggilan Kakcik. Dia pelajar baru di Universiti Malaya. Kebetulan pula, dia ditempatkan di kolej kediaman yang pernah aku diami suatu ketika dahulu, iaitu Kolej Kediaman Kesembilan atau Kolej Kediaman Tun Syed Zahiruddin.

Kami singgah di gerai Persatuan Mahasiswa Kelantan Universiti Malaya (PMKUM) untuk makan. Terkenang pula zaman aku menjadi exco persatuan itu beberapa tahun yang lalu. Banyak juga pengalaman yang sempat ku timba di dalam persatuan itu.


Selesai makan, Kakcik (anak saudara isteriku) meminta izin undur ke kelas. Aku berjanji dengan Daud untuk ke fakulti kami, untuk bergambar. Dia beredar dahulu.

Kami menyusul selepas itu. Setelah bergambar dan solat Zohor di surau fakulti, kami bertolak pulang. Setelah menghantar adikku, Kakcik, ke stesen LRT Universiti yang berhampiran dengan UM, kami memulakan perjalanan pulang ke rumah. Setelah singgah di rumah AbeMan KakMah, kami pulang.

Setelah siap berkemas, lepas solat Maghrib, kami bertolak ke hentian bas seperti semalam untuk menghantar Abah, Ma, dan AdikJiha. Mereka mengambil keputusan untuk terus bertolak pulang malam ini juga.

Setelah bas tiba dan bertolak, kami pulang ke rumah dengan keletihan.

[+] Baca seluruh catatan ini..

Selasa, Julai 29, 2008

Kawan-kawan lama..

Assalamualaikum..

Hari ini, aku ke Universiti Malaya (UM) untuk mengambil jubah konvokesyenku.


Setelah beberapa bulan meninggalkan dunia pengajian di sana, terasa seronok dapat bila terserempak dengan kawan-kawan sefakulti yang datang ke UM dengan tujuan yang sama.

"Petet, Mukmin, korang pun konvo tahun ni ke?", aku menegur mereka.

"A'ah. Kita konvo sama-sama lah tahun ni.", Petet menjawab, mewakili mereka.

"Isteri mana?", Mukmin yang hanya melihat foto-foto perkahwinan kami di dalam blog, mula bertanya.

"Hari ni tak bawak la. Kerja. InsyaALLAH hari kita konvo nanti, dia ada sekali.", aku menjawab.

Semasa melihat-lihat gerai-gerai yang dibuka untuk tempahan foto pengambilan ijazah di dalam dewan nanti, tiba-tiba ada tangan mencuit bahuku dari belakang. Aku berpaling.

"Kulan!"

"Eh, Badri!"

"Wah! Lama tak jumpa. Akhirnya kita jumpa di sini ye. Tinggal kat mana sekarang?"

"Seri Kembangan. Sebenarnya, kawe dah berkahwin."

"Owh, ye ke? Tahniah! Lama sungguh kita tak jumpa ye? Tup, tup, demo nnikoh doh!"

Banyak juga yang kami bualkan. Maklum la, kami kenal ketika mula-mula masuk UM. Kami ditempatkan di kolej kediaman yang sama tapi kami bukan dari fakulti yang sama. Dia orang Terengganu. Dikenali dengan Ahbais (Ahmad Badri Ismail).

**********

Teringat pula sewaktu mula-mula ingin berjinak-jinak dengan KL. Waktu tu, aku dan Badri ingin pergi ke Kuala Lumpur Convention Center (KLCC). Kami dengan beraninya mencuba untuk ke sana dengan sebuah motosikal. Motosikal Badri. Aku membonceng di belakang.

Masih segar di dalam ingatan ketika kami di tengah-tengah jalan mencari KLCC. Nampak sudah dekat di depan mata, tetapi semakin ingin didekati, KLCC semakin jauh pula.

Setelah bermacam-macam ujian, akhirnya kami menemukan KLCC setelah beberapa kali tersesat walaupun mengikut papan tanda.

**********

Aku tersentak daripada kenangan itu bila Badri bersuara.

"Ok la, Kulan. Ada masa nanti, kita jumpa lagi. Kawe konvo hari sabtu."

"Ok. Kawe konvo hari rabu."

"Kirim salam kepada orang rumah ye."

Kami berpisah di situ.

[+] Baca seluruh catatan ini..

Ahad, Julai 13, 2008

Sambutan yang ringkas..

Assalamualaikum..

Setelah berbincang, akhirnya kami memilih hari ini untuk membuat sedikit sambutan hari lahirku, memandangkan semalam, aku terpaksa bergegas ke Kayu Ara atas urusan kerja.

Istimewanya sambutan ini berbanding dengan yang lain ialah, isteriku membuat sendiri kek untuk aku. Aku berasa amat-amat dihargai dan terharu.

Sebenarnya, kami tidak lah membuat besar-besaran. Hanya cukup sekadar untuk menjadi kenangan terindah dalam hidup kami. Disebabkan kebetulan AbeMan dan KakMah tinggal tidak berapa jauh dari rumah kami, kami menjemput mereka sekeluarga.

"Terima kasih, Sayangku.."

[+] Baca seluruh catatan ini..

Khamis, Julai 10, 2008

Hari lahirku yang ke-26..

Assalamualaikum pengunjung-pengunjung sekalian..

Hari ini adalah ulangtahun kelahiranku yang ke-26.

"Selamat hari lahir yang ke-26, Abang."

Ungkapan di atas adalah ucapan pertama yang aku terima pada hari yang penuh makna ini. Sudah pastinya, ia diungkap oleh orang yang paling istimewa dalam hidupku, iaitu isteriku.

"Terima kasih, Sayangku.", aku membalas ucapan ikhlasnya itu.

Adik-beradikku (Kaklong, Kakcik, dan Ita) juga tidak ketinggalan mengirimkan mesej untuk meraikan aku. Aku amat menghargai ingatan tulus mereka itu.

Menjelang petang, kawan sefakultiku suatu ketika dahulu, Daud, menghantar mesej. Katanya, ingin bertandang ke rumah kami malam ini. Kami tidak keberatan kerana kami tidak merancang untuk ke mana-mana pada waktu malam.

Daud..


Lebih kurang pukul 9.00 malam, Daud tiba ditemani dua orang lagi kawan yang juga aku kenali mereka, iaitu Korak dan Arm. Itu pun, kami keluar mencari mereka bila mereka mula sesat. Maklum lah, ini adalah kali pertama mereka berkunjung ke rumah kami setelah ku berikan alamat petang tadi.

Setelah berbual-bual, isteriku menghidangkan sedikit kuih. Banyak juga yang kami bualkan memandangkan sudah agak lama kami tidak bertemu.

Sebelum pulang, Daud meninggalkan kad hari lahir dan hadiah. Aku agak terharu kerana dia mengingati tarikh ini.

[+] Baca seluruh catatan ini..

Ahad, Jun 15, 2008

AbeMat dan Zati..

Assalamualaikum..

Malam ini, kami masih di rumah KakMah, menunggu AbeMan tiba dari kampung.

"Su, AbeMan datang dengan AbeMat.", KakMah memberitahu isteriku yang juga adiknya itu.

"Oh, ye ke? Kenapa pulak?", isteriku bertanya.

"Fatin tu, nak keluar kolej yang dia daftar hari tu. Katanya, tak tahan dengan suasana kolej dan asrama. AbeMat datang ni, nak ambil dia lah.", KakMah menjelaskan.

Aku jadi teringat kepada hari kami menemani AbeMat dan KakYah menghantar Fatin ke Kolej Islam Antarabangsa tersebut. Jika difikirkan, memang tidak mustahil untuk berasa begitu kerana aku sendiri melihat asrama tersebut yang diragui akan keselamatannya.

Tidak lama selepas itu, AbeMan tiba. Rupa-rupanya, bukan AbeMat sahaja, tetapi juga anak sulungnya, Zati. Mereka akan membeli tiket dan pulang ke kampung bertiga; AbeMat, Zati, dan Fatin.

Setelah agak lewat, kami meminta diri untuk pulang kerana esok adalah hari bekerja.

[+] Baca seluruh catatan ini..

Sabtu, Jun 14, 2008

Menemani KakMah dan anak-anak..

Assalamualaikum..

Malam, kami ke rumah AbeMan untuk menemani KakMah dan anak-anak mereka kerana AbeMan pulang ke kampung dengan AbeSul.

Kami tidur di sana semalaman.

[+] Baca seluruh catatan ini..

Khamis, Jun 12, 2008

Kursus cendawan..

Assalamualaikum..

Petang, balik dari tempat kerja, kami singgah di rumah AbeMan. AbeSul (abang isteriku) ada. Dia datang dengan AbeMan sekeluarga dari kampung.



Sebelum bertolak pulang, AbeMan memberikan sedikit cendawan. Dia dan AbeSul sebenarnya dalam proses untuk memulakan penanaman cendawan tersebut. AbeSul datang ke sini pun kerana ingin mengikuti kursus cendawan di sini.

[+] Baca seluruh catatan ini..

Khamis, Jun 05, 2008

Ke Kota Damansara dan Damansara Damai..

Assalamualaikum..

Hari ini, isteriku ada peperiksaan di Universiti Putra Malaysia (UPM). Aku menghantar isteriku ke sana dan meninggalkan Ita dan Tek di taman permainan yang tidak jauh dari rumah kerana memikirkan kemungkinan mereka bosan hanya berada di rumah.



"Abengoh nak pergi hantar Kakngoh sekejap. Main lah dulu di sini ye. Kalau nak balik, jalan kaki je. Dekat je. Nampak dari sini, kan? Ni kunci rumah.", aku berpesan kepada mereka.

"Ok, Abengoh.", Ita menjawab.

Setelah isteriku selesai dan kami pulang, bila tiba di taman permainan tadi, kelihatan mereka masih di situ. Nampaknya mereka seronok bermain di situ.

"Ita, Tek, jom balik!", aku memanggil mereka.

Setelah tiba di rumah, kami bersiap-siap untuk keluar.

Mula-mula, kami ke Kota Damansara. Restoran sepupu Abah ada di situ. Aku pernah bekerja di situ semasa masih dalam pengajian di Universiti Malaya (UM) suatu ketika dulu. Kami singgah di restorannya.

"Pakngoh dan Makngoh sihat?", aku menegur mereka.

"Alhamdulillah", Makngoh mewakili mereka berdua.

Setelah dihidangkan makanan, kami makan sambil berbual-bual.

Selepas itu, kami meminta diri untuk ke rumah Ayahcik pula; adik Abah di Damansara Damai.

Setibanya di sana, Ayahcik belum pulang dari kerja. MakcikLah ada di rumah bersama 2 orang anak mereka.

"Masuk lah Abengoh.", MakcikLah mempelawa kami semua.

"Terima kasih. Ni Abengoh nak tinggal Ita dan Tek di sini.", aku memberitahu.

"Erm, kami dah tahu. Ma dah beritahu. Ayahcik pun dah belikan tiket untuk Ita dan Tek. Malam esok."

"Baguslah kalau begitu."

Sebenarnya, memang sudah dirancang. Ma sudah meminta Ayahcik belikan tiket balik kampung kepada Ita dan Tek, dari rumah Ayahcik.

Tidak lama selepas itu, Ayahcik tiba. Kami bersalam-salaman.

"Baguslah datang malam ni. Boleh la Ayahcik bawa Ita dan Tek jalan-jalan, esok. Malam esok, dah kena naik bas.", Ayahcik bersuara.

"Ayahcik bawa lah mereka ni ke mana-mana. Datang jauh-jauh, cuti sekolah ni, rugi kalau tak makan angin.", aku menambah.

Setelah agak malam, kami bertolak pulang.

[+] Baca seluruh catatan ini..

Rabu, Jun 04, 2008

Ke Masjid Putra..

Assalamualaikum..

Selepas maghrib, kami keluar membawa Ita dan Tek ke Masjid Putra, Putrajaya. Sempena cuti sekolah mereka, rugi rasanya jika tidak membawa mereka ke masjid yang sangat dikenali itu memandangkan sudah tidak berapa jauh dari rumah kami.



Kebetulan pula, ada layar air di dalam tasik di persekitaran masjid itu. Kami tidak menjangka kerana kalau diikutkan iklan yang ditampal di mana-mana jalan di Putrajaya ini, tarikh layar air tersebut dipersembahkan sudah habis.

Mungkin kerana ada permintaan daripada orang ramai, maka tarikhnya dilanjutkan.

Beberapa jam kemudian, kami bertolak pulang. Kami keletihan.

[+] Baca seluruh catatan ini..

Isnin, Jun 02, 2008

Singgah di rumah AyahDi..

Assalamualaikum..

Tengahari semalam, kami pulang ke rumah Mek kerana isteriku risau akan keadaan ibunya itu.

Pagi tadi, kami sudah siap mengemaskan barang-barang untuk bertolak pulang ke Kuala Lumpur. Disebabkan 2 orang adikku, iaitu Ita dan Tek, nak ikut kami bersempena cuti sekolah ini, kami mesti ke rumah Ma untuk mengambil mereka.

Tiba di rumah Ma, kelihatan mereka berdua sudah pun siap. Nampaknya, mereka tidak sabar-sabar ingin mengikut kami. Barang-barang dimuatkan ke dalam kereta.

"Nanti jangan lupa singgah di rumah AyahDi di Kuala Krai. Alang-alang akan lalu situ. Kalau lain kali, tak tahu bila pulak dapat singgah. Nanti kami akan menyusul.", Ma mengingatkan sekali lagi.

"Baiklah Ma. Kita jumpa di sana la ye.", aku menjawab.

AyahDi ialah bapa saudaraku; adik kepada Abah. Tidak lama setelah kami tiba, kelihatan kereta Abah tiba. Abah, Ma, dan adik-adikku semuanya ada.

Setelah agak lama, menjamu selera dan berbual-bual, kami meminta diri untuk berangkat kerana matahari sudah agak meninggi. Kalau boleh, kami ingin tiba sebelum malam menjelma.

Sebelum bertolak, kami menyalami keluarga dan saudara-mara yang ada.

Di pertengahan jalan, kami berhenti di R & R Gua Musang untuk solat dan membeli makanan.

Menjelang malam, kami tiba di rumah kami di Seri Kembangan.

[+] Baca seluruh catatan ini..

Disediakan oleh Tengku Azlan || Hakcipta Terpelihara © 2008