Assalamualaikum..
Hari ini kami ke Bangi. Tujuan asal ialah untuk ke sebuah pusat perubatan homeopati di Billion, Bangi. Setelah mendengar nasihat daripada seorang temannya, isteriku mengajak aku membawa Ummair mencuba perubatan homeopati kerana menurutnya, kaedah perubatan ini bebas daripada bahan kimia di dalam kandungan ubat-ubatannya sebagaimana di klinik-klinik biasa.
Malangnya, pusat perubatan tersebut sudah tutup. Nampaknya kami terpaksa datang pada kesempatan yang lain.
Selepas itu, kami ke Warta. Kami mengganti bingkai cermin mata isteriku yang patah ketika tertinggal di rumah kami di sini ketika pulang berhari raya.
Dalam perjalanan pulang, kami singgah makan malam di Restoran Perantau di Bangi juga. Ummair nampaknya seronok dapat melihat ramai orang dan lampu berwarna-warni. Cuma satu perkara yang kami kasihan melihat Ummair, iaitu matanya tidak berkelip melihat kami makan, seolah-olah menagih simpati agar dirinya disuap dengan nasi.
"Sabar ye Ummair. Ummair masih belum dapat makan. Sekarang kan, Ummair masih dalam tempoh penyusuan eksklusif dengan Ummi. Selepas umur Ummair enam bulan, Abi dan Ummi akan suap nasi ye!"
Begitulah kami memujuk Ummair yang comel itu.
[+] Baca seluruh catatan ini..
[-] Kembali kepada ringkasan..
Assalamualaikum..
Hari ini jadual kami agak padat. Setelah Kakcik (adikku) tiba dan selesai bersarapan, kami berempat bertolak ke Taman Pinggiran Senawang, iaitu rumah ibu saudaraku, MakNa (adik Ma). Memandangkan dia sekeluarga tidak dapat pulang menyambut Syawal di kampung, kami membuat keputusan untuk membuat kunjungan ke rumah mereka. Tambahan pula, MakNa belum bertemu mata dengan Ummair sejak kelahiran putera kami itu.
Lama juga kami berada di situ. Petang, baru kami bertolak pulang. Setibanya di rumah, jiran kami mempelawa kami agar terus masuk ke rumahnya. Memang sejak minggu lepas lagi Abang Kamaruzzaman itu mengajak kami ke rumah terbukanya hari ini.
"Tengku Muhammad Ummair, tengok sini. Atuk KZ nak tangkap gambar ni!"
Abang Kamaruzzaman memang dikenali sebagai Abang KZ di kejiranan kami ini.
Selepas itu, kami terus ke Damansara Damai, iaitu rumah bapa saudaraku (adik Abah). Katanya, dia juga membuat majlis rumah terbuka.
Setibanya di sana, kelihatan dua keluarga lagi ada di sana. Mak (nenekku) juga ada. Malah, Tok Ngah (adik Mak) juga ada di sana. Menurutnya, dia ada urusan kerja di sekitar Lembah Kelang ini. Kami (aku dan isteriku) sebenarnya belum sempat ke rumah Tok Ngah di Kuala Krai sejak kami berkahwin. Bukan tidak mahu singgah, tapi terlalu banyak destinasi rumah saudara-mara dan keluarga yang mesti dikunjungi setiap kali pulang ke kampung.
"Tengok pada mata Ummair ni, nampak cerdik. Nanti akan jadi kanak-kana genius ni!" Tok Ngah memberikan komentarnya. Sebenarnya semua orang yang melihat Ummair pada kali pertama akan berkata sedemikian. InsyaAllah, kami berdoa agar kata-kata positif daripada semua orang itu akan menjadi doa buat Ummair. Semoga ia menjadi kenyataan.
Lebih kurang pukul 11.00 malam, baru kami tiba di rumah. Hari ini memang hari yang penuh dengan kunjungan dan sangat memenatkan!
[+] Baca seluruh catatan ini..
[-] Kembali kepada ringkasan..