Isnin, November 24, 2008

Amalan-amalan yang digalakkan semasa mengandung..

Assalamualaikum..

Sepanjang tempoh kehamilan seorang bakal ibu, setiap perbuatan dan perkataannya perlu dijaga agar bayi yang berada di dalam kandungannya bukan sahaja sihat dari segi fizikalnya, malah akan lahir sebagai seorang insan yang mampu membawa ketenangan dan sinar kebahagiaan kepada ayah dan ibunya.

Seperti ayah dan ibu yang lain, kami juga mendambakan anak yang soleh/solehah. Berdasarkan informasi dan pembacaan, di sini kami sertakan beberapa panduan kepada bakal ayah dan ibu.

Antara himpunan doa yang sangat digalakkan untuk diamalkan oleh para ibu mengandung sepanjang kehamilannya ialah :

1.   sayyidul istighfar (penghulu bagi segala doa pengampunan), iaitu seperti di bawah ini :

yang bermaksud : "Ya Allah, Engkau adalah Tuhanku. Tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Engkau. Engkau telah menciptaku dan aku adalah hamba-Mu. Dan aku (terikat) dengan janjiMu semampu yang aku boleh (laksanakan). Aku memohon perlindungan kepadaMu daripada kejahatan yang aku lakukan. Aku mengakui bahawa semua nikmat yang Engkau berikan kepadaku adalah milikmu, dan aku mengaku terhadap dosa-dosaku. Oleh itu, ampunilah aku, kerana sesungguhnya tiada yang dapat memberi keampunan kecuali hanya Engkau." (Hadis Riwayat Bukhari),

2.   doa memohon rahmat daripada Allah (Surah Ali 'Imran, ayat 8 dan 9), iaitu :

yang bermaksud : "Wahai Tuhan kami, janganlah Engkau jadikan hati kami condong kepada kesesatan sesudah Engkau memberi petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami rahmat dari sisi Engkau, karena sesungguhnya Engkau adalah Maha Pemberi (kurnia). Wahai Tuhan kami, sesungguhnya Engkau mengumpulkan manusia untuk (menerima pembalasan pada) hari yang tiada keraguan padanya. Sesungguhnya Allah tidak menyalahi janji.",

3.   doa memohon zuriat yang baik (Surah Ali 'Imran, ayat 38), iaitu :

yang bermaksud : "Di sanalah Zakaria berdoa kepada Tuhannya seraya berkata : 'Wahai Tuhanku, berilah kepadaku dari sisi Engkau seorang anak yang baik. Sesungguhnya Engkau Maha Mendengar doa'.", dan

4.   doa agar anak rajin untuk mendirikan solat (Surah Ibrahim, ayat 40 dan 41), iaitu :

yang bermaksud : Wahai Tuhanku, jadikanlah aku dan anak cucuku orang-orang yang tetap mendirikan solat. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doaku. Wahai Tuhan kami, berikanlah keampunan kepadaku dan kepada kedua-dua ibu dan bapaku, serta sekalian orang-orang mukmin pada hari terjadinya hisab (hari perhitungan).".


Selain daripada doa-doa yang dinyatakan di atas, ada juga surah-surah yang sangat baik untuk diamalkan ketika hamil.

Surah-surah tersebut ialah :

1.   Surah Al-Fatihah (untuk keterangan hati dan kekuatan ingatan),

2.   Surah Maryam (untuk memudahkan ibu bersalin),

3.   Surah Yusuf (untuk memperoleh anak yang cantik rupa parasnya dan indah akhlaknya),

4.   Surah Luqman (untuk memperoleh anak yang cerdik akalnya dan kuat jiwanya),

5.   Surah Yaasin (untuk ketenangan hati dan agar anak tidak terpengaruh dengan godaan syaitan yang mengajak kepada maksiat),

6.   Surat Toha (untuk memperoleh bayi yang lembut hatinya),

7.   Surah An-Nahl (untuk memperoleh anak yang tinggi displinnya),

8.   Surah Hujurat (untuk memperbanyakkan susu ibu dan agar anak mempunyai sifat berhati-hati), dan

9.   Surah At-Taubah (untuk membersihkan jiwa dan agar terpelihara daripada maksiat).


Di samping itu juga, terdapat beberapa perkara yang perlu sering diambil perhatian agar anak yang dilahirkan akan sejahtera dan berakhlak mulia.

Perkara-perkara tersebut ialah :

1.   banyak mengingati Allah dengan memohon keampunan dan taubat supaya Allah mengampunkan segala dosa yang telah dilakukan selama ini dan seterusnya akan membersihkan hati daripada perasaan yang tidak baik,

(Dengan ini juga diharap agar anak yang bakal lahir nanti bersih hatinya dan ibu dapat bersalin dengan tenang dan selamat)

2.   banyak melakukan ibadah, membuat kebajikan dan meninggalkan segala larangan agama,

(Ibu yang hamil dituntut agar memperbanyakkan amal ibadah seperti solat sunat, puasa sunat terutamanya pada hari Isnin dan Khamis, serta sentiasa menjaga syariat. Bukan sahaja isteri, malah suami juga dituntut untuk mengamalkan semua ini bersama-sama)

3.   sentiasa berakhlak baik,

(Ibu-ibu yang sedang mengandung perlu lebih banyak bersabar, bersikap baik dengan jiran, menghormati ahli keluarga dan teman-teman. Tingkah laku yang baik akan mempengaruhi sikap anak yang bakal lahir) dan

4.   sentiasa tenang dan gembira.

(Keadaan emosi yang tenang dan bahagia merupakan rangsangan kepada pembinaan otak, seterusnya menghasilkan kelahiran bayi yang sihat, terangsang, pintar dan cerdas)


Marilah kita semua bersama-sama berusaha untuk membangunkan generasi baru yang akan memartabatkan Islam!


Cetak catatan ini..

0 ulasan:

Disediakan oleh Tengku Azlan || Hakcipta Terpelihara © 2008