Rabu, Mei 07, 2008

Hari jumaat di kampung..

Assalamualaikum..

Pagi jumaat, 2 Mei 2008, pagi-pagi lagi aku turun ke belakang rumah Mek, membantu AbeKiman menyambung kerja-kerja membina tandas untuk Mek. Nanti, bila sudah siap, boleh lah Mek dipindahkan ke bilik itu. Air tidak perlu lagi diangkut sebaldi demi sebaldi ke dalam bilik. Sementara tandas itu siap, Mek ditempatkan di dalam bilik depan, berhampiran dengan pintu utama rumah.


Anak-anak dan menantu-menantu lelaki sibuk sama-sama bergotong-royong untuk menyiapkan tandas tersebut; aku, AbeKiman, AbeMan, AbeSul, dan Mat. Ayah yang begitu berpengalaman dalam bidang pertukangan rumah pun turut sama membantu. Tetapi, disebabkan ramai anak dan menantu lelaki, belum sempat Ayah nak buat sesuatu, dah siap kami 'kerja'kan. Akhirnya, Ayah terpaksa menjadi penasihat dan hanya memberi tunjuk ajar sahaja.


Fikiranku tiba-tiba melayang jauh, mengimbas peribadi bapa mertuaku itu.


***************


Ayah memang rajin. Walaupun sudah agak berusia, selagi dia berasa larat untuk membuat kerja, dia akan turun ke padang, menguruskan lembu peliharaannya yang sudah tinggal seekor itu, atau membersihkan kawasan belakang rumah yang ditanam olehnya dengan bermacam-macam pokok buah-buahan itu.


Bapa mertuaku (Ayah)


Mek selalu risau dengan kerajinan Ayah itu kerana umur Ayah sudah lanjut. Walaupun dinasihatkan oleh Mek supaya hanya berehat di rumah, Ayah tidak menghiraukan nasihat itu. Teringat pula pada petang sebelum malam akad nikahku, ketika aku mendapat panggilan telefon daripada isteriku (bakal isteriku ketika itu),

"Abang, Ayah jatuh di padang. Sekarang sudah dibawa ke klinik!", suara isteriku kedengaran di hujung talian.

Cemas juga ketika itu kerana di saat kedua-dua belah keluarga sedang kelam-kabut membuat persiapan untuk majlis akad malam itu, terjadi pula perkara yang tidak terduga seperti itu. Aku dimaklumkan bahawa Ayah terketar-ketar seolah-olah kesejukan dan lidahnya kelu tidak dapat bercakap.


Ketika aku tiba sebagai bakal pengantin pada malam itu, Ayah sudah dibawa pulang dan sudah boleh bercakap. Cuma, Ayah tidak dapat berdiri dan berjalan. Ayah hanya duduk bersandar di satu sudut rumah sepanjang majlis malam itu berlangsung.


Salah satu perkara yang aku kagum dengan Ayah ialah, walaupun sudah begitu berusia, Ayah tidak menghidap sebarang penyakit yang berat dan serius, sebagaimana kebiasaannya dihidapi oleh kebanyakan warga emas seusia dengannya.


Mungkin itu adalah berkat kerajinan Ayah membanting tulang empat keratnya tanpa mengira masa. Ayah jatuh di padang pada petang itu pun mungkin hanya kerana kehabisan tenaga tuanya lantaran kerja yang dilakukannya itu memerlukan kudrat yang lebih besar.


***************


Lamunanku terhenti di situ apabila terdengar bermacam-macam celoteh ipar-ipar dan biras-birasku di tapak tandas yang sedang dibina itu. Ada sahaja perkara lucu yang boleh digelakkan jika ada AbeMan. Tidak kering gusi dibuatnya. Setiap masa, ada saja ideanya. Yang lain pula akan menambah senda untuk menghidupkan lagi suasana ceria itu. AbeHim (suami KakDah) yang baru tiba juga tidak ketinggalan meraikan kemesraan yang wujud itu.


Terasa begitu indahnya mendapat keluarga baru dalam suasana yang lebih merapatkan kami itu. Seperti yang pernah aku coretkan, memang ada hikmahnya peristiwa yang menyebabkan kami semua terpaksa pulang ke kampung ini, iaitu aku dibentangkan peluang seluas-luasnya untuk lebih mengenali keluarga isteriku.


Aku sangat bersetuju dengan kata-kata ilmuwan bahawa perkahwinan bukan hanya menyatukan dua hati suami dan isteri, tetapi juga menyatukan 2 buah keluarga. Jika sebelum ini aku mempunyai seorang ayah, seorang ibu, dan 9 orang adik-beradik, sekarang aku sudah punya 2 orang ayah, 2 orang ibu, dan 18 orang adik-beradik. Alangkah indahnya syariat Allah ini jika berjaya dihayati dan difahami oleh semua.


Menjelang tengahari, AbeMan sudah menghilang. Dia ke Hospital Pasir Mas untuk menjenguk ayahnya (Aboh) yang kebetulan sedang sakit juga. Kami yang lainnya mula masuk ke dalam rumah, bersiap-siap untuk ke masjid bagi menunaikan Solat Fardhu Jumaat.


Aku, AbeHim, dan Mat, sudah siap. Kami menunggu AbeKiman yang sedang mandi. Memandangkan azan sudah berkumandang di udara, kami bertiga membuat keputusan untuk berangkat dahulu ke masjid yang berhampiran dengan menaiki kereta Mat. Ayah sudah ke masjid seawal setengah jam sebelum azan tadi, dengan basikal tua kesayangannya. Katanya, tidak ingin terlepas untuk berada di dalam saf paling hadapan.



Pulang dari masjid, kami yang lelaki dihidangkan dengan makanan tengahari. Setelah menyambung sedikit kerja-kerja membina tandas itu, aku berhenti lebih awal kerana telah berjanji dengan isteriku untuk keluar membeli lauk memandangkan kami di rumah Mek sudah kehabisan lauk.


Setelah pulang dari Pasaraya Bilal, dan menghantar lauk yang dibeli itu ke dapur, kami bersiap-siap untuk pulang ke rumah Ma.


"Mek, kami nak balik rumah Ma.", aku memulakan bicara.

"InsyaALLAH, esok kami balik sini semula, Mek. Nak balik ke sana sekejap je memandangkan keadaan Mek masih macam ni.", isteriku menambah.

"Erm, elok la tu. Kena balik rumah Ma sebab dah ada kat kampung. Nanti kecik hati dia kalau langsung tak jenguk dia. Dia pun mesti rindu pada menantu baru dia.", Mek menyokong supaya kami pulang menjenguk keluargaku.

Sesampainya kami, Ma kebetulan berada di pintu pagar. Dia membuka seluas-luasnya pintu pagar itu sebagai tanda sangat mengalu-alukan satu-satunya menantu perempuannya itu. Mesti adik-adikku sangat merindui kami, lebih-lebih lagi isteriku, KakNgoh mereka, sebagai ahli baru dalam keluarga kami. Semua ada, kecuali Kaklong yang menetap bersama suami dan seorang anaknya di Parit Buntar, Perak, dan adik lelakiku, AbeCik, yang kini sedang melanjutkan pelajaran perubatannya di New Zealand.


Masuk ke dalam rumah, kami disambut oleh adik-adikku; Kakcik, Ita, Wan, Azida, dan AdikJiha. Azhan pula kelihatan sedang belajar mengaji dengan Abah.



"Abengoh, lepas ni kita pergi rumah MakcikYah ye. Hari ni dia buat majlis hari lahir Ati. Takde makanan pun takpe. Sekurang-kurangnya, dapat masuk rumah dia sebab lepas kahwin hari tu, tak sempat kenal rumah dia, kan?", Ma memberitahu kami bahawa ibu saudaraku itu membuat sambutan hari lahir anak bongsunya.


Selepas majlis kahwin kami lebih kurang 2 bulan lepas, kami hanya sempat menziarahi Mok (nenekku) dan Maklong (ibu saudaraku). Berikutan masa kami yang begitu terhad ketika itu, kami tidak sempat ke rumah MakcikYah yang hanya berada di tengah-tengah antara rumah Mok dan rumah Maklong itu.


MakcikYah


Kami terus berjalan ke rumah MakcikYah yang tidak jauh dari rumah Ma. Ma, Kakcik, dan Ita juga ikut sama. Adik-adik yang lain sudah pergi siang tadi. Setelah menikmati bihun masakan MakcikYah dan beberapa hidangan yang lain, dan berbual-bual dengan PakcikYi dan MakcikYah, kami pulang ke rumah Ma.


Sebelum kami bertolak ke rumah Mek, sempat lagi Ma beri tudung kepada menantunya. Semasa aku pulang ke rumah Ma seorang diri malam sebelumnya, aku bercerita bahawa kami tidak menemukan tudung yang dicari. Tidak ku sangka, Ma telah membelinya pagi itu.

[+] Baca seluruh catatan ini..

Hari khamis di kampung..

Assalamualaikum..

Pagi khamis, 1 Mei 2008, masing-masing sibuk menguruskan Mek dan melayan tetamu-tetamu yang tidak putus-putus datang menziarahi Mek. Terdengar bunyi ketukan di belakang rumah. Rupa-rupanya AbeKiman sedang membuat tandas untuk Mek, di bilik berdekatan dengan dapur.


Aku turun untuk membantu apa yang mampu dibantu. Kelihatan ipar dan birasku yang lelaki sudah berada di situ; AbeKiman dan Mat. Mereka sedang mendirikan bata untuk dijadikan dinding tandas tersebut. Aku menolong menggaulkan simen dengan pasir dan air.


Lebih kurang pukul 3.30 petang, aku keluar ke KB Mall bersama isteriku. Sebenarnya, isteriku ingin mencari kain tudung yang ringkas (tak tahu pulak apa nama tudung jenis itu) untuk dipakai di dalam rumah bila ada ipar atau biras lelaki (bukan mahram). Bila ada tetamu bertandang, pemakaian tudung di dalam rumah mesti lebih diperlukan.


Setelah tidak menemukan tudung tersebut, kami membuat keputusan untuk mencari di tempat lain pada hari yang lain. Sebelum pulang, kami membeli beberapa buah tangan untuk dibawa pulang ke rumah Mek. Lebih kurang pukul 6.00 petang, kami tiba di rumah Mek.


Setelah masuk ke rumah Mek, aku terus bersiap untuk pulang ke rumah Ma kerana ada orang kampung (MakTeh) menjemputku untuk mengaji di rumahnya berikutan genap 40 hari kematian suaminya (PakTeh). Ma telah membawa pesanan itu semalam, ketika datang menziarahi Mek.


Seketika, aku jadi teringat kepada arwah Pakteh yang terkenal begitu gigih mencari rezeki untuk anak-anaknya yang ramai itu. Tidak pasti pula setua mana usianya kerana seingatku, sejak aku kecil, begitulah keadaannya sehingga kali terakhir aku melihatnya beberapa hari sebelum majlis perkahwinanku. Dia selalu kelihatan mengayuh basikal tuanya keluar dari kampung pada waktu pagi, dan pulang pada lewat petang. Tidak terduga akan pemergiannya kerana sepanjang hayatnya, dia tidak mempunyai penyakit yang berat dan serius.


"Mek, Lan nak balik rumah Ma sekejap ni. Ada orang jemput mengaji di kampung. Malam ni Lan balik tidur di rumah Mek.", aku meminta izin daripada Mek.

"Jie tak ikut?", Mek bertanya.

"Tak, Mek. InsyaAllah, esok Lan bawak Jie balik rumah Ma.", aku menjelaskan perancangan kami kepada Mek.

"Ooo.. Kirimkan salam Mek kepada Abah dan Ma ye..", Mek berpesan.

"Baiklah Mek. InsyaAllah.", aku mencium tangan kanan Mek sambil meminta diri.

Sampai di rumah Ma lebih kurang pukul 7.30 malam, aku terus bertemu dengan Abah, Ma, dan adik-adik. Aku mencium tangan Abah dan Ma, sebagai tanda aku menghormati dan menyayangi mereka setulus hatiku. Rinduku pada kampung halaman akhirnya terubat kerana inilah kali pertama aku pulang sejak majlis perkahwinanku hampir 2 bulan yang lalu. Itu pun, kami hanya sempat bermalam 2 hari di rumah Ma, kemudian terus bertolak ke Kuala Lumpur kerana cuti yang agak terbatas. Mereka juga sangat merindui menantu dan ipar baru mereka kerana belum sempat mengenali isteriku dengan lebih rapat. InsyaAllah, jika tiada aral, aku akan membawa isteriku pulang pada hari esoknya.


Selepas solat isyak berjemaah di rumah, aku, Abah, dan adikku Azwan, pergi ke rumah MakTeh. Memandangkan rumah MakTeh tidak jauh, kami hanya berjalan kaki ke sana. Setelah majlis tahlil selesai, aku, Abah, dan beberapa orang lagi penduduk kampung memulakan bacaan Al-Quran. Lebih kurang pukul 11.00 malam, baru selesai. Aku terus berjalan balik ke rumah Ma setelah sempat seketika bertegur-sapa dengan MakTeh yang bertanya khabar mengenai Mek. Dia mendapat tahu mengenai keadaan Mek melalui Ma.


Sesampainya di rumah Ma, memikirkan isteriku di rumah Mek, aku terus memandang handphoneku. Ternyata, ada 1 mesej.

"Abang, nak balik pukul berapa? Dah lewat malam ni.."

Begitulah ayat di dalam mesej itu. Setelah meminta izin daripada Abah dan Ma, aku terus bertolak pulang ke rumah Mek. Sesampainya di sana, kelihatan budak-budak sudah tidur bergelimpangan di ruang tamu. Cucu-cucu Mek la tu. Bila dah berkumpul, begitulah keadaannya. Nampaknya AbeMan dan KakMah sudah tiba.


Masuk ke dalam bilik, kelihatan isteriku sudah pun tidur. Kesian isteriku. Mungkin kepenatan membuat kerja-kerja rumah di kala tetamu ramai berkunjung sehingga tertidur ketika menunggu kepulanganku.

[+] Baca seluruh catatan ini..

Kami kena balik kampung!

Assalamualaikum..

AbeMan & KakMah..


Selamat bertemu kembali setelah hampir seminggu tidak mencoret di sini. Ini adalah kerana kami terpaksa berkejar pulang ke kampung secara tiba-tiba apabila isteriku mendapat mesej daripada salah seorang kakaknya yang berada di kampung, pada hari selasa, 29 April 2008, waktu malam, sewaktu kami masih berada di rumah KakMah, menemani KakMah dan anak-anaknya sementara AbeMan masih di Mersing, Johor, kerana ada urusan.


"Su, Mek masuk hospital. Kena strok.", begitulah ayat dalam mesej pada malam itu.


'Su' adalah nama panggilan bagi isteriku oleh anak-anak saudaranya kerana isteriku adalah anak bongsu. Disebabkan itu, kakak-kakak dan abang-abangnya juga terikut-ikut dengan panggilan itu. Kadang-kadang sahaja, aku terdengar isteriku dipanggil 'adik'.


Ibu mertuaku (Mek)..


Mek masuk hospital! Kami agak terkejut bila mendapat berita tersebut. KakMah pun sama. Isteriku menghubungi nombor rumah di kampung, dan bertanya khabar mengenai Mek. KakMah pula menghubungi AbeMan, memberitahu berita itu.


Jika terpaksa balik kampung, kami boleh bertolak bila-bila masa sahaja. Isteriku kelihatan sangat risau dengan keadaan ibunya. Badan sebelah kiri Mek tidak dapat bergerak langsung. Mek tidak dapat bercakap. Isteriku hampir menangis. Aku memujuk dan menenangkannya. Setelah mengetahui dengan lebih jelas akan keadaan yang sebenar, kami membuat keputusan untuk bertolak pulang pada keesokan paginya.


KakMah yang juga risau dan teringin sangat untuk pulang segera, tidak dapat pulang bersama-sama kami kerana AbeMan tiada di rumah. Terpaksa lah KakMah menunggu AbeMan pulang dari Mersing, baru dapat mereka berangkat pulang ke kampung. AbeMan berjanji akan cuba menyelesaikan tugasannya secepat yang mungkin.


Setelah isteriku menghubungi adik kembarnya, Ti, pada mulanya KakMah memberi cadangan supaya Ti dan dua orang anaknya itu pulang ke kampung dengan kami memandangkan suaminya, Mat, bekerja pada malam itu dan akan pulang ke rumah pada waktu pagi. Tapi, akhirnya, Ti membuat keputusan untuk bertolak dengan Mat juga sebaik sahaja suaminya itu pulang pada pagi esoknya.


AbeKiman yang tinggal di Bentong, Pahang, baru sahaja mengetahui berita itu sebaik sahaja isteriku menghantar mesej kepada isterinya, KakTi. Mungkin kerana rasa tanggungjawab sebagai anak lelaki paling tua, AbeKiman membuat keputusan untuk terus bertolak balik ke kampung pada malam itu juga.


"AbeKiman memang macam tu, bang..", isteriku mengiakan apa yang juga aku rasai kerana aku juga adalah anak lelaki paling tua. Aku sangat memahami perasaan seperti itu.


***************


Pagi rabu, 30 April 2008, kami bertolak dari rumah KakMah selepas bersarapan. Kami menuju ke bengkel kereta terlebih dahulu untuk diservice dan ditukar minyak hitamnya kerana kami ingin menempuh perjalanan yang jauh.


Pukul 8.30 pagi, baru bengkel dibuka. Setelah siap diservice, kami mula bertolak pulang menuju kampung halaman. Jam menunjukkan pukul 9.30 pagi pada waktu itu.



Pukul 2.30 petang, kami singgah di Masjid Gua Musang untuk solat Zohor dan Asar secara qosar dan jamak taqdim. Setelah meneruskan perjalanan, lebih kurang pukul 6.00 petang, kami selamat tiba di perkarangan rumah Mek di Kampung Pasir Jelatang.


Sebaik sahaja kami masuk ke dalam rumah, kelihatan ipar-iparku iaitu KakDah, KakPah, KakNa, AbeKiman, AbeSul, dan Ti, dengan pasangan dan anak-anak masing-masing. Ti tiba awal kerana dia bertolak awal-awal pagi lagi. KakYah belum datang dari rumahnya yang tidak jauh dari rumah Mek, di kampung yang sama. Hanya KakMah sahaja yang belum pulang dari jauh.


Sebagai menantu dan ipar yang boleh dikatakan masih baru, aku menganggap bahawa antara hikmah kejadian ini adalah, kami dapat berkumpul beramai-ramai di rumah Mek, dan ini akan membuka peluang yang luas buat diriku untuk mengenali dengan lebih rapat akan keluarga isteriku.


Mek sudah pun berada di rumah. Mek berada di dalam bilik depan. Sebenarnya, kami sudah dimaklumkan pada pagi itu bahawa Mek dibenarkan pulang oleh pihak hospital setelah discan kepala dan didapati tidak berlaku pembekuan darah di dalam tempurung kepala Mek. Walaupun begitu, badan Mek sebelah kiri masih belum boleh bergerak. Doktor membekalkan beberapa jenis ubat sebelum Mek dibawa pulang ke rumah.


Mek menangis setiap kali melihat seorang demi seorang anaknya pulang. Mungkin bermacam-macam perasaan yang sukar digambarkan di sini bercampur-baur melanda lubuk hatinya.


Abah & Ma..


Tidak lama selepas itu, Abah, Ma, dan adik bongsuku, AdikJiha, (yang berumur 6 tahun) tiba. Sebenarnya, sesampainya kami tadi, aku sudah menghubungi rumah Ma, menyatakan ketibaan kami di rumah Mek. Setelah berbual-bual mengenai penyakit dan keadaan Mek, mereka memohon diri untuk pulang pada pukul 7.00 malam.


AdikJiha..


Pada sebelah malamnya, KakYah tiba. Pada malam Mek ditimpa sakit itu, KakYah lah yang menunggu Mek di hospital. KakYah bergilir-gilir menjaga Mek di hospital dengan KakDah. Tidak lama selepas itu, imam mukim tersebut (yang telah menikahkanku) datang. Dia yang kelihatannya agak rapat dengan Mek sekeluarga, bertanya macam-macam mengenai keadaan Mek yang lumpuh separuh badan secara mengejut itu.


Setelah tetamu demi tetamu beransur pulang, aku duduk di sisi Mek, memicit-micit badannya yang lenguh kerana asyik terbaring dengan badan sebelah kirinya tidak dapat berbuat apa-apa.


Semoga Mek cepat sembuh..

[+] Baca seluruh catatan ini..

Disediakan oleh Tengku Azlan || Hakcipta Terpelihara © 2008